Ahad, 18 Disember 2011

KANDUNGAN TPC dalam minyak masak terpakai

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

MINYAK MASAK TERPAKAI YANG MENGANDUNGI TOTAL POLAR COMPOUND 
(TPC)  YANG BERLEBIHAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menjelaskan bahawa pihak pengguna tidak perlu bimbang berhubung laporan akhbar The Star pada 13 Disember 2011 berkaitan kandungan Total Polar Compound (TPC) di dalam minyak masak melebihi tahap yang disarankan dan dakwaan minyak masak dalam plastik yang dijual di pasaran tempatan adalah minyak masak terpakai. 

TPC adalah indikator kualiti bagi mengukur tahap degradasi (kerosakan) minyak masak yang digunakan semasa menggoreng dan ia tidak menjejaskan kesihatan manusia. Tahap maksimum TPC yang digunakan sebagai penunjuk bagi minyak masak perlu dibuang adalah 25% di mana kualiti minyak masak akan menurun. Tahap ini adalah sama seperti yang ditetapkan oleh kebanyakan negara di Kesatuan Eropah.

KKM peka akan perkara ini di mana pada tahun 2007, KKM dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjalankan kajian kandungan TPC ke atas minyak masak yang sedang digunakan daripada penjual makanan (food street vendor) di sekitar Lembah Klang. Sebanyak 96 sampel minyak masak telah diambil dan dianalisis, di mana hanya enam (6) sampel sahaja yang dikesan mengandungi TPC melebihi 25%. 

Selain itu, KKM juga turut menjalankan kajian makmal terhadap kesan penggorengan makanan berulang kali ke atas kandungan TPC di dalam minyak masak. Kajian menunjukkan selepas 40 kali penggorengan, kandungan TPC masih berada di bawah tahap maksimum yang disarankan.

Berhubung dakwaan minyak masak terpakai yang dijual di pasaran tempatan, pada tahun 2010, KKM dengan kerjasama UPM telah menjalankan pemantauan ke atas kualiti minyak masak yang dibungkus di dalam plastik dan dijual di pasaran tempatan. Pemantauan tersebut dijalankan di 6 buah negeri (Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Sabah, Terengganu, Selangor dan Sarawak) dan melibatkan 40 sampel minyak masak. Hasil kajian menunjukkan kesemua sampel minyak masak tersebut merupakan minyak sawit tulen dan tiada kesan pencampuran dengan minyak masak terpakai. Dalam analisis yang dijalankan, komposisi asid lemak merupakan indikator sekiranya minyak masak tersebut pernah digunakan.

Ketulenan minyak masak perlu ditentukan melalui pelbagai jenis parameter analisis dan tidak hanya bergantung kepada TPC sahaja, malahan perlu meliputi spesifikasi lain yang telah diperuntukkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Buat masa ini, pihak KKM sedang mempertimbangkan keperluan menetapkan tahap TPC dalam minyak masak. 

Di samping meneruskan pemantauan ke atas ketulenan minyak masak yang dijual di pasaran, KKM akan menjalankan kawalan di sepanjang rantaian bekalan makanan bagi produk ini. Setiap pengilang minyak masak perlu didaftar dan mempunyai sistem keselamatan makanan sepertimana yang dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. KKM akan pastikan bahan mentah yang digunakan, post-harvest, pengangkutan, pengilangan, pembungkusan dan penjualan adalah terkawal. 

Sebarang aduan atau maklumat berkaitan dengan isu keselamatan dan kualiti makanan boleh disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM). KKM turut menyediakan panduan kepada pengguna di rumah mengenai amalan yang baik untuk minyak masak berulang kali dan ia boleh diperolehi daripada laman sesawang BKKM  http://fsq.moh.gov.my.

DATO’ SRI DR. HASAN BIN ABDUL RAHMAN
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
13 DISEMBER 2011 

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

Latar Belakang Tribunal
1.    Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah satu badan yang telah  ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999
2.    Bahagian XII Akta mengandungi 38 Seksyen yang menyentuh tentang berbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan Tribunal, bidangkuasa Tribunal, prosiding Tribunal, award-award Tribunal dan sebagainya.
Objektif Tribunal
1.    Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia adalah merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999
2.    Sebelum penubuhan Tribunal ini, segala tuntutan gantirugi oleh seorang pengguna terhadap seorang pembekal atau pengilang terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil di mana ia melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Ini adalah antara sebab-sebab mengapa pengguna tidak berminat untuk membuat tuntutan di Mahkamah terhadap pembekal atau pengilang yang tidak bertanggungjawab terutamanya jika sekiranya amaun yang dituntut adalah kecil, walaupun pada masa ini sudah adanya Mahkamah Tuntutan Kecil di setiap negeri untuk mendengar tuntutan-tuntutan yang tidak melebihi RM5,000.00.
3.    Memahami hakikat ini, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia telah ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.
KEANGGOTAAN TRIBUNAL
Seksyen 86 Akta memperuntukkan bahawa Tribunal hendaklah dianggotai oleh seorang pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi (terdiri daripada pegawai-pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan) dan tidak kurang daripada 5 orang anggota Tribunal yang lain dilantik oleh Menteri
BIDANG KUASA TRIBUNAL

Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar :
a) apa-apa tuntutan mengenai apa-apa perkara yang ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar seperti diperuntukkan di bawah Akta;
b) di mana jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.00;
c) apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

Bidang kuasa Tribunal hendaklah dilaksanakan oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan mana-mana anggota yang dipilih oleh Pengerusi yang akan bersidang sendirian.

BATASAN BIDANG KUASA

Tribunal tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan :-
a) yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;
b) bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;
c) yang mempersoalkan hakmilik-hakmilik tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah, atau apa-apa francais; dan
d) yang mengandungi pertikaian mengenai -

i. hak di bawah satu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tak berwasiat;
ii. nama baik (good will)
iii. apa-apa hak dalam tindakan;
iv. rahsia perdagangan atau harta intelek lain.
e) apabila mana-mana tribunal telah ditubuhkan melalui mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan-tuntutan tentang perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.

Bidang kuasa Tribunal hendaklah terhad kepada suatu tuntutan yang berasaskan pada suatu kuasa tindakan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu. 
JENIS TUNTUTAN YANG BOLEH DIKEMUKAKAN KE TRIBUNAL

Mana-mana pengguna boleh memfailkan tuntutan di Tribunal menuntut gantirugi bagi kerugian yang ditanggung berhubung apa-apa perkara yang melibatkan kepentingan beliau sebagai pengguna di bawah akta yang berbangkit daripada :-
a. Perlakuan mengelirukan dan memperdaya, representasi palsu dan amalan tak saksama, iaitu :-
i. perlakuan mengelirukan dan memperdaya berkaitan dengan jenis, proses pengilangan, kesesuaian, kualiti dan kuantiti; 

ii. gambaran yang mengelirukan mengenai harga; 

iii. tawaran pemberian, hadiah atau benda percuma lain dengan niat untuk tidak mengadakannya; 

iv. tuntutan-tuntutan lain yang mengelirukan seperti - 
    1) selagi stok masih ada; 
    2) barang-barang adalah terhad; dan sebagainya.
v. menerima bayaran tanpa niat untuk membekalkan barang atau perkhidmatan; 

vi. kontrak perkhidmatan hadapan bagi perkhidmatan yang akan diadakan atas dasar berterusan.
 
b. Keselamatan barang dan perkhidmatan
i. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa barang atau kelas barang; 

ii. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa perkhidmatan atau kelas perkhidmatan.
 
c. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai hakmilik; 

ii. mengenai kualiti boleh terima; 

iii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu; 

iv. bahawa barang mematuhi perihal; 

v. bahawa barang mematuhi sampel; 

vi. mengenai harga munasabah; 

vii. mengenai pembaikan dan barang ganti.
 
d. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekal perkhidmatan :-
i. mengenai ketelitian dan kemahiran munasabah; 

ii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu; 

iii. mengenai masa siap munasabah; 

iv. mengenai harga munasabah.
 
e. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti nyata berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai kualiti prestasi atau ciri-ciri barang; 

ii. mengenai pemberian perkhidmatan yang diperlukan;

iii. mengenai kebolehdapatan barang yang serupa pada masa hadapan;

iv. mengenai pemulangan wang atau balasan sekiranya barang tidak memenuhi apa-apa akujanji oleh penggerenti.

f. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai kualiti yang boleh diterima; 

ii. bahawa barang mematuhi; 

iii. mengenai pembaikan dan barang ganti.

Untuk tujuan perenggan-perenggan di atas, perkataan 'barang' ertinya barang yang terutamanya dibeli atau digunakan bagi maksud diri, rumah tangga atau isi rumah, dan termasuklah :-
a. barang yang dipasang pada, atau digabungkan dalam, apa-apa harta tak alih atau harta alih;
b. haiwan, termasuk ikan;
c. vesel atau kenderaan;
d. kemudahan; dan
e. pokok, tumbuh-tumbuhan dan tanaman sama ada atau tidak di atas, di bawah atau terlekat pada tanah, tetapi tidaklah termasuk hak dalam tindakan, termasuk surat cara niaga, syer, debentur dan wang.

Perkataan 'pengguna' ertinya seorang yang :-
a) memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada lazimnya diperoleh bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga atau isi rumah; dan
b) tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, terutamanya bagi maksud :-
i. membekalkannya semula secara perdagangan; 
ii. menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan; 
iii. dalam hal barang, membaiki atau mengolah, secara perdagangan, barang lain atau lekapan pada tanah.

Perkataan 'perkhidmatan' termasuklah apa-apa hak, faedah, keistimewaan atau kemudahan yang atau yang akan, diberikan atau dianugerahkan di bawah apa-apa kontrak tetapi tidaklah termasuk :-
a) hak, faedah atau keistimewaan dalam bentuk pembekalan barang atau pelaksanaan kerja di bawah suatu perkhidmatan; atau
b) apa-apa perkhidmatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh ahli professional yang dikawal selia oleh mana-mana undang-undang bertulis (seperti doktor, peguam atau arkitek);atau
c) perkhidmatan jagaan kesihatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh professional jagaan kesihatan atau oleh kemudahan jagaan kesihatan (seperti perkhidmatan perubatan, pergigian, kejururawatan, perbidanan, farmasi dan ambulans).

Sabtu, 10 Disember 2011

KRONOLOGI gagalnya Mat Sabu menyaman akhbar Utusan

KATA orang, jika tidak puas hati saman saja orang itu!  Ya, inilah yang cuba dilakukan oleh Timbalan Presiden Pas Encik Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.  Pada akhir bulan ogos tahun 2011 ini, akhbar Utusan Malaysia menerbitkan dakwaan Mat Sabu mengenai peristiwa Bukit Kepong.  Beliau mendakwa Mat Indera yang menyertai serangan ke atas balai polis di Bukit kepong  itu adalah wira.  Sebagai ahli politik, Mat Sabu mendakwa laporan dalam akhbar itu tidak sebagaimana yang dirinya maksudkan.  Oleh itu beliau menyaman ketua Pengarang kumpulan akhbar Utusan Malaysia Datuk Abdul Aziz Ishak dan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.


Pada 14 September  Mat Sabu, selaku plaintif memfailkan saman tersebut  melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.  Seterusnya mahkamah menetapkan tarikh 3 November sebagai tarikh pengurusan kes berkenaan.

Abdul Aziz dan Utusan telah memfailkan permohonan melalui peguamnya  Datuk Mohd. Hafarizam Harun supaya saman yang dilakukan oleh Mat Sabu dibatalkan. Permohonan ini didengarkan di Mahkamah Tinggi pada 23 November 2011.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 6 Disember 2011 sebagai keputusan terhadap permohonan Abdul Aziz dan Utusan untuk membatalkan saman oleh Mat Sabu.  Dan pada tarikh tersebut Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pihak defenden iaitu Abdul Aziz dan Utusan membatalkan tuntutan saman oleh plantif Mat Sabu.

Hakim Datuk John Louis O’hara menyifatkan tuntutan Mohamad sebagai remeh, menyusahkan, melampau dan menyalah gunakan proses mahkamah, seterusnya menolak tuntutan saman Mat Sabu dengan kos RM5,000.  Menurutnya butiran yang dikeluarkan oleh plantif untuk membuat tuntutan saman tidak memenuhi Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dalam writ saman fitnah.

Kesimpulannya, bukan semua perkara yang kita tidak puas hati boleh diselesaikan di Mahkamah.  Dalam kes ini, Mat Sabu yang cuba menyalahkan akhbar Utusan   di mahkamah terpaksa pula membayar RM5000.00 sebagai kos mahkamah kerana tuntutan samannya ditolak.

MALANGNYA nasib burung wak-wak

KASIHAN unggas hutan yang seolah-olah haiwan bersalah, sentiasa dalam kecemasan dan bila-bila sahaja akan  ‘dihukum mati’  oleh manusia yang mendakwa bertamadun.  Di desa atau kawasan pinggir hutan, ada manusia yang mengambil kesempatan terhadap haiwan yang memang sudah cemas kerana ‘kampung halamannya’ semakin kecil.  Sebenarnya manusia ini bukan kelaparan kerana kerajaan Malaysia telah mempelbagaikan program ekonomi, menyebabkan kadar kemiskinan yang membawa kebuluran langsung tidak ada.  Tetapi ada manusia yang sepatutnya bersyukur kerana tidak kebuluran, tidak perlu lagi memburu haiwan liar yang memang sudah cemas kerana masalah habitatnya.


Bayangkan, mereka bukan lagi sekadar menahan jerat yang mungkin mendapat satu atau dua ekor burung punai atau ayam hutan.  Mereka kreatif bersama teknologi, menggunakan rakaman suara burung untuk memanggil sebanyak mungkin unggas liar berkenaan.  Sesiapa yang sayangkan hidupan liar pasti sebab di dada apabila sekali mereka pergi ‘memerangkap’ burung wak-wak, jumlahnya sehingga 20 ekor.  Mereka akan pergi lagi ke beberapa kawasan lain untuk menangkap jumlah yang sama atau lebih besar.  Yang menambah sebak ialah daalm suatu kawasan, bukan hanya seorang yang ‘laparkan’ daging burung berkenaan, malah ada beberapa orang lain.


Ingatlah, negara kita ada undang-undang iaitu Akta Peliharaan  Hidupan Liar 1972. Sila klik http://www.pet-cockatiel.com/act.html untuk membaca akta berkenaan.  Namun akta sahaja tidak berguna apabila manusia tidak menghormati undang-undang dan makhluk Allah yang lain.  Allah sudah memberikan ‘al-An’am’ iaitu haiwan ternak sebagai keperluan makanan, namun ada manusia yang inteleknya tinggi masih memburu haiwan yang Allah jadikan dengan fungsi masing-masing dalam sistem ekologi.

Kasihan burung-burung hutan yang selama ini menjadikan alam tersusun dalam jadual dan indah pada pandangan mata.  Di hadapan mata kita satu persatu burung ini akan pupus…

Selasa, 6 Disember 2011

TIRU saja karangan orang lain

SEORANG mantan pelajar saya lepasan STPM tidak berjaya memasuki IPTA, dan rezekinya menjadi kakitangan kerajaan sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah menengah.  Beberapa hari yang lalu (dalam musim cuti sekolah ini) saya bertemu dengannya.  Saya cadangkan kepadanya supaya menulis buku kerana tugasnya bukanlah padat dan berpeluh-peluh, tambahan pula jika musim cuti sekolah.  Katanya, “hendak menulis satu perenggan pun mengah!”

Mengarang bukanlah bakat sejak dalam rahim ibu.  Mengarang adalah kemahiran dan ada seninya tersendiri.  Kemahiran mengarang  boleh dicari, dipupuk dan dijadikan satu pekerjaan.  Cuba lihat di sekeliling kita, hari-hari ada surat khabar, majalah, buku-buku dan pelbagai media yang memaparkan tulisan.  Ada peguam yang berhenti menjadi ‘loyar’ kerana menjadi penulis sepenuh masa.  Ada banyak lagi doctor, jurutera, guru dan pemabuk pun menjadi penulis tanpa meninggalkan kerjayanya.  Maaflah saya sebut pemabuk sekali.  Pamabuk, jika tidak dalam zon mabuk, dia pun boleh menulis atau mengarang!

Di Malaysia, kemahiran mengarang sudah diajar sejak di Tahap Satu sekolah rendah.  Setiap pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mesti ada pelajaran mengarang.  Setiap tahap dan tingkatan sehingga Tingkatan Enam Atas mesti ada pelajaran mengarang.  Dengan panjangnya sejarah belajar mengarang, sepatutnya semua rakyat Malaysia boleh mengarang dalam mana-mana media. Hakikatnya, kebanyakan menjadi pembaca hasil karangan orang lain.

Mengarang ialah mencetak maklumat yang selama ini tersimpan dalam minda.  Maklumat yang terkumpul itu diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk pembacaan.  Kalau tidak gila membaca pun masih boleh mengarang, mencetak hasil pemerhatian dan pengalaman hidup.

Hasil karangan dalam Pengajian Am Kertas 2 ada standardnya tersendiri.  Secara umum, kedua-dua laras karangan itu masih sama dengan apa jenis karangan yang dipelajari sejak tahap satu dahulu.  Soalnya mengapa sebagian besar karangan pelajar masih tidak berjaya berada dalam statusnya sendiri: Level STPM!

Yang saya ajarkan kepada pelajar-pelajar saya ialah, tiru sebuah karangan!  Namun janganlah mendakwa karangan itu hasil minda kita pula.  Kita wajib meniru untuk mendapat hasil yang baik.  Maka tirulah sebuah karangan yang baik, orang kata ‘bulat-bulat’.  Saya teringat dahulu, tanpa pendidikan menulis cerpen dan teringin sangat menghasilkan cerpen maka saya meniru tulis sebuah cerpen orang lain.  Hari ini (syukur), mudah saya menulis cerpen.

Setelah meniru, kita wajib mengkajinya.  Kajian ini termasuk jumlah perkataan isi-isi serta pemerangganan.  Jika pelajar-pelajar sudah membuat kerja meniru ini sehingga tiga kali (termasuk mengkaji semua aspek karangan itu), mustahil pelajar itu masih mendakwa ‘bengap betul’ dalam membuat karangan.

Sebagai pelajar prauniversiti, membaca sepatutnya bukan sebagai hobi tetapi sebagai kerja.  Kerja membaca bermakna membaca bahan yang tepat dan menekuni maklumat yang diterima.  Kalau membaca masih gaya calon SPM, habislah…..

OK, bacalah kemudian menulislah.  Tukar pemikiran daripada bersahaja dalam pembacaan kepada kerja membaca dan menulis.  Insya Allah, tangan akan lancar menulis selama tiga jam!