DALAM Ops Sikap ke-24 sempena Hari Raya ini, lebih 300 orang mati kemalangan di jalan raya. Secara umum purata kematian sehari di Malaysia atas sebab kemalangan ialah 18 orang. Kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan dan maut ialah anak muda penunggang motorsikal dan pemboncengnya. Hal ini bermakna, jika kemalangan melibatkan motorsikal dapat dikurangkan dengan banyak, maka purata kematian 18 orang pasti turun mendadak.
Dalam usaha mengatasi masalah kemalangan dan kematian di jalan raya, kita mesti memberi cadangan yang dapat mengurangkan kemalangan tetapi tidak mengurangkan fungsi kenderaan sebagai alat perhubungan yang penting pada zaman moden ini. Misalnya, untuk mengurangkan jumlah kematian pengguna motorsikal, kita tidak boleh mencadangkan kepada kerajaan supaya mengharamkan penggunaan motorsikal.
Motorsikal tetap satu kenderaan yang penting kepada penduduk. Jarak perjalanan antara satu hingga 10 kilometer yang melalui jalan-jalan kecil sangat sesuai menggunakan motorsikal. Dengan harga dan kos penyelenggaraan yang murah, motorsikal kekal sebagai alat pengangkutan utama dan penting kepada golongan penduduk berpendapatan rendah dan orang muda. Memandangkan pasaran motorsikal yang besar, syarikat-syarikat pengeluar motorsikal seakan berlumba-lumba memperkenalkan produk terbaru dengan versi terkini. Nah, kesannya berlaku lambakan motorsikal di serata tempat.
Mengapa motorsikal menjadi alat ‘pembunuh’ berkesan masa kini? Ada dua jawaban. Pertama, kekuatan enjin motorsikal sekarang begitu kuat berbanding keluaran tahun 1960-an hingga 1980-an. Jika motorsikal keluaran tahun 1970 berkuasa 70 cc, hari ini motorsikal berkenaan berkuasa 110 cc. Semua promosi dan iklan motorsikal menggambarkan kenderaan itu sebagai berkuasa tinggi, laju dan garang di jalan raya. Motorsikal yang mampu dipandu laju sehingga 150 km/jam sangat berpotensi mendapat kemalangan.
Kedua ialah sikap pengguna motorsikal yang kebanyakannya anak muda. Jiwa anak muda yang seba mahukan kelainan teruja menunggang motorsikal secara luar biasa kelajuannya. Mereka gemar menunggang motorsikal secara berkelompok dan saling menguji kemahiran menunggang motorsikal di jalan raya. Gabungan faktor kuasa kuda enjin dan kelakuan penunggang menyebabkan kadar kemalangan melibatkan motorsikal sangat tinggi.
Bolehkah masalah ini dikurangkan? Boleh! Jika benar kerajaan mahu mengurangkan kemalangan dan kematian ini, undang-undang mesti segera dibuat agar remaja dihadkan menunggang motorsikal. Dalam kes ini, sepatutnya kerajaan mengehadkan pengeluaran motorsikal berkuasa tinggi sebaliknya menggalakkan pengeluaran motorsikal yang kuasa kudanya rendah seperti pada zaman dahulu. Misalnya orang yang berumur bawah 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motorsikal yang kuasa kudanya bawah 80 cc. Pengeluaran motorsikal berkuasa tinggi boleh dihadkan dengan pengenaan cukai yang tinggi.
Setelah kerajaan melaksanakan undang-undang ini barulah kempen-kempen keselamatan jalan raya diperhebat. Penguatkuasaan undang-undang juga mesti berkesan, tidak sebagaimana sekarang yang banyak kepada ‘budi bicara’ atau toleransi atas nama kelangsungan amalan sosial penduduk.
Dari sudut Islam, mematuhi undang-undang jalan raya merupakan kewajiban kepada orang-orang Islam. Kepatuhan kepada arahan pemerintah atau kerajaan sangat jelas dalam surah An-Nisa ayat 59 yang bermaksud “Taatilah Allah, rasul-Nya dan pemerintah (ulul amri) dalam kalangan kamu….” Oleh itu sepatutnya tanda seseorang yang patuh perintah Tuhan, akan jelas kelihatan mereka juga mematuhi undang-undang jalan raya kerana kepatuhan ini merupakan satu perintah daripada Allah, Tuhan yang sebenarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan