Rabu, 25 Mei 2011

FAHAMI istilah dalam setiap soalan

FAHAMILAH istilah yang sering digunakan dalam media untuk menggambarkan sesuatu.  Soalan-soalan dalam Pengajian Am juga tidak lari daripada menggunakan istilah-istilah popular berkenaan.  Oleh itu, sesiapa yang tidak dapat memberi maksud istilah-istilah berkenaan, jelas dia sering menjauhkan diri daripada meneliti isu utama dalam media.


Antara istilah yang sering digunakan dengan meluas ialah ‘media alternatif’, ‘kesan rumah hijau’, ‘tenaga’, ‘biodiversiti’, ‘teknologi hijau’, ‘pembangunan holistik’ (sekadar menyatakan beberapa istilah).

Kesan utama pada jawaban pelajar ialah sama ada jawaban itu tepat atau terseleweng.  Ambil contoh mengenai ‘media alternatif’ sebagai salah satu frasa ayat dalam soalan ini:   Media alternatif merupakan keperluan pada zaman kini, namun penggunaannya juga dikhuatiri  membawa kesan yang lain.  Bincangkan.

Perkataan media mungkin mudah difahami oleh pelajar, iaitu bermaksud alat sebaran am atau alat untuk menyampaikan maklumat.  Apabila disebut media, gambaran mudah ialah akhbar, majalah, televisyen dan radio.  Benar, semua itu adalah media.  Namun media itu kini disifatkan sebagai media tradisional kerana terdapat satu media baru yang ciri dan penggunaannya berbeda dengan media tradisional itu.

Media baru itu merupakan satu alternatif atau pilihan baru selain media tradisional.  Oleh itu jelaslah bahawa media alternatif yang dimaksudkan ialah internet.  Antara jenis media yang terdapat internet ialah blog, web, laman sosial facebook dan emel.  Pengguna internet masih perlu membaca tulisan, sama seperti membaca akhbar untuk mendapatkan maklumat. Namun pengguna internet boleh berinteraksi secara langsung dengan maklumat yang baru diterima.

Begitu juga dengan laman youtube yang memberi ruang pengguna melihat video yang pelbagai versinya.  Bukan sahaja pengguna internet boleh memberi respon terhadap video yang ditontonnya, malah pengguna biasa juga boleh menghantar video miliknya ke laman berkenaan demi dikongsi khalayak lain dari seluruh dunia! Kita tidak boleh menghantar video atau gambar dengan menggunakan televisyen!

Baik, bayangkan jika pelajar memberi maksud media alternatif sebagai kain-kain rentang yang banyak digantung di tepi-tepi jalan.  Oleh itu jawaban pelajar berkenaan ialah dua kebaikan  dan dua lagi keburukan kain rentang!  Memang kain rentang bukannya akhbar atau televisyen, tetapi kerana pelajar ini tidak mengikuti perkembangan isu dan maklumat akhirnya dia memberi jawaban yang  tidak relevan.

Jika pelajar mentakrif media alternatif sebagai  radio, TV, akhbar dan majalah (media tradisional), walaupun tidak semua jawabannya hanyut sebagai ‘tidak relevan’ namun dia pasti kehilangan banyak markah.  Bergantung kepada huraian setiap empat idea utamanya, mungkin masih ada huraian yang daripada kebaikan dan keburukan media tradisional itu yang bersesuaian dengan media alternatif.

Kesimpulannya, pelajar wajib mengetahui secara tepat sesuatu istilah supaya dapat menghasilkan jawaban yang mantap.  Biasalah pelajar tidak menyangka maksud sesuatu istilah, kemudian apabila diberikan maksudnya mudah pula dia membuat huraian yang mantap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan