Khamis, 28 Julai 2011

KARANGAN laras sains: Susu ibu

Soalan: Susu ibu merupakan rumusan terbaik untuk bayi yang baru lahir.  Bincangkan kepentingan susu ibu terhadap ibu dan bayinya.

Jawaban contoh

     SUSU ibu merupakan rumusan terbaik untuk bayi yang baru lahir.  Penyusuan ibu terhadap bayi, ternyata membawa kebaikan kepada si ibu dan bayinya sekali.

     Ibu-ibu yang menyusukan bayinya  sendiri dapat menjarakkan kelahiran bayi seterusnya secara semula jadi.   Pihak ibu akan lewat didatangi haid apabila menyusukan bayinya.  Hal ini menandakan selepas kelahiran bayinya, tahap subur ibu untuk hamil lagi masih jauh.  Keadaan ini merupakan satu sistem perancang keluarga secara normal dan semula jadi yang sangat bermanfaat terhadap kesihatan pihak ibu.

     Ibu-ibu yang menyusukan bayinya ternyata lebih sihat berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan bayi dengan susu badan.  Bagi ibu yang menyusukan bayinya, risiko untuk mendapat kanser payu dara sangat rendah.  Hal ini kerana sistem penghasilan dan pengaliran susu dalam badan  berjalan lancar. Proses penyusuan bayi  juga akan melancarkan peredaran darah dan keadaan ini akan merangsang pengecutan rahim dengan lebih cepat.

     Bayi-bayi yang menyusu badan pula akan lebih tahan daripada dijangkiti penyakit.  Susu ibu mengandungi kolustrum yang dapat membentuk antibodi yang tinggi.  Dengan itu, bayi-bayi lebih terhindar daripada serangan  selesema, penyakit kuning dan sebagainya.  Selain itu, bayi-bayi yang kuat antibodinya tidak akan mengalami sebarang alahan makanan.

     Susu ibu juga ternyata satu makanan yang sangat berkhasiat kepada bayi-bayi.  Susu ibu mengandungi pelbagai mineral, kaya dengan protein serta sumber vitamin A dan C.  Bayi-bayi akan kurang risiko dijangkiti penyakit seperti masalah gigi, tulang,  penglihatan dan pertuturan.  Malah, dengan menyusu ibu, bayi akan mempunyai rahang gigi yang kuat.

     Kesimpulannya, susu ibu merupakan sumber makanan bayi yang sempurna.  Amatlah malang jika sumber makanan dan kesihatan kepada bayi-bayi diabaikan pula oleh sesetengah ibu atas alasan kehidupan sosial mereka.

Jumaat, 15 Julai 2011

ANIFAH Aman ke Mesyuarat Asean di Bali

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-44, Pasca Persidangan Menteri (PMC) dan Forum Serantau Asean ke-18 di Bali, Indonesia pada 16 hingga 23 Julai ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, AMM kali ke-44 akan dimulakan dengan beberapa mesyuarat penting yang lain iaitu mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Asean (SOM) dan mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
"AMM ke-44 ini akan memberi tumpuan kepada Pembinaan Komuniti Asean dan pelaksanaan Piagam Asean. Para menteri akan membincangkan langkah-langkah untuk mencapai tema dianjurkan Indonesia, yang menjadi Pengerusi Asean, iaitu "Komuniti Asean Dalam Komuniti Global".
"Selain itu, mesyuarat juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau kepentingan bersama serta meningkatkan hubungan Asean dengan rakan-rakan dan komuniti global," menurut kenyataan itu.
Menteri-Menteri Luar Asean turut dijadual menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean+3 dan Perundingan Menteri-Menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
"Perundingan Menteri-Menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Asia Timur akan melibatkan buat pertama kali Menteri Luar Rusia dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat," menurut kenyataan itu.
Para Menteri Luar Asean turut dijadualkan menghadiri PMC bersama dengan rakan sejawatan daripada rakan dialog termasuk Australia, Kanada, India, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat.
"Menteri-Menteri Luar akan menyemak semula pencapaian sebelum ini dan membincangkan hala tuju masa hadapan," menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Rabu, 13 Julai 2011

TAHUN yang sama, catatkan 'anggaran'

KALI ini saya mahu dedahkan salah satu perangkap dalam solan Bahagian D.  Pembuat soalan kadang-kadang sengaja memberikan satu soalan yang agak mudah, tetapi ada perangkap lain untuk menguji ketelitian calon-calon.  Berdasarkan contoh soalan di bawah (saya telah ubah suai sedikit), perhatikan tahun pada soalan dan sumber bahan linear ini.  

Sumbernya dicatat tahun 2007 dan soalan meminta pelajar menyediakan carta untuk tahun 2007 juga.  Jika pelajar tidak menulis perkataan 'anggaran' sebelum tahun 2007 pada tajuk carta, maka markah penuhnya hanya lima per 15 sahaja.  Oleh itu hubaya-hubaya!

BERDASARKAN petikan di bawah, sediakan carta yang paling sesuai bagi menggambarkan nilai import dan negara-negara pengeksport barangan ke Malaysia pada tahun 2007.

PADA tahun 2007,  Malaysia masih bergantung kepada import barangan luar untuk merancakkan sektor perindustriannya.  Keadaan ini dibuktikan dengan jumlah nilai barangan yang diimport oleh negara ini yang bernilai RM140,599.00 juta.

Daripada keseluruhan jumlah berkenaan, sebanyak RM56,791.1 juta ialah berupa barangan alat jentera iaitu alat-alat kelengkapan pengangkutan.  Keadaan ini diikuti oleh barangan perkilangan yang berjumlah RM36,230.6 juta berbanding bahan-bahan kimia yang susut RM27,013.9 juta daripada jumlah import barangan perkilangan tersebut.  Selain itu, Malaysia juga mengimport bahan-bahan api yang juga termasuk bahan pelincir bernilai RM4,260.8 juta,  manakala selebihnya  ialah nilai import bahan-bahan lain.

Barangan yang diimport itu datangnya dari beberapa buah negara.  Negara Jepun menjadi rakan dagang utama negara, merupakan pengeksport utama yang bernilai 36 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai import negara.

Selain Jepun, negara Amerika Syarikat dan negara-negara EU juga menjadi pengeksport barangan ke Malaysia yang masing-masing bernilai 18.8 peratus dan 15.5 peratus.  Selain negara-negara berkenaan, negara-negara dari Asean pula mengeksport barangan bernilai 15.4 peratus, manakala negara Taiwan menyumbang 5.7 peratus.  Bakinya pula daripada negara-negara lain dunia.

(sumber: Laporan Ekonomi 2007)

Tajuk pada kertas graf ialah

Malaysia Nilai Import dan Negara-negara Pengeksport Barangan 
pada Tahun 2007 (anggaran).

Jumaat, 8 Julai 2011

APA salahnya huraian dalam karangan itu?

MENGAPA huraian-huraian dalam perenggan masih berkecamuk?  Ada beberapa sebab mengapa pelajar menulis pelbagai huraian yang tidak berkaitan dengan idea utama pada awal perenggan.  Pertama, pelajar tidak membuat draf atau rangka karangan.  Pelajar terus menulis dalam kertas jawaban.  Melulis dalam keadaan tertekan sangat terdedah kepada kesilapan.


Kedua, memang pola pemikiran pelajar yang berkecamuk.  Oleh itu jika dia membuat draf pun hasilnya tetap berkecamuk.  Punca pemikiran berkecamuk ialah dia suka ‘meredah’ apa juga bacaan tanpa membuat sebarang klasifikasi.  Kalau bercakap, pelajar seperti ini suka bercakap di luar topik dan meleret-leret ke simpang-simpang yang tidak berkenaan.

Mari kita perhatikan contoh tulisan dalam perenggan yang berkenaan.  Soalannya meminta pelajar menyatakan cara kerajaan boleh membantu petani menjayakan slogan ‘pertanian adalah perniagaan’.

Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.  Selain itu kerajaan boleh memberikan jaminan kredit kepada petani untuk lebih giat dalam sector pertanian.  Dengan adanya dana yang mencukupi, pelbagai teknologi dapat digunakan dan hasil pertanian semakin bertambah.  Angensi kerajaan seperti FAMA juga sudah pasti akan digerakkan lebih berkesan untuk menjayakan pertanian adalah perniagaan.

Idea utamanya ialah: Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.
Huraian-huraiannya ialah:
Jaminan kredit kepada petani (tidak relevan dengan idea utama)
Penggunaan pelbagai teknologi dalam pertanian (tidak relevan dengan idea utama)
FAMA perlu lebih berkesan (relevan dengan idea utama)

Jika pelajar berfikiran mantap, mungkin beliau berjaya menghasilkan draf seperti di bawah.

Idea utamanya ialah: Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.
Huraian-huraiannya:
Peranan FAMA diperkukuhkan dalam pemasaran.
FAMA boleh bekerjasama dengan pejabat kedutaan di luar negara  - program  promosi.
Buah-buah seperti durian dan rambutan boleh dieksport ke luar negara.

Perenggan yang dicadangkan mungkin seperti berikut:

Kerajaan boleh memperluaskan lagi jaringan pemasaran hasil pertanian.  Agensi kerajaan seperti FAMA tentu akan digerakkan dengan lebih berkesan dalam membantu memasarkan hasil pertanian.  Jika selama ini FAMA sudah berjaya memasarkan banyak hasil pertanian ke seluruh negara, agensi itu boleh bekerjasama dengan pejabat-pejabat kedutaaan Malaysia di luar negara, khasnya Eropah, Amerika Syarikat, China dan India. Baru-baru ini pun FAMA sudah berjaya mengeksport buah durian ke negara-negara Arab.

Jika selama ini ada pelajar yang masih sukar untuk menentukan apakah huraian-huraian bagi setiap idea utama, saya menggalakkan agar mereka membaca sesuatu rencana atau isu itu berulang-kali supaya mantap memahami isu dan huraiannya.  Dalam majalah atau akhbar, semua isu hanya dipaparkan dalam satu wacana.  Bacalah berkali-kali.