Memaparkan catatan dengan label K1 Dasar Luar Negara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label K1 Dasar Luar Negara. Papar semua catatan

Jumaat, 15 Julai 2011

ANIFAH Aman ke Mesyuarat Asean di Bali

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-44, Pasca Persidangan Menteri (PMC) dan Forum Serantau Asean ke-18 di Bali, Indonesia pada 16 hingga 23 Julai ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, AMM kali ke-44 akan dimulakan dengan beberapa mesyuarat penting yang lain iaitu mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Asean (SOM) dan mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
"AMM ke-44 ini akan memberi tumpuan kepada Pembinaan Komuniti Asean dan pelaksanaan Piagam Asean. Para menteri akan membincangkan langkah-langkah untuk mencapai tema dianjurkan Indonesia, yang menjadi Pengerusi Asean, iaitu "Komuniti Asean Dalam Komuniti Global".
"Selain itu, mesyuarat juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau kepentingan bersama serta meningkatkan hubungan Asean dengan rakan-rakan dan komuniti global," menurut kenyataan itu.
Menteri-Menteri Luar Asean turut dijadual menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean+3 dan Perundingan Menteri-Menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
"Perundingan Menteri-Menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Asia Timur akan melibatkan buat pertama kali Menteri Luar Rusia dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat," menurut kenyataan itu.
Para Menteri Luar Asean turut dijadualkan menghadiri PMC bersama dengan rakan sejawatan daripada rakan dialog termasuk Australia, Kanada, India, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat.
"Menteri-Menteri Luar akan menyemak semula pencapaian sebelum ini dan membincangkan hala tuju masa hadapan," menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Ahad, 8 Mei 2011

MALAYSIA tawar jadi tuan rumah ASEMME 2013

2011/05/08
COPENHAGEN: Malaysia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (ASEMME) pada 2013, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata, Malaysia sudah menyampaikan hasrat untuk mengadakan persidangan itu di Kuala Lumpur ketika mesyuarat persiapan ASEMME pada Januari.  "Status tawaran Malaysia itu akan diketahui pada persidangan ASEMME kali ini yang berlangsung di ibu negara Denmark, katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan penuntut di Denmark.


Khaled berada di sini bagi menghadiri ASEMME kali ketiga itu. ASEMME yang menghimpunkan pembuat dasar dan keputusan dalam bidang pendidikan dari Asia dan Eropah, diadakan dua tahun sekali. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dijadualkan tiba di Copenhagen hari ini, akan berucap pada sesi plenari ASEMME ketiga itu eok. 

Mohamed Khaled berkata, antara perkara yang akan dibincangkan pada ASEMME yang berlangsung di Axelborg Hall itu adalah mengenai jaminan kualiti dan pengiktiran pengajian tinggi di Asia dan Eropah, soal penglibatan industri dan akademia, soal mengimbangi mobiliti pelajar dan pembelajaran sepanjang hayat. 

Katanya, perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan itu adalah isu yang sentiasa diberi perhatian oleh Malaysia. 
"Ia adalah perkara yang tidak boleh dielak dalam pengajian tinggi terutama dalam dunia berasaskan pengetahuan dan terutamanya apabila negara yang beralih kepada ekonomi berasaskan inovasi," katanya. 

Mohamed Khaled juga berkata, penyertaan Malaysia ke ASEMME itu memberi peluang kepada negara untuk melihat kepakaran Eropah dan berkongsi pengalaman dan pendekatan mereka untuk dimanfaatkan serta menjalin kerjasama. 

"Dalam zaman pengetahuan, kita bukan sahaja bersaing tapi kita juga bekerjasama. Kita kenal pasti kepakaran, kekuatan sesuatu negara. Asas daripada itu kita bekerjasama. Pokoknya dalam zaman ilmu, macam mana kita boleh dapat ilmu dari sesebuah negara dan universiti, bagaimana kita dapat kongsi pengalaman itu untuk dimanfaatkan," katanya. - BERNAMA 

PERTUKARAN suaka politik Malaysia-Australia

SUAKA politik ialah perlindungan politik.  Sebagai contoh, seseorang rakyat negara China yang berfikiran demokrasi merasa tidak selamat untuk terus tinggal di China yang mengamalkan sistem komunis. Oleh itu beliau telah melarikan diri ke sebuah negara yang difikirkan selamat.  Orang seperti ini mencari perlindungan politik atau suaka politik.  Pendirian sesebuah negara seperti Malaysia mengenai suaka politik juga merupakan salah satu elemen dalam Dasar Luar Negara.



MELBOURNE 8 Mei c— Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra memberi jaminan kepada Australia bahawa pemohon suaka yang dipindahkan ke Malaysia akan dilayan dengan penuh perikemanusiaan dan bermaruah.  Datuk Salman Ahmad memberitahu Sky TV pada Ahad bahawa, pemohon suaka yang dihantar ke Malaysia akan diberi kebebasan bergaul dengan masyarakat sementara menuggu permohonan mereka diproses.

"Mereka tidak akan ditempatkan di mana-mana pusat tahanan,” katanya.  Salman membayangkan bahawa cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia itu mungkin dilaksanakan sekali sahaja dan butiran terperinci mengenainya akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Katanya, Kuala Lumpur mengalu-alukan komitmen Australia untuk mengambil lebih banyak pelarian di Malaysia yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang 94,000 orang.

Di bawah persetujuan sedia ada, Malaysia akan mengambil 800 orang yang cuba pergi ke Australia manakala Australia pula bersetuju mengambil 4,000 pelarian yang berada di Malaysia. — Bernama

Jumaat, 6 Mei 2011

MALAYSIA bantu Lesotho. Di mana Lesotho?


PUTRAJAYA: Malaysia dan Lesotho berikrar untuk mengukuhkan pembangunan modal insan antara kedua-dua negara dengan yang terkini Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan melatih pasukan polis negara itu.  Di samping itu, Malaysia akan juga melatih sesetengah diplomat Lesotho di sini.  Ini adalah antara hasil perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Lesotho Pakalitha Mosisili di sini Khamis.


"Kita mengadakan perbincangan dua hala yang sangat berhasil dan menarik. Kita telah meneroka kerjasama dua hala yang baru dan Perdana Menteri (Mosisili) sangat berminat agar Malaysia terus menyokong Lesotho khasnya dalam pembangunan modal insan dan latihan.

"Sejak kita lancarkan MTCP (Program Kerjasama Teknikal Malaysia), kita telah menerima 94 pegawai dari Lesotho dalam pelbagai latihan dan program latihan ini di bawah MTCP akan diteruskan pada masa akan datang," kata Najib pada persidangan media bersama dengan Mosisili hari ini.

Ini merupakan lawatan pertama Mosisili ke Malaysia sungguhpun pernah berada di negara ini untuk menghadiri Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1997, 1999, 2002 dan 2007.  Mengenai latihan polis, Najib berkata Mosisili membuat permintaan tertentu agar PDRM melatih pegawainya di Lesotho khasnya dalam bidang ketenteraman awam dan keselamatan termasuk penambaikan kemampuannya.

"Saya gembira memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia bersedia untuk menyokong permintaan ini dengan menghantar beberapa jurulatih kita dan program latihan ini akan dimulakan dalam tempoh terdekat," kata beliau.  Najib berkata Malaysia juga menerima permintaan Lesotho agar diplomatnya menjalani program latihan di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDFR) di Kuala Lumpur.

"Program latihan ini akan dimulakan pada Oktober tahun ini dan Lesotho dialu-alukan untuk menghantar sesetengah diplomatnya ke sini," tambah beliau.

Sementara itu, Mosisili melahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan oleh kerajaan Malaysia dalam pembangunan sumber manusia untuk rakyat Lesotho.  "Pembangunan sumber manusia adalah kunci utama dalam usaha kita untuk pembangunan di mana-mana negara.

"Kerana, sumber-sumber lain tidak boleh digunakan jika rakyat tidak dilatih dengan sempurna untuk memberikan manfaat kepada rakyat biasa lain," tambah Najib. -BERNAMA

Rabu, 4 Mei 2011

APA Israel dan Palestin?

MEMANG diakui tidak banyak orang dapat menjawab berkaitan negara Israel dan Palestin, sedangkan Dasar Luar Malaysia mengenai Israel dan Palestin sangat jelas.  Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel sejak negara itu disitiharkan pada tahun 1948.  Hal ini kerana penubuhan Israel di atas wilayah sah bangsa Arab Palestin.  Malaysia senantiasa komited memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan kembali hak negara mereka yang ditukar nama dan pemerintahan menjadi Israel.

Perhatikanlah kedudukan negara Israel yang sebenarnya negara Palestin.  Palestin berjiran dengan Mesir di selatannya, Jordan di Timur dan Syira di utaranya.  Sejak tahun 1948, wilayah Palestin semakin sempit kerana kemasukan bangsa Yahudi dari seluruh dunia untuk menjadi rakyat Israel.  


Perhatikan perubahan wilayah pendudukan Palestin sejak tahun 1946 sehingga 2000 (warna hijau).  Apa yang diistiharkan sebagai negara Palestin hari ini hanyalah Semenanjung Gaza yang bersempadan dengan Mesir dan Tebing Barat.  Itulah sisa wilayah Palestin yang tidak ada jaminan sebagai wilayah kekal bangsa Arab Palestin.

Selasa, 26 April 2011

DASAR Luar tiga PM Malaysia

SALAH satu faktor penentu Dasar Luar Negara ialah kepemimpinan negara.  Seorang Ketua Eksekutif negara seperti Perdana Menteri sangat mempengaruhi bentuk Dasar Luar.  Jika pelajar ingat sejarah Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia pada tahun 1963-65 dahulu jelas faktor pemimpin negara itu menjadi punca berlakunya konfrontasi dan pengenduruannya pula.  Konfrontasi dilancarkan oleh Presiden Soekarno tahun 1963, tetapi apabila Soeharto menggantikan Soekarno konfrontasi terhadap Malaysia dihentikan.

 Tun Razak dan Mao Zedong

PM pertama Tunku Abdul Rahman Putra secara jelas membawa pendirian negara yang baru merdeka condong ke arah  Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat.  Sikap condong kepada Barat semakin jelas apabila PM Tunku menerima kunjungan Persiden Amerika Syarikat LB Johnson sewaktu Perang Amerika-Vietnam.  Benar juga sejarah hidup dan pendidikan Tunku banyak di Britain menyebabkan pemikiran beliau yang pro-Barat.

Kembali kepada matlamat Dasar Luar untuk menjaga kepentingan negara, tindakan PM waktu itu adalah untuk melindungi negara daripada ancaman komunisme yang menjadi musuh negara.  Perlu diingat bahawa sewktu negara merdeka tahun 1957, merupakan zaman kemuncak Perang Dingin antara Amerika Syarikat (demokrasi-liberal) terhadap Kesatuan Soviet-China (komunisme).

Namun yang menarik ialah tindakan PM Tun Razak pada tahun 1974 mengubah Dasar Luar daripada hanya memihak kepada Barat kepada menerima kedua-dua Blok politik dunia.  Kayu aras yang penting ialah termeterinya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tahun  1974 yang membawa lawatan PM Tun Razak ke Beijing pada tahun 1976!

Sebagai sebuah negara kecil memang Malaysia tidak ada keupayaan untuk bertindak sendirian mengarung kancah politik dunia yang rencam.  Sebelumnya kuasa besar Amerika Syarikat juga telah mengubah dasar daripada memusuhi China kepada menjadikan China sebagai sahabat.  Tindakan Amerika Syarikat ini disebabkan berlaku pertelingkahan antara dua kuasa komunis iaitu Kesatuan Soviet dan China.  Amerika Syarikat mahu membuat tekanan terhadap kuasa besar komunis itu (Kesatuan Soviet) dengan memihak kepada China.  Keberadaan Amerika Syarikat di China membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka hubungan yang lebih baik dengan China sekalipun Parti Komunis China masih memberi sokongan moral kepada Parti Komunis Malaya yang memberontak dalam zaman darurat (1948-60).

Apabila Tun Dr Mahathir menjawat PM pada tahun 1981, Dasar Luar Malaysia agak anti-Barat dan pro Timur, iaitu Jepun dan Korea.  Tun Dr Mahathir memang tidak mendapat pendidikan di mana-mana negara Barat, oleh itu sikapnya terhadap Barat sangat kritikal.  Slogan ‘Buy British Last’ pada zaman awal Tun Dr Mahathir menjadi PM jelas sikapnya yang jengkel terhadap dunia Barat.

Khamis, 21 April 2011

ASEAN: antara krisis dan semangat penduduknya


oleh Faridzwan Abdul Ghafar (Berita harian 21.04.2011)

CADANGAN segelintir ahli akademik dan aktivis politik rantau Asia Tenggara yang menginginkan negara ASEAN peranannya menjurus kepada kesatuan politik dilihat sukar untuk dilaksanakan. Impian mereka yang mahu melihat ASEAN bergerak sebagai entiti politik negara serantau boleh menjejaskan kestabilan dan hubungan diplomatik rantau Asia Tenggara dengan negara di rantau Asia yang lain.

Aktivis politik dan ahli akademik terbabit kerap mencanangkan kepada 600 juta penduduk Asia Tenggara menerusi pelbagai saluran, termasuk media baru bahawa ia boleh dilaksanakan dengan berpandukan model pembentukan Kesatuan Eropah (EU) yang dianggap berjaya itu.


Hakikatnya, tujuan penubuhan ASEAN dan EU adalah berbeza, di samping faktor demografi negara anggota sama ada ASEAN atau EU yang diketahui menerusi rentetan sejarah yang langsung tidak sama.

Masyarakat antarabangsa mengetahui bahawa ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok pada asalnya dianggotai Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina adalah untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis Kesatuan Soviet dan China. 

Selain itu, ASEAN juga dijadikan platform bagi memacu kerjasama hubungan serantau kerana negara anggota pada masa itu kebanyakannya baru mengecapi nikmat kemerdekaan dan sedang dalam proses pembelajaran mengenai hubungan antarabangsa. 

Sejak itu, peranannya berkembang sejajar dengan peredaran zaman dan berjaya untuk menarik minat negara Asia Tenggara lain seperti Brunei, Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar untuk menganggotainya.  Malah, selepas tamatnya Perang Dingin, ASEAN sekali lagi berubah dengan menumpukan kepada kerjasama ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan mewujudkan pentas perbincangan bagi membawa pelbagai isu negara serantau secara rundingan. 

Walaupun persatuan negara Asia Tenggara itu bersatu dalam pelbagai kerjasama, tetapi ia masih mengekalkan identiti dan kepentingan masing-masing lantaran perbezaan sistem politik, budaya, bahasa dan agama. 

Ia sangat jelas bahawa terlalu banyak perbezaan latar belakang yang harus diatasi jika ASEAN ingin berubah kepada kesatuan politik serantau seperti yang berlaku kepada negara anggota EU. EU tidak mengalami masalah perbezaan ketara seperti dialami negara anggota ASEAN, terutama apabila ia membabitkan pertumbuhan ekonomi dan kadar kuasa beli penduduk setempat. 

Berbanding dengan ASEAN, EU ditubuhkan bagi mengatasi masalah nasionalisme melampau di kalangan penduduk Eropah, selain menyatukan kuasa ekonomi bagi mengurangkan persaingan dan mendapatkan pasaran yang lebih luas. 

Nasionalisme melampau dan persaingan ekonomi antara negara berkuasa besar di Eropah menyebabkan dua perang dunia tercetus dan mengakibatkan masyarakat antarabangsa trauma dengan agenda Eropah. Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman, berkata ASEAN sebenarnya berdepan dengan krisis penentuan identiti dan semangat serta jati diri membabitkan penduduk negara anggota. 

“Dulu kita ingat bahasa Melayu adalah identiti dan jati diri untuk penduduk ASEAN, tetapi dengan kemasukan negara seperti Laos, Myanmar dan Kemboja, nampaknya bahasa Melayu sukar untuk dilihat sebagai identiti ASEAN. 

“Kita perlu mengkaji semula titik persamaan antara negara anggota ASEAN jika mahu menjadi kesatuan politik serantau seperti EU, tetapi saya fikir ia agak mustahil untuk ke arah itu dan memerlukan masa yang lama,” katanya. 

Setakat ini, titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah kerjasama ekonomi kerana setiap negara anggota ASEAN saling bergantung antara satu sama lain bagi menjana pertumbuhan ekonominya, manakala kerjasama kesatuan politik adalah titik persamaan yang amat sukar dicapai. 

Justeru, tindakan yang boleh diambil negara anggota ASEAN ialah mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi serantau kerana kemakmuran ekonomi negara Asia Tenggara akan membawa kepada kestabilan politik, kemajuan pendidikan dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Isnin, 18 April 2011

TPM Muhyiddin ke China

BEIJING: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini pada Isnin untuk lawatan rasmi ke China selama seminggu.
Pesawat khas yang membawa Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing, kira-kira pukul 3 petang.
Ketibaan Muhyiddin bersama isteri disambut oleh Duta Besar Malaysia ke China Datuk Iskandar Sarudin dan pegawai-pegawai kedutaan.
Ini merupakan lawatan rasmi pertama Muhyiddin ke China sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Lawatan itu, yang akan menyaksikan Muhyiddin melawat Shanghai dan Guangzhou, adalah atas jemputan Naib Perdana Menteri Majlis Negara, Li Keqiang. - BERNAMA
(Dasar Luar Negara)

Khamis, 7 April 2011

ASEAN sedia capai penyambungan ICT 2015

NEGARA Asean sudah bersedia untuk mencapai penyambungan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) menjelang 2015, kata pegawai kanan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan. 

Ketua Penolong Setiausaha bagi sektor komuni-kasi, Lee Soon Hoe, berka-ta 10 projek kini dilaksanakan di negara anggota Asean bagi mencapai penyambungan berkenaan. “Kebanyakan projek itu dibiayai oleh Jepun dengan disokong rakan dialog Asean. Suruhanjaya Eropah turut menyokong dalam latihan untuk pegawai perundangan jenayah,” katanya kepada BERNAMA ketika Mesyuarat Pegawai Kanan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Asean Ke-11 (TEL-SOM) di Kuala Lumpur, semalam.

Lee berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam projek itu. “Beberapa projek baru tahun ini termasuk latihan dan perisian sumber terbuka untuk perundangan jenayah. Projek yang dijalankan termasuk amaran tsunami, teknologi hijau dan e-dagang. 

“Kami telah menyiapkan projek Cyber Kids yang dilaksanakan Persidangan Antarabangsa Mengenai Komunikasi Malaysia (MICC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Maxis,” katanya. 

Berita Harian 11.01.2011

Jumaat, 1 April 2011

SKOP Kertas 1 untuk 60 soalan

PENGAJIAN AM Kertas 1 adalah soalan-soalan beraneka jawaban.  Terdapat 60 soalan (objektif) yang perlu dijawab selama 2 jam.    Pembahagian soalan-soalan seperti berikut:

i.                    i.      Dasar – dasar  Dalam dan  Luar  Negara – 20 soalan
  1. Sistem Pentadbiran Malaysia  – 15 soalan
  2. Sistem Perundang-undanganan – 5 soalan
  3. Sistem Kehakiman – 5 soalan
  4. Penyelesaian Masalah – 15 soalan

DASAR-DASAR DALAM NEGARA
i)                    Dasar Ekonomi baru (DEB)
ii)                   Rancangan Malaysia (RMK – 6, 7, 8, 9, 10)
iii)                 Wawasan 2020
iv)                 Dasar Persyarikatan Malaysia
v)                  Dasar Penswastaan
vi)                 Dasar Pandang ke Timur
vii)               Dasar Pertanian
viii)            Dasar Perindustrian
ix)                 Dasar Sogoshosha
x)                  Dasar Kebudayaan Kebangsaan
xi)                 Dasar Pendidikan Kebangsaan – PIPP
xii)               Dasar Sosial Negara
xiii)              Pelan Integriti Nasional
xiv)             Dasar Automotif  Nasional
xv)               Dasar Sukan Negara


DASAR-DASAR LUAR NEGARA
i)                    Persatuan Negara-negara Asia tenggara (ASEAN)
ii)                   Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu  (PBB)
iii)                 Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM)
iv)                 Persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam  (OIC)
v)                  Kumpulan Membangun  Lapan (D8)
vi)                 Pertubuhan Komanwel
vii)               Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC)
viii)              Dialog Utara – Selatan
ix)                 Suruhanjaya Selatan-Selatan
x)                  Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS)
xi)                 Mesyuarat Asia – Eropah (ASEM)

SISTEM PENTADBIRAN MALAYSIA
a)      Kerajaan Persekutuan
b)      Kerajaan Negeri
c)       Kerajaan Tempatan

a)      Kerajaan Persekutuan
i)                    Bidang kuasa – Eksekutif – Perundangan - Kehakiman
ii)                   DYMM Yang Dipertuan Agong  & Majlis Raja-raja – bidang kuasa – mesyuarat – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja
iii)                 Suruhanjaya
iv)                 Ketua Audit Negara
v)                  Kabinet/Jemaah Menteri
vi)                 Ketua Setiausaha Negara
vii)               Jabatan Perdana Menteri (JPM) & Kementerian-kementerian
viii)              Agensi pelaksana & Jabatan-jabatan – UPE, UPP, JPA, PERBENDAHARAAN, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)
ix)                 Badan Berkanun & Badan Tidak Berkanun
x)                  Majlis dalam Perlembagaan – Majlis Kewangan, Majlis Tanah, Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan, Majlis Raja-raja
xi)                 Majlis tiada dalam Perlembagaan – Majlis Perancang Negara, Majlis Pembangunan Negara,  Majlis Keselamatan Negara
xii)               Sumber kewangan Kerajaan Persekutuan
xiii)              Belanjawan

b)      Kerajaan Negeri
i)                    Bidang kuasa
ii)                   Sistem Pentadbiran Kerajaan negeri
iii)                 Kuasa Sultan/Yang Dipertua Negeri
iv)                 Dewan Undangan Negeri (DUN)  – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)
v)                  Menteri Besar/Ketua Menteri
vi)                 Setiausaha Kerajaan Negeri
vii)               Sumber kewangan negeri

c)       Kerajaan Tempatan
i)                    Bidang kuasa
ii)                   Sumber kewangan Kerajaan Tempatan


SISTEM PERUNDANGAN-UNDANGAN MALAYSIA
i)                    Badan Perundangan Persekutuan – Komponen Parlimen – Dewan Rakyat – Dewan Negara  - Keahliannya - Fungsinya – Pentadbirannya  – Proses penggubalan dan kelulusan Rang Undang-Undang
ii)                   Badan Perundangan Negeri – Komponen Dewan Undangan Negeri – Fungsinya – Keahliannya – Proses Penggubalan dan kelulusan undang-undang
iii)                 Pindaan Perlembagaan
a)      Pindaan yang memerlukan majoriti 2/3 ahli Majlis Parlimen & Perkenan Majlis raja-Raja
b)      Majoriti 2/3 ahli Majlis Parlimen
c)       Majoriti 2/3 ahli Majlis Parlimen dan kelulusan Yang Dipertua Negeri Sabah dan Sarawak
d)      Majoriti mudah Majlis Parlimen
iv)                 Pilihan Raya – Suruhanjaya Pilihan Raya – Peranan & Kuasanya – Perjalanan dan Prosedur  Pilihan raya

SISTEM KEHAKIMAN MALAYSIA
1         Fungsi Kehakiman
a)      Mentadbir keadilan
b)      Mentafsir Undang-Undang
c)       Menyelesaikan pertikaian
d)      Memelihara Hak Warganegara

2         Sistem Kehakiman
a)      Pentadbiran kehakiman
b)      Pelantikan dan pemecatan hakim
c)       Kebebasan Kehakiman

3         Struktur Mahkamah
a)      Mahkamah awam
b)      Mahkamah Khas
c)       Mahkamah Syariah
d)      Badan-badan Pengadilan lain

4     Atur cara (prosiding) mahkamah
a)      Atur cara sivil
b)      Atur cara jenayah


5    Perkhidmatan Perundangan
a)      Peguam Negara
b)      Peguamcara Negara dan Penggubal Undang-Undang Parlimen
c)       Biro Bantuan Guaman – Peranan & fungsinya

6    Lembaga Pengampunan – peranan & keanggotaannya
7    Istilah Kehakiman

Penyelesaian Masalah

1         Kuantitatif
2         Kualitatif