Rabu, 11 Januari 2012

TUJUH kali peperiksaan sebelum STPM

PELAJAR-pelajar Enam Atas tahun ini akan menduduki peperiksaan STPM.  Inilah tahun yang akan dilalui dengan penuh cabaran untuk mentukan berjaya atau tidak memasuki universiti, khasnya universiti awam.  Sepatutnya semua pelajar sudah membuat sasaran kursus ijazah pertama mereka di universiti yang mereka sasarkan juga.  Kata pakar motovasi, inilah matlamat yang jelas, bukan sekadar berjaya menjejakkan kaki ke universiti!

Untuk mendapatkan kejayaan yang baik dalam semua subjek, khasnya Pengajian Am, semua pelajar mesti menjalani latihan dan peperiksaan format STPM.  Berapa kalikah peperiksaan Pengajian Am pada tahun 2012 ini?  Secara umum semua sekolah di Selangor sudah ditetapkan jadual ujian dan peperiksaan tahun ini sebanyak empat kali.  Dua kali ujian bulanan yang masanya sejam dan dua kali peperiksaan berformat STPM sebenar.  Cukupkah dengan empat peperiksan itu untuk dijadikan panduan dan kayu ukur tahap pencapaian Pengajian am pelajar-pelajar?

Sebagai guru, saya mengatakan pelajar-pelajar perlu menghadapi tujuh peperiksaan sepanjang tahun 2012 sebelum melangkah ke dewan peperiksaan sebenar dengan hati tenang. Semua peperiksaan itu mestilah menepati format sebenar supaya pelajar-pelajar biasa menghadapi suasana peperiksaan sebenar termasuk sistem pemarkahan jawaban pelajar.  Ini nampaknya mengerutkan dahi guru-guru sebab untuk memeriksa Kertas 2 Pengajian Am memerlukan masa yang agak lama, tambahan jika mengajar lebih dua kelas.  Namun, itulah pengorbanan guru untuk pelajar-pelajarnya.

Ujian bulanan yang memakan masa hanya satu jam langsung tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan gred pencapaian kertas 2.  Satu jam itu untuk Bahagian C dan D?  Jika seorang pelajar tersalah media untuk Bahagian D markah maksimumnya untuk bahagian D hanya 1hingga 3.  Dalam peperiksaan format sebenar, kegagalan pelajar menjawab bahagian D boleh ditampung dengan keupayaan dan keberkesanan menjawab empat bahagian lain.  Hal ini yang menyebabkan markah untuk Kertas 2 agak anjal dan pelajar-pelajar tidak perlu diburu kebimbangan akan gagal dalam peperiksaan.

Selain itu pelajar-pelajar mestilah membuat kajian mengenai soalan-soalan yang kerap ditanya dalam sejarah STPM. Misalnya untuk kertas 1, bukan semua yang dipelajari dalam kelas akan ditanya dalam kertas soalan.  Sebagai contoh dasar-dasar kerajaan yang sudah lama seperti Rancangan Malaya atau Rancangan Malaysia Pertama dan Rancangan Malaysia kedua pasti tidak akan ditanya.  Tidak perlulah pelajar mendalaminya sampai merah mata!  Untuk soalan kualitatif dan kuantitatif mesti dilalui dengan pengalaman.  Pelajar wajib melakukan latihan menjawab iaitu berfikir dan membuat pengiraan, untuk cekap menjawab dengan betul.

Waktu inilah pentingnya sahabat.  Sahabat yang akan saling bantu-membantu, bertukar-tukar informasi atau contoh soalan. Dan jangan lupa, guru adalah sebagian sahabat pelajar-pelajar.