Memaparkan catatan dengan label K2 bahagian C. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label K2 bahagian C. Papar semua catatan

Selasa, 9 Ogos 2011

PEMAHAMAN C, mudah tapi bermuslihat


Soalan bahagian C antara yang digemari pelajar kerana peluang mendapat markah yang tinggi.  Hal ini bermakna, pelajar-pelajar mampu memberi jawaban yang menepati atau hampir menepati skema jawaban.  Namun, namanya pun soalan maka tentulah prinsip pengujian mesti dikekalkan dalam setiap soalan.   Contoh soalan Bahagian C (nombor 5) di bawah merupakan contoh yang mudah untuk menguji kepintaran pelajar memberi jawabannya.

5a.  “Usaha-usaha untuk mengitar semula bahan buangan secara besar-besaran dapat mengurangkan sejumlah sampah di persekitaran kita dengan amalan pengurangan, guna semula dan kitar semula.  Meskipun kesungguhan pihak berkuasa sememangnya banyak membantu melancarkan proses ini, namun dari segi teknikalnya aktiviti ini merupakan proses yang mudah, malah menguntungkan semua pihak.”
Dipetik dan diubahsuai daripada
Program Kita Semula, Utusan Malaysia, Februari 2006.

i)                     Apakah tujuan mengitar semula bahan buangan?
ii)         Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, nyatakan kebaikan daripada program kitar semula bahan buangan.

Soalan nombor dua boleh disifatkan satu perangkap kepada jawaban.  Sebenarnya jika pelajar kerap membuat klasifikasi dalam pemikirannya, dia dapat membedakan antara kebaikan kitar semula dengan kebaikan melupuskan sampah.  Matlamat akhir kedua-duanya sama iaitu menghapuskan sampah!

Soalan kedua itu benar-benar meminta kebaikan daripada pelaksanaan kitar semula bahan buangan.  Oleh itu jawaban pelajar mestilah menjelaskan hanya kebaikan daripada kitar semula.  Kebaikan-kebaikan daripada proses pelulusan sampah atau pembersihan, jelas bukan dalam skema jawaban ini.

Kebaikan kitar semula bahan buangan:
i.                     Memaksimukkan penggunaan bahan sumber.
ii.                   Mengelakkan pembaziran.
iii.                  Mengelakkan pencemaran alam.
iv.                 Menambah pendapatan sebenar.

Kebaikan pelupusan sampah:
i.                     Mengelakkan pencemaran alam.
ii.                   Mengelakkan penyakit akibat kekotoran.
iii.                  Mewujudkan suasana kemas dan bersih.

Jawaban yang dicadangkan ialah
i.                     Tujuan mengitar semula bahan buangan ialah untuk mengurangkan jumlah sampah.

ii.                   Kitar semula dapat memaksimumkan penggunaan bahan sumber. Kotak-kotak  yang dikitar semula boleh dijadikan kertas atau kotak baru.  Penggunaan semula  ini merupakan penambahan hayat penggunaan bahan sumber.

   Pencemaran boleh dielakkan dengan kitar semula. Bahan-bahan plastik yang sukar terurai  boleh dijadikan barangan kali kedua.  Penjualan bahan buangan ini juga boleh menambah pendapatan seseorang.  

Jumaat, 1 April 2011

CARA menjawab dan ulasan memahami teks

Pemahaman laras sastera
1.       “Rasuah merupakan amalan yang tidak bermoral yang boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati dan ketidakpercayaan orang ramai terhadap kakitangan sektor awam.  Keadaan ini boleh memberi imej buruk dalam kalangan pelabur asing dan secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara.”
(dipetik daripada majalah Dewan Masyarakat,Mac 2003)
i.                     Apakah impak amalan rasuah kepada negara?
ii.                   Dengan tidak menggunakan lebih 50 patah perkataan, huraikan cara kerajaan mengurangkan ketidakkepercayaan orang ramai kepada kakitangan  awam.

Ø  Jawaban no i mestilah terdapat dalam ayat terakhir petikan.  Isi yang mesti ada ialah imej buruk dalam kalangan pelabur asing (1 markah) dan menjejaskan ekonomi negara (1 markah).

Ø  Jawaban no ii mestilah bermaksud cara kerajaan membanteras rasuah dalam kalangan kakitangan awam.  Soalan tampak mengelirukan apabila calon diminta mencatat cara kerajaan mengurangkan ketidakpercayaan orang ramai….. Ayat itu bermaksud orang ramai tidak percaya kakitangan kerajaan kerana amalan rasuah.  Oleh itu calon diminta memberikan cara yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengurangkan rasuah, sekaligus bererti tahap kepercayaan orang ramai terhadap kakitangan kerajaan.

Ø  Calon yang memberi jawaban cara kerajaan mengatasi masalah tidak percayanya orang ramai terhadap kaki tangan awam yang tidak dikaitkan dengan rasuah, jelas terseleweng (TR).

Ø  Antara cara kerajaan membanteras rasuah adalah:  menukar struktur BPR kepada SPRM, meningkatkan hukuman pesalah rasuah, menguatkuasakan semua undang-undang berkaitan rasuah, melindungi peribadi pemberi maklumat, mengadakan kempen-kempen antirasuah dan  memberi pendidikan hal keburukan rasuah terhadap generasi muda.

Pemahaman laras sains
2.       Kepupusan hidupan liar sering dikaitkan dengan aktiviti manusia sebagai agen pemusnah hidupan akuatik dan daratan.  Aktiviti pemburuan haiwan untuk tujuan perubatan dan makanan menyebabkan haiwan pupus.  Pemburu memburu haiwan  dan dijual untuk dijadikan makanan atau kesihatan untuk memulihkana tenaga.”
(dipetik daripada Dewan Siswa, 2005)

i.                     Apakah punca hidupan liar mengalami kepupusan?
ii.                   Dengan menggunakan tidak lebih 50 patah perkataan, huraikan cara terbaik untuk mengelak kepupusan hidupan darat.

Ø  Jawaban no i mesti mengandungi dua isi iaitu tujuan perubatan dan makanan (2 markah).

Ø  Jawaban no ii mestilah jelas menggunakan kaedah sains.  Calon yang memberikan kaedah seperti penguatkuasaan undang-undang, kempen kesedaran dan pendidikan merupakan jawaban laras sastera yang tidak sesuai (TR).

Ø  Antara cara sains yang dilakukan ialah melakukan penyelidikan dan pembangunan pembiakan baka, melakukan pengklonan dan pengkacukan baka, menyediakan pusat pemuliharaan haiwan (seperti di Sepilok) dan  membina taman haiwan (seperti zoo).

Isnin, 28 Mac 2011

CARA menjawab soalan bahagian C


BAHAGIAN C
Kefahaman dan ulasan teks laras sains

6a)  “Penyakit kanser atau barah merupakan penyakit kronik yang sukar diubati.  Berdasarkan kajian, penyakit ini boleh diwarisi secara genetik.  Faktor amalan hidup memainkan peranan penting seseorang mendapat penyakit kanser walaupun kajian perubatan membuktikan punca pemakanan lebih tinggi berbanding keturunan.”
 (dipetik daripada Buletin Pengguna, Mei  2006)

i.                     Berdasarkan petikan di atas, apakah penyakit kanser?
ii.                   Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan amalan hidup sihat untuk mengurangkan risiko penyakit kanser.

Bahagian C untuk laras sains ialan nombor 6a atau 6b, pilihlah salah satunaya!

Cara menjawab soalan i (6ai).
i    Jawaban hanya menggunakan satu ayat.  Ada calon loyar buruk dengan menulis satu ayat yang panjang barulah dinoktahkan.  Maaf, calon ini pasti tidak mendapat markah penuhnya iaitu DUA.

ii   Walaupun hanya satu ayat, jawabannya sudah tersedia dalam petikan.  Sebaik-baik jawaban ialah, calon memilih perkataan sendiri dalam menerangkan maksud daripada petikan.

iii  Sebagai contoh, jika calon menyalin sepenuhnya: Penyakit kanser atau barah merupakan penyakit kronik yang sukar diubati, maka calon tidak mendapat markah!

Untuk mendapat markah penuh, calon boleh menulis jawaban itu begini:
Penyakit kanser merupakan penyakit kronik yang sangat sukar diubati.

iv  Jika calon menulis lebih daripada satu ayat, maka ayat kedua tidak dinilai apa-apa dalam pemarkahan.  Hanya ayat pertama yang dinilai.

Cara menjawab soalan ii (6aii)
i   Pastikan semua jawaban calon tidak melebihi 50 patah perkataan.  Sebarang perkataan selepas kiraan 50 tidak akan dinilai dalam pemarkahan.

ii  Tulislah jawaban ini dalam dua perenggan.  Peranggan satu mengandungi SATU idea dan DUA huraian dan perenggan dua juga mengandungi SATU idea dan DUA huraian.  Oleh itu setiap satu perenggan mengandungi tidak lebih 25 patah perkataan.

iii  Contohnya
     Idea 1: Mengawal pemakanan
     Huraian 1: Seseorang perlu mengurangkan makanan berkolesterol tinggi.
     Huraian 2: Contoh daging berkolesterol tinggi ialah daging babi dan lembu.

     Idea 2: Berhenti merokok
     Huraian 1: Rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan.
     Huraian 2: Bahan kimia dalam rokok menyebabkan barah.

Tulislah begini:

     Untuk mengelakkan barah, seseorang perlu mengawal pemakanannya.  Makanan yang berkolesterol tinggi perlu dijauhi. Antara makanan tersebut ialah daging babi dan lembu.
     Selain itu, mereka yang merokok mesti berhenti merokok.  Terdapat nikotin dalam rokok yang menyebabkan ketagihan dan bahan-bahan kimia yang menyebabkan penyakit barah.

iv   markah keseluruhan untuk nombor ii ialah lapan! Pembahagian markah ini ialah DUA markah untuk idea, EMPAT markah untuk huraian dan DUA markah bahasa.

Markah keseluruhan untuk soalan (i) dan (ii) ialah 10.

Jumaat, 25 Mac 2011

MULAKAN menjawab K2 di bahagian C

NASIHAT saya kepada calon yang menjawab Kertas 2 supaya memulakan menjawab Bahagian C, berbanding bahagian-bahagian lain.  Bahagian C terbahagi kepada dua bahagian kecil, iaitu nombor soalan 5 untuk laras sastera.  Terdapat dua soalan untuk nombor 5 iaitu 5a dan 5b.  Calon hanya dikehendaki memilih  salah satunya.  Markahnya ialah 10.

Soalan nombor 6 juga dibahagikan kepada dua iaitu 6a dan 6b, dan calon perlu menjawab salah satunya.  Markahnya juga 10.  Oleh itu untuk Bahagian C markah keseluruhan  ialah 20.  Untuk menjawab kedua-dua soalan ini juga tidak memerlukan masa yang lama.