Memaparkan catatan dengan label K2 bahagian A. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label K2 bahagian A. Papar semua catatan

Rabu, 14 September 2011

AWASI setiap perkataan dalam soalan karangan


SEMUA guru berpesan supaya meneliti setiap perkataan dalam soalan peperiksaan.  Setiap perkataan pula membawa maksud tertentu, dan pastinya membawa jawaban yang berbeda.  Cuba perhatikan contoh dua soalan di bawah yang yang dibedakan dengan satu sahaja perkataan.

Soalan 1
Salah satu kesan aktiviti pemerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia.  Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut.  Bincangkan.

Soalan 2
Satu kesan aktiviti permerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut.  Bincangkan.

Jawaban soalan 1 merangkumi
Kesan-kesan
1.       Mencemarkan imej negara di mata dunia.
2.       Menjejaskan hubungan diplomatik antara bangsa.

Langkah-langkah
3.       Penguatkuasaan undang-undang.
4.       Memperkatat kemasukan pelancong asing.

Jawaban soalan 2 merangkumi
Kesan
1.       Mencemarkan imej negara di mata dunia.

Langkah-langkah
2.       Penguatkuasaan undang-undang.
3.       Memperketat kemasukan pelancong asing.
4.       Koordinasi antara beberapa kementerian.

Jumaat, 9 September 2011

MOTORSIKAL pembunuh yang berkesan

DALAM Ops Sikap ke-24 sempena Hari Raya ini, lebih 300 orang mati kemalangan di jalan raya.  Secara umum purata kematian sehari di Malaysia atas sebab kemalangan ialah 18 orang.  Kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan dan maut ialah anak muda penunggang motorsikal dan pemboncengnya.  Hal ini bermakna, jika kemalangan melibatkan motorsikal dapat dikurangkan dengan banyak, maka purata kematian 18 orang pasti turun mendadak.


Dalam usaha mengatasi masalah kemalangan dan kematian di jalan raya, kita mesti memberi cadangan yang dapat mengurangkan kemalangan tetapi tidak mengurangkan fungsi kenderaan sebagai alat perhubungan yang penting pada zaman moden ini.  Misalnya, untuk mengurangkan jumlah kematian pengguna motorsikal, kita tidak boleh mencadangkan kepada kerajaan supaya mengharamkan penggunaan motorsikal.

Motorsikal tetap satu kenderaan yang penting kepada penduduk.  Jarak perjalanan antara satu hingga 10 kilometer yang melalui jalan-jalan kecil sangat sesuai menggunakan motorsikal.  Dengan harga dan kos penyelenggaraan yang murah, motorsikal kekal sebagai alat pengangkutan utama dan penting kepada golongan penduduk berpendapatan rendah dan orang muda.   Memandangkan pasaran motorsikal yang besar, syarikat-syarikat pengeluar motorsikal seakan berlumba-lumba memperkenalkan produk terbaru dengan versi terkini.  Nah, kesannya berlaku lambakan motorsikal di serata tempat. 

Mengapa motorsikal menjadi alat ‘pembunuh’ berkesan masa kini? Ada dua jawaban.  Pertama, kekuatan enjin motorsikal sekarang begitu kuat berbanding keluaran tahun 1960-an hingga 1980-an.  Jika motorsikal keluaran tahun 1970 berkuasa 70 cc, hari ini motorsikal berkenaan berkuasa 110 cc.  Semua promosi dan iklan motorsikal menggambarkan kenderaan itu sebagai berkuasa tinggi, laju dan garang di jalan raya.  Motorsikal yang mampu dipandu laju sehingga 150 km/jam sangat berpotensi mendapat kemalangan.

Kedua ialah sikap pengguna motorsikal yang kebanyakannya anak muda.  Jiwa anak muda yang seba mahukan kelainan teruja menunggang motorsikal secara luar biasa kelajuannya.  Mereka gemar menunggang motorsikal secara berkelompok dan saling menguji kemahiran menunggang motorsikal di jalan raya.  Gabungan faktor kuasa kuda enjin dan kelakuan penunggang menyebabkan kadar kemalangan melibatkan motorsikal sangat tinggi.

Bolehkah masalah ini dikurangkan?  Boleh!  Jika benar kerajaan mahu mengurangkan kemalangan dan kematian ini, undang-undang mesti segera dibuat agar remaja dihadkan menunggang motorsikal.  Dalam kes ini, sepatutnya kerajaan mengehadkan pengeluaran motorsikal berkuasa tinggi sebaliknya menggalakkan pengeluaran motorsikal yang kuasa kudanya rendah seperti pada zaman dahulu.  Misalnya orang yang berumur bawah 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motorsikal yang kuasa kudanya bawah 80 cc. Pengeluaran motorsikal berkuasa tinggi boleh dihadkan dengan pengenaan cukai yang tinggi.

Setelah kerajaan melaksanakan undang-undang ini barulah kempen-kempen keselamatan jalan raya diperhebat.  Penguatkuasaan undang-undang juga mesti berkesan, tidak sebagaimana sekarang yang banyak kepada ‘budi bicara’ atau toleransi atas nama kelangsungan amalan sosial penduduk.

Dari sudut Islam, mematuhi undang-undang jalan raya merupakan kewajiban kepada orang-orang Islam.  Kepatuhan kepada arahan pemerintah atau kerajaan sangat jelas dalam surah An-Nisa ayat 59 yang bermaksud “Taatilah Allah, rasul-Nya dan pemerintah (ulul amri) dalam kalangan kamu….”  Oleh itu sepatutnya tanda seseorang yang patuh perintah Tuhan, akan jelas kelihatan mereka juga mematuhi undang-undang jalan raya kerana kepatuhan ini merupakan satu perintah daripada Allah, Tuhan yang sebenarnya.

Jumaat, 19 Ogos 2011

AKIBAT mendagangkan manusia


16 warganegara China disyaki terlibat aktiviti seludup manusia ditahan 

KUALA LUMPUR - Seramai 16 warganegara China ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan manusia dalam satu operasi serentak di ibu negara dan Johor Baharu pada 6 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata 11 daripada mereka telah diserahkan kepada pihak berkuasa China untuk tindakan selanjutnya semalam.

Sementara tiga lagi yang mendakwa memegang kad Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tetapi memiliki pasport palsu dan kad pengenalan palsu Malaysia sedang disiasat di bawah Akta Imigresen dan Akta Pendaftaran, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Manakala dua lagi warga China yang memegang kad UNHCR juga sedang disiasat di bawah Akta Imigresen," katanya dan menambah, kesemua mereka dikesan menjadikan negara ini sebagai transit sebelum berlepas ke negara ketiga.

Katanya mereka ini dikesan bergerak aktif di negara China, Thailand dan Malaysia sejak 2009.

"Siasatan mengesahkan peranan anggota sindiket ini dalam membawa masuk warga China ke Thailand sebelum menyusup masuk ke negara ini untuk mendapatkan dokumen palsu dan berlepas ke negara ketiga," katanya.

Khalid berkata antara barangan yang dirampas adalah 10 pasport palsu, iaitu tujuh pasport Turki dan tiga pasport Malaysia, tiga kad pengenalan palsu Malaysia serta wang tunai pelbagai negara berjumlah RM268,523.

"Siasatan juga mendapati anggota-anggota sindiket ini yang berjaya menyusup masuk ke negara ini akan mendapatkan status pelarian politik dari UNHCR bagi menjustikfikasikan kehadiran mereka di negara ini.

"Peluang ini akan digunakan untuk menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi mereka," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil bagi memberi mesej kepada sindiket penyeludupan manusia bahawa Malaysia bukanlah tempat untuk menjalankan aktiviti ini, serta memastikan negara ini tidak terus dijadikan pusat aktiviti tersebut pada masa hadapan. - Bernama

Jumaat, 8 Julai 2011

APA salahnya huraian dalam karangan itu?

MENGAPA huraian-huraian dalam perenggan masih berkecamuk?  Ada beberapa sebab mengapa pelajar menulis pelbagai huraian yang tidak berkaitan dengan idea utama pada awal perenggan.  Pertama, pelajar tidak membuat draf atau rangka karangan.  Pelajar terus menulis dalam kertas jawaban.  Melulis dalam keadaan tertekan sangat terdedah kepada kesilapan.


Kedua, memang pola pemikiran pelajar yang berkecamuk.  Oleh itu jika dia membuat draf pun hasilnya tetap berkecamuk.  Punca pemikiran berkecamuk ialah dia suka ‘meredah’ apa juga bacaan tanpa membuat sebarang klasifikasi.  Kalau bercakap, pelajar seperti ini suka bercakap di luar topik dan meleret-leret ke simpang-simpang yang tidak berkenaan.

Mari kita perhatikan contoh tulisan dalam perenggan yang berkenaan.  Soalannya meminta pelajar menyatakan cara kerajaan boleh membantu petani menjayakan slogan ‘pertanian adalah perniagaan’.

Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.  Selain itu kerajaan boleh memberikan jaminan kredit kepada petani untuk lebih giat dalam sector pertanian.  Dengan adanya dana yang mencukupi, pelbagai teknologi dapat digunakan dan hasil pertanian semakin bertambah.  Angensi kerajaan seperti FAMA juga sudah pasti akan digerakkan lebih berkesan untuk menjayakan pertanian adalah perniagaan.

Idea utamanya ialah: Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.
Huraian-huraiannya ialah:
Jaminan kredit kepada petani (tidak relevan dengan idea utama)
Penggunaan pelbagai teknologi dalam pertanian (tidak relevan dengan idea utama)
FAMA perlu lebih berkesan (relevan dengan idea utama)

Jika pelajar berfikiran mantap, mungkin beliau berjaya menghasilkan draf seperti di bawah.

Idea utamanya ialah: Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.
Huraian-huraiannya:
Peranan FAMA diperkukuhkan dalam pemasaran.
FAMA boleh bekerjasama dengan pejabat kedutaan di luar negara  - program  promosi.
Buah-buah seperti durian dan rambutan boleh dieksport ke luar negara.

Perenggan yang dicadangkan mungkin seperti berikut:

Kerajaan boleh memperluaskan lagi jaringan pemasaran hasil pertanian.  Agensi kerajaan seperti FAMA tentu akan digerakkan dengan lebih berkesan dalam membantu memasarkan hasil pertanian.  Jika selama ini FAMA sudah berjaya memasarkan banyak hasil pertanian ke seluruh negara, agensi itu boleh bekerjasama dengan pejabat-pejabat kedutaaan Malaysia di luar negara, khasnya Eropah, Amerika Syarikat, China dan India. Baru-baru ini pun FAMA sudah berjaya mengeksport buah durian ke negara-negara Arab.

Jika selama ini ada pelajar yang masih sukar untuk menentukan apakah huraian-huraian bagi setiap idea utama, saya menggalakkan agar mereka membaca sesuatu rencana atau isu itu berulang-kali supaya mantap memahami isu dan huraiannya.  Dalam majalah atau akhbar, semua isu hanya dipaparkan dalam satu wacana.  Bacalah berkali-kali.

Khamis, 23 Jun 2011

BAGAIMANA memilih satu soalan karangan?

BAGAIMANA anda memilih satu daripada dua tajuk karangan di Bahagian A dan B?  Sebenarnya ini satu persoalan besar kerana keputusan pelajar memilih salah satu daripada dua soalan itu akan membawa kepada penulisan jawaban.  Ada yang melihat pada isu, kemudian memilih satu isu yang difikirkan lebih dikuasainya.  Ada yang memilih berdasarkan mudahnya kehendak soalan.  Oh ya, tiada paksaan cara memilih soalan untuk dijawab, tetapi ada kaedah yang agak munasabah.  Mari kita cuba.

Contoh soalan bahagian A.
1             ‘Pertanian adalah perniagaan’ merupakan satu konsep yang diusahakan untuk menjadikan sektor pertanian lebih kompetitif.  Kerajaan begitu komited terhadap usaha menjadikan nya suatu kenyataan.  Bincangkan.

2         Pembinaan modal insan yang cemerlang merupakan salah satu fokus utama negara dalam          usaha membina negara maju meliputi pelbagai bidang. Jelaskan kepentingan kerajaan mengambil langkah-langkah tersebut.

Mulakan dengan membuat draf paling ringkas supaya tidak membazir masa.  Pelajar mesti memikirkan apakah empat idea utama bagi kedua-dua soalan.  Setelah diteliti, kehendak soalan 1 ialah menentukan ‘cara menjadikan pertanian lebih kompetitif’ dan soalan 2 ‘sebab kerajaan mahukan modal insan cemerlang’.

Misalnya draf pelajar hanya sepeti di bawah.
No. 1   Idea 1  teknologi moden
            Idea 2  mencari pasaran yang luas
            Idea 3  pinjaman modal

No 2    Idea 1  sumber tenaga berdaya saing
            Idea 2  membasmi kemiskinan

Setelah melihat hasil kerja ringkas pelajar itu,  dia sepatutnya memilih soalan 1 untk dijawab.  Untuk soalan 1 dia sudah mempunyai tiga Idea Utama berbanding soalan 2.

Ada cara kedua, iaitu berdasarkan Idea Utama dan huraian.

No 1  Idea 1 teknologi moden
          Huraian – penggunaan ICT dan bioteknologi

         Idea 2 mencari pasaran luas
         Huraian – Fama memberi khidmat nasihat

         Idea 3 pinjaman modal
         Huraian – modal disediakan oleh Agrobank

No 2 Idea 1 sumber tanaga kerja berdaya saing
         Huraian – punya moral yang tinggi
                           Menjana produktiviti berganda-ganda
                           Punya daya kreativiti dan semangat kerja tinggi
    
         Idea 2  membasmi kemiskinan
         Huraian – bercita-cita untuk pendapatan lumayan
                           Mempunyai pengetahuan yang tinggi
                           Bijak mengatur kerja

Baik, jika itulah hasil kajian ringkas terhadap dia soalan, pelajar ini dinasihatkan agar menjawab soalan 1.  Pemilihan ini berdasarkan luasnya pengetahuan beliau mengenai isu soalan satu.  Walaupun pelajar seperti boleh menghuraikan lebih mendalam untuk dua idea soalan dua, tetapi sebenarnya dia berjaya mendapatkan tiga Idea Utama. 

Ingat, asas memilih soalan untuk dijawab ialah keupayaan memberikan Idea Utama secara maksimum (empat).  Pemeriksa juga sangat menggemari jawaban yang jelas Idea Utamanya.

Rabu, 25 Mei 2011

FAHAMI istilah dalam setiap soalan

FAHAMILAH istilah yang sering digunakan dalam media untuk menggambarkan sesuatu.  Soalan-soalan dalam Pengajian Am juga tidak lari daripada menggunakan istilah-istilah popular berkenaan.  Oleh itu, sesiapa yang tidak dapat memberi maksud istilah-istilah berkenaan, jelas dia sering menjauhkan diri daripada meneliti isu utama dalam media.


Antara istilah yang sering digunakan dengan meluas ialah ‘media alternatif’, ‘kesan rumah hijau’, ‘tenaga’, ‘biodiversiti’, ‘teknologi hijau’, ‘pembangunan holistik’ (sekadar menyatakan beberapa istilah).

Kesan utama pada jawaban pelajar ialah sama ada jawaban itu tepat atau terseleweng.  Ambil contoh mengenai ‘media alternatif’ sebagai salah satu frasa ayat dalam soalan ini:   Media alternatif merupakan keperluan pada zaman kini, namun penggunaannya juga dikhuatiri  membawa kesan yang lain.  Bincangkan.

Perkataan media mungkin mudah difahami oleh pelajar, iaitu bermaksud alat sebaran am atau alat untuk menyampaikan maklumat.  Apabila disebut media, gambaran mudah ialah akhbar, majalah, televisyen dan radio.  Benar, semua itu adalah media.  Namun media itu kini disifatkan sebagai media tradisional kerana terdapat satu media baru yang ciri dan penggunaannya berbeda dengan media tradisional itu.

Media baru itu merupakan satu alternatif atau pilihan baru selain media tradisional.  Oleh itu jelaslah bahawa media alternatif yang dimaksudkan ialah internet.  Antara jenis media yang terdapat internet ialah blog, web, laman sosial facebook dan emel.  Pengguna internet masih perlu membaca tulisan, sama seperti membaca akhbar untuk mendapatkan maklumat. Namun pengguna internet boleh berinteraksi secara langsung dengan maklumat yang baru diterima.

Begitu juga dengan laman youtube yang memberi ruang pengguna melihat video yang pelbagai versinya.  Bukan sahaja pengguna internet boleh memberi respon terhadap video yang ditontonnya, malah pengguna biasa juga boleh menghantar video miliknya ke laman berkenaan demi dikongsi khalayak lain dari seluruh dunia! Kita tidak boleh menghantar video atau gambar dengan menggunakan televisyen!

Baik, bayangkan jika pelajar memberi maksud media alternatif sebagai kain-kain rentang yang banyak digantung di tepi-tepi jalan.  Oleh itu jawaban pelajar berkenaan ialah dua kebaikan  dan dua lagi keburukan kain rentang!  Memang kain rentang bukannya akhbar atau televisyen, tetapi kerana pelajar ini tidak mengikuti perkembangan isu dan maklumat akhirnya dia memberi jawaban yang  tidak relevan.

Jika pelajar mentakrif media alternatif sebagai  radio, TV, akhbar dan majalah (media tradisional), walaupun tidak semua jawabannya hanyut sebagai ‘tidak relevan’ namun dia pasti kehilangan banyak markah.  Bergantung kepada huraian setiap empat idea utamanya, mungkin masih ada huraian yang daripada kebaikan dan keburukan media tradisional itu yang bersesuaian dengan media alternatif.

Kesimpulannya, pelajar wajib mengetahui secara tepat sesuatu istilah supaya dapat menghasilkan jawaban yang mantap.  Biasalah pelajar tidak menyangka maksud sesuatu istilah, kemudian apabila diberikan maksudnya mudah pula dia membuat huraian yang mantap.

Isnin, 2 Mei 2011

MENULIS huraian mantap dalam karangan

DALAM karangan Pengajian Am Bahagian A dan B dipertuntukkan 50 markah.  Namun berdasarkan pengalaman saya, sukar menemui karangan pelajar yang dikira mantap.  Kebanyakan karangan sama ada lemah atau sederhana dengan purata markah antara 10 hingga 17 sahaja.  Sudah banyak kali latihan dilalui, namun perkembangannya agak lambat.  Apa pun, jangan sesekali calon STPM keciwa atau bosan untuk mengarang kerana jumlah markah yang besar. Sanggupkah kalian hilang 30 daripada 50 markah di Kertas 2?

Antara punca utama kelemahan karangan pelajar ialah kegagalan memberi huraian yang mantap.  Kegagalan memberi huraian kerana kurangnya pembacaan yang mencabar minda dan gagal membedakan antara idea utama dan huraian mengenainya. 

Cuba perhatikan contoh penulisan karangan pelajar di bawah.                                  

Punca rasuah di kalangan masyarakat kerana masalah birokrasi.  Orang ramai tidak mengetahui cara-cara berurusan dengan kerajaan dan membayar wang rasuah.  Selain itu sikap tamak kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya amalan rasuah.  Oleh itu, patut jika gaji mereka dinaikkan untuk mengelakkan amalan rasuah.

Komentar saya seperti di bawah.

Pertama: Idea utama ialah birokrasi punca rasuah.  Bagaimanapun lihat pula huraian kepada idea utama ini, berlaku kecelaruan yang menyebabkan keciciran markah.  Sepatutnya, semua huraian mestilah terus menerangkan masalah birokrasi yang menjadi punca kegiatan rasuah.

Kedua
Ayat huraian 1:  ‘orang ramai tidak mengetahui cara-cara berurusan dengan kerajaan dan membayar wang rasuah’ boleh diterima sebagai huraian.

Ayat huraian 2: ‘Selain itu sikap tamak kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya amalan rasuah’ jelas tidak ada kaitan dengan masalah birokrasi.  Huraian ini tidak relevan (TR).

Ayat huraian 3: ‘Oleh itu, patut jika gaji mereka dinaikkan untuk mengelakkan amalan rasuah’ juga tidak berkaitan dengan masalah birokrasi.  Huraian ini membawa maksud cara-cara mengatasi masalah rasuah.

Akhirnya pelajar dapat mengesan mengapa perenggan jawaban pelajar hanya mendapat  dua markah, bukan empat markah yang sepatutnya.  Kalaulah pelajar mengetahui maksud dan falsafah birokrasi, pasti pelajar  itu dapat berfikir huraian yang relevan dengan idea utamanya.  Birokrasi adalah satu proses berperingkat-peringkat yang dilalui untuk menyelesaikan sesuatu urusan.  Tujuan birokrasi ialah mengelakkan penyelewengan dengan adanya pemantauan beberapa peringkat.

Bagaimanakah contoh peranggan yang sepatutnya?  Saya mencadangkan seperti di bawah ini.

Punca rasuah dalam kalangan masyarakat ialah kerenah birokrasi.  Orang yang merasa terganggu dengan  birokrasi  akan merasuah pegawai untuk mempercepatkan urusannya.  Semakin rumit urusan birokrasi itu, semakin banyaklah wang rasuah dibayar untuk melepasinya.  Sebagai contoh, untuk mendapatkan  lesen memandu, seseorang yang merasakan sukar melepasi ujian literasi dan praktikal tetapi sangat memerlukan lesen berkenaan, akan merasuah pegawai berkenaan asalkan dirinya memperoleh lesen memandu yang sah.

Pelajar boleh mengkaji  tiga ayat huraian di atas, semuanya berkaitan dengan idea utama (kerenah birokrasi).  Untuk mendapatkan satu perenggan yang mantap memang memerlukan saya fikir yang agak luar daripada kebiasaan.  Namun itulah hasilnya!

Rabu, 20 April 2011

KARANGAN: Menghuraikan idea utama

MASALAH sebagian besar pelajar dalam membina karangan ialah mengembangkan isi daripada idea utama.  Hal ini menyebabkan banyak karangan pelajar yang ditanda sebagai TJ (tidak jelas) dan TR (tidak relevan).  Perhatikan petikan jawaban pelajar dan sedikit ulasan berkenaannya.

Soalan: Malaysia telah menggerakkan sektor pertanian ke arah yang lebih moden.  Bincangkan potensi dan cabaran masa depan dalam sektor ini.

Soalan ini memerlukan jawaban 2 + 2, iaitu dua idea utama mengenai potensi pertanian dan dua lagi idea utama untuk cabaran sektor pertanian moden.

Pelajar mudah memberi jawaban pertanian berpotensi menjadi sumber makanan penduduk setiap masa.  Baik, itu adalah idea utama untuk potensi pertanian moden.  Bagaimana huraiannya?

Contoh huraian pelajar 1

Hal yang demikian dapat membantu meningkatkan hasil pertanian.  Pada masa akan datang, penduduk tidak perlu risau kerana sektor pertanian tersebut telah dinaik taraf kepada yang lebih baik dan moden.  Oleh itu sumber pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tidak akan berkurang pada masa akan datang.

Contoh huraian pelajar 2

Sumber makanan adalah sangat diperlukan oleh penduduk apabila penduduk masa akan datang akan bertambah.  Maka sumber makanan tersebut menjadi keperluan dan sumber makanan menjadi salah satu sumber utama yang penting kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan.  Di samping itu, sumber makanan juga menjadi satu aset penting dalam meneruskan kehidupan seharian untuk memberi kelangsungan hidup penduduk.

Huraian sepatutnya menjelaskan kepada keperluan makanan yang mencukupi terhadap sebanyak mana jumlah penduduk negara.  Saya cadangkan huraian seperti di bawah.

Dasar kependudukan yang mensasarkan pertambahan 2.5 peratus setiap tahun tidak akan menghadapi masalah kerana sektor pertanian yang dimodenkan terus memberi bekalan makanan yang mencukupi.  Walaupun keluasan tanah tidak bertambah, tetapi teknologi moden berjaya menambah pengeluaran hasil di samping kualiti yang bertambah baik.

Aspek bahasa jawaban pelajar ada masalah.  Umumnya, kesalahan bahasa menyebabkan kegagalan menyampaikan idea dan huraian.  Oleh itu dengan bahasa yang baik, pengaliran idea dan bahasa menjadi tepat dan betul.

Perhatikan ayat kedua bagi jawaban pelajar 2, ayat yang digelapkan warnanya. Kesalahan tatabahasanya amat jelas, dan akibatnya dia gagal menyampaikan maklumat yang sebenar.

Khamis, 14 April 2011

CONTOH skemanya jawaban karangan laras sastera: perdagangan dalam talian

SOALAN: Perdagangan secara talian kini merupakan satu mekanisme baru dalam urusniaga tanpa sempadan.  Bincangkan kesan yang mungkin timbul ekoran pelaksanaan e-dagang dalam urusniaga melalui sistem elektronik.

Pengenalan
Perdagangan secara talian kini merupakan satu makenisme baru dalam urusniaga tanpa sempadan. Terdapat beberapa kebaikan dan kesan buruk daripada sistem perdagangan ini.

Idea Utama
Huraian-huraian
KEBAIKAN
Idea 1
Memudahkan dan mempercepatkan urusniaga



Urusniaga dan perkhidmatan e-dagang boleh diakses dengan mudah setiap masa dan di mana saja pejabat atau di mana saja berada.
Segala pesanan dan pembayaran boleh dijalankan melalui internet atau elektronik.

Idea 2
Memudahkan pengeluar dan pengguna mendapatkan maklumat.


Memberi peluang kepada syarikat - syarikat untuk  menghantar mesej - mesej pemasaran dan maklumat produk kepada pengguna multinasional melalui internet. 
Ketepatan maklumat membolehkan pengeluar dan pengguna membuat keputusan dengan betul dan akan  membawa keuntungan kepada syarikat dan negara.
Orang ramai berpeluang mengikuti keadaan dan perkembangan ekonomi dunia dan pasaran saham dalam dan luar negeri dengan cepat dan mudah. Menjimatkan kos urusniaga.

Idea 3
Pasaran yang luas


E-dagang telah memberi peluang kepada peniaga -peniaga kita memasarkan barangan dalam dan luar negeri.
E-dagang telah menggalakkan perdagangan antara sebuah negara dengan sebuah negara lain.

KESAN BURUK
Idea 4
Wujudnya unsur penyelewangan



E-dagang boleh digunakan untuk melakukan jenayah kolar putih atau jenayah elektronik.
Wujudnya laman - laman web perdagangan palsu yang menyebabkan pengguna tidak mendapat barangan yang dipesan walaupun pembayaran telah dilakukan melalui elektronik.
Jenayah perdagangan tersebut sukar dikesan kerana mereka mahir memanipukasikan e-dagang.

Idea 5
Ketidaktentuan transaksi

Sistem yang tergendala akan menyebabkan wujud masalah transaksi pesanan dan pembayaran serta perkhidmatan. 
Pembuktian urusniaga menghadapi masalah.
Terma urusniaga tidak selaras dengan transaksi.

Idea 6
Monopoli produk negara maju


Negara maju akan mengeksploitasi pasaran dengan mengamalkan dasar monopoli
Negara maju akan membentuk blok perdagangan
Negara - negara mundur akan terus ketinggalan dalam era globalisasi
Negara maju menetapkan syarat dan kouta perdagangan.


Kesimpulan
Perdagangan secara talian akan menjadi urusniaga yang penting pada masa depan. Semua anggota masyarakat mesti menerima keadaan ini dengan penguasaan maklumat yang tepat.

Ahad, 10 April 2011

CONTOH soalan dan skema jawaban

Contoh 1
Keghairahan mengejar gaya hidup global dengan meniru secara bulat budaya hidup barat menjadikan kehidupan dan nilai keperibadian generasi muda terputus dan terpisah jauh daripada cara hidup masyarakat timur. Justeru,  pelbagai usaha hendaklah dilakukan bagi menyekat arus globalisasi yang dianggap tidak sesuai dengan nilai-nilai kehidupan rakyat Malaysia.  Bincangkan.

Pengenalan
Keghairahan mengejar gaya hidup global dengan meniru secara bulat budaya hidup barat menjadikan kehidupan dan nilai keperibadian generasi muda terputus dan terpisah jauh daripada cara hidup masyarakat timur. Terdapat kesan-kesan buruk akibat globalisasi dan diperlukan beberapa langkah untuk mengatasinya.

Isi  (Idea Utama)
Huraian-huraian
Kesan buruk globalisasi
1 Pengeksploitasian
   wanita
(I 1)








Eksploitasi wanita merupakan industri tertua di dunia.  Sanggup menggadai maruah dan tampil dengan lagak memberahikan. Jika dahulu teknik yang   digunakan amat terhad, tetapi kini dengan adanya teknologi moden golongan yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan teknik tercanggih serta paling cepat iaitu menerusi internet untuk menarik perhatian penggunanya mengakses laman web yang berunsurkan lucah.  Bahan tidak bermoral ini menjadi perhatian remaja dan golongan yang rosak minda.
2  Hakisan budaya timur

(I 2)







Maklumat yang disalurkan melalui internet tidak dapat dikawal.  Gaya hidup masyarakat asing/barat  mudah mempengaruhi generasi baru masa kini  – bermula daripada pakaian hinggalah kepada sikap dan tindak tanduk seharian mereka.  Suka berpeleseran, berhibur dan mengamalkan kehidupan yang mementingkan keduniaan dan cara kehidupan barat masa kini.
Contoh: amalan budaya hedonisme – golongan yang menganuti aliran ini beranggapan hidup hanya untuk berhibur dan bersuka ria- menjadi asas pemikiran dan falsafah hidup golongan ini.
3  Anti sosial
(I 3)


Tidak bercampur dengan orang sekeliling – tidak ada hubungan sosial secara bersemuka – hubungan kemasyarakatan menjadi begitu renggang dan tidak saling kenal mengenali -

4  Corak pemikiran
(I 4)



Mempengaruhi cara pemikiran generasi muda – menjadikan Barat sebagai contoh terbaik dan beranggapan pemikiran timur ketinggalan dan tidak sesuai dengan zaman yang berubah begitu pantas

5  Ketagihan internet
(I 5)
Remaja ketagih internet – banyak bahan berbentuk keseronokan yang disediakan oleh kemudahan internet-  kemudahan disalahgunakan – contoh perbualan secara langsung atau ‘internet relay chat’ (IRC) – merupakan perkhidmatan utama yangdilanggan oleh kebanyakan remaja dan mencetuskan  masalah sosial di kalangan remaja terutamanya pelajar sekolah – terlalu asyik  dengan perkhidmatan tersebut sehingga sanggup ponteng sekolah dan kurang tumpuan kepada pelajaran.
Langkah-langkah

6  Pendidikan
(I 6)










Pendidikan secara formal dan tidak formal memainkan peanan penting – mendidik generasi muda bahawa arus globalisasi perlu ditangani dengan bijak – mengambil yang baik dan menolak unsur-unsur asing yang boleh merosakkan bangsa dan nilai-nilai murni ketimuran
Menanamkan kefahaman bahawa penciptaan teknologi adalah untuk membawa kemajuan kepada umat manusia dan bukannya untuk kesesatan dan kehancuran sesuatu bangsa

7  Penguatkuasaan
    undang-undang
(I  7)


Kementerian Tenaga, Komunikas dan Multimedia – kuasa untuk mengawal dan membendung unsur asing yang tidak sihat dari internet –
Akta Telekomunikasi dan Multimedia

8  Peranan individu
(I 8)
Perlu berfikiran terbuka dan mempunyai kesedaran yang tinggi– sebagai pengguna kemudahan IT berhak memilih yang mana buruk dan yang mana baik untuk kepentingan diri, agama dan bangsa – menjadi pengguna yang bijak kerana internet cuma satu teknologi  - mampu menggunkannya untuk pembangunan ummah dengan berkesan.

Penutup
Generasi muda perlu bijak menangani arus perubahan globalisasi.  Yang baik diterima dan yang buruk ditolak.