MASUK Tingkatan Enam dan ambil STPM atau belajar di kolej? Persoalan ini bukan sahaja perlu dijawab oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima sekarang, malah oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam juga untuk mengukuhkan pendiriannya berada di Tingkatan Enam. Inilah jawaban mengapa anda berada di Tingkatan Enam dan akan menduduki STPM!
Pertama: Masa pengajian yang singkat iaitu selama 18 bulan atau setahun setengah. Anda masuk Tingkatan Enam pada bulan Mei tahun semasa dan akan berakhir pada bulan Disember tahun hadapannya. Jika anda masuk kolej, anda memerlukan masa selama tiga tahun untuk mendapatkan diploma yang sama taraf dengan STPM.
Kedua: Kos yang sangat rendah berbanding belajar di kolej. Tanpa yuran persekolahan dan peperiksaan, anda belajar secara percuma di Tingkatan Enam. Malah hak mendapat boucer RM200 pada tahun 2012 turut dinikmati oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam sama seperti rakan-rakan mereka yang menuntut di IPTA atau kolej swasta. Pelajar Tingkatan Enam juga berpeluang mendapat biasiswa prauniversiti RM90.00 atau RM110.00 sebulan daripada kerajaan.
Ketiga: Dalam jagaan keluarga! Semua pelajar Tingkatan Enam menikmati kasih sayang berterusan ahli keluarga kerana tidak perlu berpisah jauh daripada ibu bapa. Sekalipun ada yang tinggal di asrama, sekolah mereka tidaklah jauh dari rumah. Berbanding dengan pelajar di kolej yang terpaksa menyewa rumah dan menghadapi masalah pengangkutan ke kolej, pelajar Tingkatan Enam boleh melupakan masalah berkenaan. Seperti masih di sekolah rendah, ibu tidak cerewet menyediakan masakan tengah hari kepada pelajar Tingkatan Enam.
Keempat: sijil yang laku! Wow, cuba bandingkan sijil STPM dengan sijil matrikulasi? Ya, sekarang ada isu lebih 12 ribu pemegang sijil matrikulasi yang tidak mendapat tempat ke IPTA, namun bolehkah sijil mereka digunakan untuk memohon pekerjaan? Jawabnya tidak, sebaliknya sijil STPM tetap laku dalam pasaran kerja dalam dan luar negara. Malah pemegang STPM boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana sijil ini diiktiraf oleh negara-negara asing.
Pengalaman maklumat saya, ada ibu bapa yang melarang anaknya memilih mana-mana kolej walaupun keputusan peperiksaanya sangat cemerlang. Mereka sudah membaca adanya peluang dan kemudahan sepanjang anaknya berada di Tingkatan Enam berbanding menghantar anaknya belajar di kolej yang jauh itu. Peluang ke university tetap terbuka luas kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam.
Jangan timbulkan isu remeh-temeh seperti berpakaian seragam dan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, sedangkan kebaikan-kebaikan lain sangat besar.