Khamis, 23 Jun 2011

BAGAIMANA memilih satu soalan karangan?

BAGAIMANA anda memilih satu daripada dua tajuk karangan di Bahagian A dan B?  Sebenarnya ini satu persoalan besar kerana keputusan pelajar memilih salah satu daripada dua soalan itu akan membawa kepada penulisan jawaban.  Ada yang melihat pada isu, kemudian memilih satu isu yang difikirkan lebih dikuasainya.  Ada yang memilih berdasarkan mudahnya kehendak soalan.  Oh ya, tiada paksaan cara memilih soalan untuk dijawab, tetapi ada kaedah yang agak munasabah.  Mari kita cuba.

Contoh soalan bahagian A.
1             ‘Pertanian adalah perniagaan’ merupakan satu konsep yang diusahakan untuk menjadikan sektor pertanian lebih kompetitif.  Kerajaan begitu komited terhadap usaha menjadikan nya suatu kenyataan.  Bincangkan.

2         Pembinaan modal insan yang cemerlang merupakan salah satu fokus utama negara dalam          usaha membina negara maju meliputi pelbagai bidang. Jelaskan kepentingan kerajaan mengambil langkah-langkah tersebut.

Mulakan dengan membuat draf paling ringkas supaya tidak membazir masa.  Pelajar mesti memikirkan apakah empat idea utama bagi kedua-dua soalan.  Setelah diteliti, kehendak soalan 1 ialah menentukan ‘cara menjadikan pertanian lebih kompetitif’ dan soalan 2 ‘sebab kerajaan mahukan modal insan cemerlang’.

Misalnya draf pelajar hanya sepeti di bawah.
No. 1   Idea 1  teknologi moden
            Idea 2  mencari pasaran yang luas
            Idea 3  pinjaman modal

No 2    Idea 1  sumber tenaga berdaya saing
            Idea 2  membasmi kemiskinan

Setelah melihat hasil kerja ringkas pelajar itu,  dia sepatutnya memilih soalan 1 untk dijawab.  Untuk soalan 1 dia sudah mempunyai tiga Idea Utama berbanding soalan 2.

Ada cara kedua, iaitu berdasarkan Idea Utama dan huraian.

No 1  Idea 1 teknologi moden
          Huraian – penggunaan ICT dan bioteknologi

         Idea 2 mencari pasaran luas
         Huraian – Fama memberi khidmat nasihat

         Idea 3 pinjaman modal
         Huraian – modal disediakan oleh Agrobank

No 2 Idea 1 sumber tanaga kerja berdaya saing
         Huraian – punya moral yang tinggi
                           Menjana produktiviti berganda-ganda
                           Punya daya kreativiti dan semangat kerja tinggi
    
         Idea 2  membasmi kemiskinan
         Huraian – bercita-cita untuk pendapatan lumayan
                           Mempunyai pengetahuan yang tinggi
                           Bijak mengatur kerja

Baik, jika itulah hasil kajian ringkas terhadap dia soalan, pelajar ini dinasihatkan agar menjawab soalan 1.  Pemilihan ini berdasarkan luasnya pengetahuan beliau mengenai isu soalan satu.  Walaupun pelajar seperti boleh menghuraikan lebih mendalam untuk dua idea soalan dua, tetapi sebenarnya dia berjaya mendapatkan tiga Idea Utama. 

Ingat, asas memilih soalan untuk dijawab ialah keupayaan memberikan Idea Utama secara maksimum (empat).  Pemeriksa juga sangat menggemari jawaban yang jelas Idea Utamanya.

Ahad, 19 Jun 2011

UTUSAN kena bayar bonus dua bulan gaji

Mahkamah Perusahaan ditubuhkan pada tahun 1940 di bawah Aturan Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Siasatan.  Kini  Mahkamah Perusahaan dikendalikan di bawah  Seksyen 21 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. 

Antara jenis kes yang boleh dibawa ke Mahkamah Perusahaan ialah:  Pertikaian tentang perusahaan antara majikan dengan Kesatuan Sekerja yang tidak dapat diselesaikan secara kompromi oleh Menteri Sumber Manusia.  Pembuangan pekerja dan penganiayaan terhadap apa-apa aktiviti yang dijalankan oleh Kesatuan Sekerja.

Berita di bawah adalah contoh pertikaian Kesatuan Sekerja (Kesatuan Wartawan Kebangsaan – NUJ) terhadap sebuah syarikat, Utusan Melayu (M) Berhad.


Utusan Melayu Diperintah Bayar Bonus Dua Bulan Gaji Untuk 2009
KUALA LUMPUR, 27 Mei 2011: Mahkamah Perusahaan memerintahkan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad membayar tunggakan bonus dua bulan gaji kepada petugasnya bagi 2009.

Dalam keputusan yang diumumkan pada 24 Mei, presiden mahkamah itu Susila Sithamparam berkata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) yang membawa kes itu ke mahkamah telah membuktikan bahawa Utusan Melayu mencatat keuntungan pada tahun berkenaan.

Kata beliau dalam penyata beraudit 2009 yang terkandung dalam laporan tahunan yang sama, Utusan Melayu mengisytiharkan bahawa ia mencatat keuntungan kumpulan berjumlah RM5.121.

"Responden (Utusan Melayu) tidak boleh menolak hakikat bahawa ia adalah sebuah syarikat pemegangan dan mempunyai anak syarikat. Mahkamah berpendapat perkataan "keuntungan" atau "profit" dalam Perkara 44 Perjanjian Bersama membawa maksud keuntungan yang diraihnya sebagai sebuah syarikat pemegangan pada 2009.

"Kesatuan itu telah membuktikan responden (Utusan Melayu) mencatat keuntungan pada 2009," katanya.  Susila memerintahkan Utusan Melayu mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama dengan serta-merta.

"Oleh kerana responden telah memberi bayaran ex-gratia sebulan gaji kepada setiap petugasnya untuk 2009, maka ia boleh menolak jumlah yang telah dibayar itu daripada bayaran bonus dua bulan gaji yang perlu dibayar kepada mereka untuk 2009," katanya.
NUJ membawa kes itu ke mahkamah pada 23 Mac tahun lepas apabila Utusan Melayu tidak membayar bonus dua bulan gaji kepada petugasnya untuk 2009 dengan alasan sehingga 31 Dis 2009, penerbit akhbar Utusan Malaysia itu mengalami kerugian RM26,169,490 sebagai syarikat individu.

NUJ memohon mahkamah memerintahkan syarikat itu supaya mematuhi Perkara 44 Perjanjian Bersama bertarikh 5 Sept 2006 yang ditandatangani antara NUJ and Utusan Melayu (M) Bhd.  Dalam kenyataan Jumaat, setiausaha agung NUJ V Anbalagan melahirkan harapan agar pengurusan Utusan Melayu mengkaji dengan teliti award itu dan menjelaskan semua bayaran tertunggak yang wajar diterima petugasnya berasaskan semangat keharmonian perusahaan.
Katanya anggota kesatuan itu daripada Utusan Melayu adalah antara kumpulan yang menerima gaji paling rendah daripada lapan cawangan bersekutu NUJ.BERNAMA

Rabu, 15 Jun 2011

DAPATKAN empat markah satu perenggan karangan


KARANGAN: empat perenggan meliputi 16 markah!  Bagaimanakah untuk mendapatkan satu peranggan empat (4) markah?  Setiap peranggan mesti mengandungi satu idea utama dan tiga huraian.  Secara mudah, satu idea utama mendapat satu markah dan tiga huraian mendapat tiga markah.

Andaikan soalannya begini:  Tumpuan menghasilkan makanan yang banyak dan cepat mendorong ahli-ahli sains memperkenalkan kaedah ternakan ayam secara besar-besaran.  Kaedah sains organik pula diperkenalkan untuk mengatasi kesan sampingan daripada revolusi ternakan ayam makanan tersebut.  Bincangkan.

Skema jawaban ini ialah dua keburukan daripada haiwan ternakan moden dan dua kaedah penghasilan secara organik.

Dua keburukan
Idea utama (I 1): banyak penggunaan bahan kimia.
Huraian:
1.       Makanan ayam mengandungi antibiotik dan vaksin.
2.       Antibiotik untuk menghindari serangan bakteria tetapi antibiotik itu boleh dipindahkan kepada manusia.
3.       Kesan antibiotik ayam terhadap manusia ialah ‘kekebalan’ tubuh manusia daripada rawatan antibiotik dan mengurangkan kesuburan.

Idea utama (I 2): Kaedah penternakan yang mampat.
Huraian:
1.       Semua ayam merupakan ayam hasil pengubahsuaian genetik yang berpotensi membesar dengan cepat.
2.       Sebuah reban digunakan untuk membela beribu-ribu ekor ayam sehingga tiada ruang untuk ayam bergerak secara  semulajadi.
3.       Ayam tidak ada tempat untuk mencakar atau mengais.

Dua kaedah organik.
Idea Utama (I 3) Makanan ayam organik.
Huraian
1.       Makanan ayam berasakan bahan organik.
2.       Makanan ayam ialah bijirin yang bebas daripada semburan racun perosak.
3.       Makanan ayam mesti tidak mengandungi protein sayuran, vitamin, herba atau mineral antioksida dan antikanser.

Idea utama (I 4) Kaedah penternakan
1.       Kawasan penternakan haiwan mestilah memberi ruang untuk haiwan beraktiviti secara semulajadi.
2.       Misalnya reban ayam organik mesti memberi ruang untuk bergerak, mencakar dan mengais.
3.       Baka ayam juga mesti daripada jenis asli, bukan hasil pengubahsuaian genetik.

Cadangan jawaban

     Tumpuan menghasilkan makanan yang banyak dan cepat mendorong ahli-ahli sains memperkenalkan kaedah dan pemakanan ayam secara besar-besaran.  Kaedah sains organik pula diperkenalkan untuk mengatasi kesan sampingan daripada revolusi ternakan ayam makanan tersebut.

     Keburukan utama memakan ayam biasa ialah daging ayam mengandungi bahan antibiotik dan vaksin.  Penggunaan antibiotik baik untuk mencegah penyakit pada ayam, tetapi bahan itu dipindahkan pula kepada manusia yang memakan ayam.  Antara kesan antibiotik ayam terhadap manusia ialah tubuh manusia yang mengalami kekebalan daripada ubat-ubatan lain dan merendahkan tahap kesuburan.

     Daging ayam yang popular hari ini dihasilkan daripada sistem pemeliharaan yang mampat.  Reban ayam menjadi sempit kerana terdapat beribu-ribu ekor ayam yang hanya diperlukan pembesarannya, bukan kebajikan sosialnya.  Ayam ini juga hasil pengubahsuaian genetik yang hanya hidup untuk daging tanpa melalui proses kehidupan ayam yang tulen.  Ayam jenis ini bukanlah memenuhi keperluan tubuh badan manusia.

     Sebagai pilihan daripada permasalahan ayam yang konvensional itu, terdapat ayam organik yang menepati kesihatan manusia.  Ayam organik merupakan ayam yang diternak berasaskan ciri dan makanannya yang semulajadi.  Bahan makanan ayam ini berasaskan makanan organik, iaitu bijirin yang bebas daripada semburan racun makhluk perosak.  Makanan ayam ini juga tidak mengandungi protein sayuran, vitamin, herba atau mineral antioksida.

     Kaedah penternakan ayam organic juga menjadikan ayam ini memberi kesihatan kepada manusia.  Reban ayam tersebut lebih luas untuk memberi ruang ayam melakukan aktiviti semula jadi sebagai haiwan ternakan normal.  Baka ayam juga bukanlah hasil pengubahsuaian genetik, sebaliknya ayam tulen yang sama seperti ayam di desa-desa.  Ayam organic tetap diternak secara komersil seperti ayam daging biasa. 

     Kesimpulannya, ayam organik bakal menjadi pilihan utama pengguna daging kerana ayam ini dapat memenuhi keperluan biologi manusia.

Rabu, 8 Jun 2011

GRAF banding yang tidak membanding


MASALAH utama pelajar ketika menjawab Kertas 2 Bahagian D ialah masa. Masalah ini boleh saja menyebabkan sebarang usaha tidak mendatangkan markah, namun masih ada jalan untuk mendapatkan sebagian markah sekalipun kerja tidak siap.

Jika kehendak soalan ternyata meminta pelajar menghasilkan graf atau carta yang membandingkan antara beberapa tahun, negeri-negeri atau apa saja, pastikan pemeriksa dapat melihat hasil kerja untuk tujuan perbandingan.

Misalnya graf bar yang di atas, hasil kerja kesuntukan masa.  Sekalipun peajar menyiapkan bar untuk satu bahagian dengan petunjuk sekali, namun graf itu tidak dapat menunjukkan perbandingan antara eksport dan import.

Untuk mengelakkan kehilangan markah ini, jangan siapkan berdasarkan blok seperti di atas. Mulakan cara jawaban dengan susunan berikut:
1.  Tulis tajuk
2.  Tulis sumber
3.  lakarkan paksi menegak dan mendatar.
4.  Tuliskan bahagian kanan dan kiri (import dan eksport)
5.  Tuliskan butiran untuk paksi tegak dan mendatar.
6.  Mulakan satu sektor 'barangan' untuk bahagian eksport dan import bagi satu tahun dahulu, 
     misalnya  tahun 2001. kemudian lukiskan bar barangan yang sama untuk import dan eksport bagi tahun 
     2002  dan seterusnya tahunn 2003.
7.  Tuliskan petunjuk untuk barangan berkenaan.

Katakan masa menjawab setakat lakaran berkenaan, sekurang-kurangnya jawaban minimum pelajar sudah menjelaskan sedikit mengenai perbedaan barangan yang diimport dan dieksport selama tiga tahun.  Jika pelajar membuatnya seperti contoh di atas, perbandingan apa yang dapat diberikan?

Khamis, 2 Jun 2011

KARANGAN laras sains: draf dan contoh karangan


Contoh soalan

Walaupun teknologi perubatan moden berupaya meningkatkan taraf kesihatan manusia, namun penjagaan kesihatan diri sendiri juga tidak boleh diabaikan.  Bincangkan.

(Rangka karangan)
Pengenalan
-          Teknologi perubatan moden memang mampu meningkatkan taraf kesihatan manusia, namun penjagaan kesihatan diri sendiri juga tidak boleh diabaikan.

Idea 1 – teknologi peralatan
-          Peralatan yang semakin lengkap mengurangkan risiko kegagalan.
-          Pembedahan menggunakan kaedah lesar.
-          Teknologi robotik pula digunakan dalam urologi dan kardiotorasik.

Idea 2 -  teknologi mengesan penyakit
-          Kaedah mengesan sesuatu penyakit lebih mudah dan berkesan.
-          Penggunaan sinaran x, radiografi dan pengemejan molekul dapat mengesan jenis penyakit.
-          Penyakit barah juga dapat dikesan lebih awal dan dirawat dengan baik.

Idea 3 – pemakanan yang seimbang
-          Makan mengikut kaedah piramid pemakanan
-          Banyakkan makanan sayur-sayuran dan mengurangkan makanan yang berlemak tinggi.
-          Dapat mengawal kegemukan atau serangan penyakit seperti diabetes, darah tinggi dan lemah jantung.

Idea 4 – Gaya hidup sihat
-          Tidak merokok atau meminum arak
-          Tidak mengambil makanan yang diketahui boleh menjejaskan kesihatan.
-          Tidak melakukan aktiviti seks rambang yang menjadi punca penyakit berjangkit.

Kesimpulan – Kemampuan teknologi yang tinggi untuk menyokong kesihatan manusia lebih berkesan apabila manusia sendiri melakukan pencegahan awal untuk mengekalkan kesihatan.

Cadangan jawaban karangan

     Teknologi perubatan moden memang mampu meningkatkan taraf kesihatan manusia, namun penjagaan kesihatan diri sendiri juga tidak boleh diabaikan.

     Kemajuan teknologi perubatan terdapat pada kemajuan peralatan-peralatan perubatan.  Peralatan perubatan yang dilengkapi komputer  dan semakin lengkap dapat mengurangkan risiko kegagalan dalam kaedah rawatan. Hari ini para pakar perubatan telah melakukan  pembedahan dengan menggunakan sinar laser yang berisiko kecil. Pembedahan ini juga melalui proses penyembuhan yang cepat.  Teknologi robotik pula digunakan dalam urologi dan kardiotorasik.

     Selain itu, kemajuan teknologi juga berjaya mengesan pelbagai jenis penyakit dalam badan dengan mudah.  Penggunaan sinaran x.radiografi dan pengimejan molekul dapat mengesan pelbagai jenis penyakit.  Jika suatu ketika, penyakit barah sukar dikesan, dengan alatan perubatan yang terkini, penyakit itu dapat dikesan pada peringkat awal lagi.

     Walaupun terdapat teknologi yang tinggi dalam kaedah rawatan, seseorang tetap perlu melakukan penjagaan kesihatan sendiri.  Setiap orang wajib menjaga pemakanannya supaya sentiasa seimbang.  Makanan yang seimbang ialah yang mengikut susunan piramid makanan.  Untuk mengekalkan kesihatan, seseorang digalakkan lebih banyak memakan buah-buahan atau sayur-sayurran.  Di samping itu makanan yang berlemak tinggi hendaklah dikurangkan. Pemakanan yang seimbang dapat mengawal kegemukan dan mengelakkan dijangkiti penyakit diabetes, darah tinggi dan lemah jantung.

     Seseorang juga wajib menjalani kehidupan yang sihat dan normal.  Punca-punca penyakit hendaklah dihindari seperti tidak merokok dan meminum arak.  Seseorang juga dilarang mengambil makanan yanag boleh menjejaskan kesihatan dirinya terutama yang berkabohidrat dan berkolesterol tinggi.  Selain itu semua dilarang melakukan aktiviti seks rambang, yang jelas menjadi punca merebaknya penyakit berjangkit.

     Kemampuan teknologi yang tinggi untuk menyokong kesihatan manusia lebih berkesan apabila manusia sendiri melakukan pencegahan penyakit lebih awal untuk mengekalkan kesihatan