Rabu, 6 April 2011

RADIOAKTIF: Jepun minta maaf kepada kita!

TOKYO - Kerajaan Jepun memohon maaf kepada masyarakat antarabangsa dan penduduk negara itu, semalam selepas terpaksa membuang 11,500 tan air dicemari radioaktif ke dalam Laut Pasifik, kelmarin. 
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yukio Edano berkata, kerajaan menyedari kesan tindakan itu tetapi menegaskan ia perlu dilakukan bagi menghalang lebih banyak masalah dan pencemaran di kawasan loji Fukushima Daiichi. 

Kerajaan turut mempertimbang mengenakan sekatan ke atas makanan laut keluaran negara itu selepas ikan yang dicemari radioaktif ditemui di kawasan perairan di selatan loji itu. 

Proses mengalirkan air tercemar ke laut bermula kelmarin dan dijangka mengambil masa selama lima hari, menurut pegawai syarikat pengendali loji, Tokyo Electric Power (Tepco). 

Selain itu, air yang mengandungi radioaktif lima juta kali ganda lebih tinggi daripada had yang dibenarkan dikesan di sekitar loji itu. 

Lebih 60,000 tan air tercemar berada di dalam tangki simpanan loji Fukushima selepas pekerja menggunakan air laut bagi menyejukkan reaktor nuklear yang rosak akibat gempa. 

Lautan Pasifik mempunyai jumlah air seperti 300 trilion kolam renang dan air tercemar yang disalurkan ke laut bersamaan dengan lima kolam renang. 

Sementara itu, Tepco mula membayar wang ihsan kepada mangsa krisis nuklear yang terpaksa berpindah dari kawasan sekitar loji terbabit, semalam. 

Gempa sekuat 9.0 pada skala Richter dan tsunami pada 11 Mac lalu menyebabkan hampir 28,000 orang terkorban dan hilang manakala ratusan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

JUMLAH perdagangan dan imbangan dagang

Nilai eksport meningkat kepada RM51.85 bilion

Ada pelajar yang kurang mahir memahami aliran perdagangan antara bangsa kerana katanya tidak mengambil subjek Ekonomi.  Pengajian Am meliputi pelbagai perkara termasuk hal ekonomi.  Rencana pendek di bawah mungkin dapat membantu pelajar memahami konsep eksport, import dan imbangan perdagangan.  Rencana ini juga mirip bahan linear dalam Bahagian D.

NILAI eksport Malaysia pada Februari meningkat 10.7 peratus kepada RM51.85 bilion berbanding bulan sama tahun lalu, justeru memberi gambaran bahawa sektor eksport Malaysia kekal kukuh di sebalik keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu.

Sementara itu, nilai import yang dicatatkan sepanjang bulan itu meningkat sebanyak 11.5 peratus kepada RM39.21 bilion. Hal ini menjadikan keseluruhan jumlah dagangan Malaysia pada Februari lalu bernilai RM91.6 bilion, iaitu 11 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu.

Nota: Eksport bernilai RM51.85 bilion + import bernilai RM39.21 bilion = RM91.6 bilion (jumlah perdagangan). Editor.

Berdasarkan angka itu, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan bernilai RM12.64 bilion bagi bulan berkenaan, iaitu bagi bulan ke-160 berturut-turut sejak November 1997. 

Nota: Eksport bernilai RM51.85 – import bernilai RM39.21 bilion =  RM12.64 bilion (Imbangan dagangan positif) Jika imbangan dagangan negatif bermakna nilai import lebih besar berbanding nilai eksport. Editor.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataannya semalam berkata, eksport Februari yang meningkat RM5.01 bilion berbanding bulan sama tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum ditapis, minyak sawit, gas asli cecair (LNG), kimia dan bahan kimia, getah mentah, pembuatan logam serta produk optik dan saintifik.

Katanya, eksport ke ASEAN bernilai RM12.36 bilion, menyumbang 23.8 peratus kepada eksport keseluruhan Malaysia pada Februari. 

Sementara itu, eksport ke Jepun melonjak 28.5 peratus kepada RM6.11 bilion berbanding RM4.75 bilion pada bulan sama tahun lalu, yang disumbangkan sebahagian besarnya oleh peningkatan eksport LNG dan produk E&E.  “Eksport ke China pula meningkat 12.1 peratus kepada RM6.38 bilion daripada RM5.69 bilion pada Februari tahun lalu, yang disumbang sebahagian besarnya peningkatan eksport produk E&E, minyak sawit, getah mentah serta kimia dan produk kimia,” katanya. 

Mustapa berkata, import keseluruhan pada Februari meningkat 11.5 peratus kepada RM39.21 bilion daripada Februari tahun lalu yang disumbang oleh peningkatan import barangan perantara. 

Katanya, tiga kategori import utama mengikut pengguna akhir ialah barangan perantara bernilai RM27.13 bilion, barangan modal bernilai RM5.17 bilion dan barang pengguna bernilai RM2.38 bilion. 

Sumber: Berita Harian Online 06.04.2011

MENTERI Kesihatan menulis tentang kerosakan bumi

Oleh Liow Tiong Lai
Masyarakat moden banyak akibatkan kerosakan bumi (06.04.2011)

PENDUDUK dunia tergamam melihat bahana yang menimpa Jepun akibat malapetaka gerak gempa dan pukulan tsunami. Bencana menyayat hati itu meninggalkan kesan mendalam bukan saja kepada penduduk Jepun, tetapi juga kita semua. Seperti anda, saya juga tidak dapat berhenti daripada mengikuti liputan berita bencana yang sungguh dahsyat itu.

Melihat gambar pukulan ombak besar setinggi 10 meter yang ‘menyapu’ apa saja yang berada dalam laluannya – manusia, kenderaan, bangunan, tanaman, seolah-olah semuanya barang mainan – saya dipukul kenyataan betapa kerdil dan tidak terdayanya manusia di sisi alam.

Biar serapi mana sekali pun persiapan penduduk Jepun bagi menghadapi kejadian gempa bumi, mereka tidak mampu melindungi diri daripada gempa sekuat itu yang mengakibatkan ombak besar yang dipanggil tsunami. 
Tiada siapa dapat menahan plat tektonik daripada bergerak, menyebabkan gempa bumi. Tiada siapa dapat menahan tenaga seismik yang mencetuskan ombak besar. Begitulah adanya planet yang menjadi tempat tinggal kita semua.  Akan tetapi, terdapat juga bencana alam yang terjadi akibat daripada tingkah laku manusia – bagaimana kita memperlakukan bumi ini serta sumbernya. 

Kegiatan manusia dalam tempoh kira-kira satu abad lalu telah perlahan-lahan menyebabkan perubahan iklim yang serius. Perubahan ini telah membawa awan ribut serta taufan ke beberapa bahagian dunia, manakala di sesetengah tempat pula, tanah menjadi kering kontang. 

Bagi tempoh yang sudah agak lama, kita menjadi cuai dengan cara kita guna bahan bakar fosil – bagaimana kita menarah bukit dan menebang hutan belantara serta bagaimana kita guna sumber semula jadi yang tidak boleh diganti. 

Semua ini menyebabkan suhu Bumi meningkat kira-kira 0.6 darjah Celsius pada kurun ke-20. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih separuh daripada pemanasan itu berlaku selepas 1975. Ini menunjukkan bahawa generasi masyarakat moden hari inilah yang mengakibatkan kerosakan paling banyak kepada planet kita.  Peningkatan tidak sampai satu darjah nampak kecil, tetapi akibat sebenar peningkatan itu adalah lebih seribu kali ganda. 

Udara lebih panas menyimpan lebih banyak lembapan daripada udara lebih sejuk. Ini bermakna sebahagian tempat di dunia akan mendapat lebih banyak hujan dan sebahagian lain mengalami kemarau. Kejadian cuaca buruk seperti ribut, taufan, angin puting beliung, banjir serta gelombang panas terik akan semakin menjadi perkara biasa. 

Kita di Malaysia turut mengalami perubahan seperti itu yang mana musim tengkujuh dan banjir kilat semakin kerap berlaku dan bertambah buruk setiap tahun. Menurut laporan WHO, kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia meningkat dengan cepat – lebih cepat daripada bencana yang tiada kena-mengena dengan keadaan cuaca. 

Apabila kita terdengar tentang penduduk dunia kehilangan tempat tinggal atau kehilangan sumber kehidupan mereka atau kehilangan nyawa, kita hendaklah merenung sejenak dan memikirkan bagaimana sebahagian daripada perlakuan manusialah yang mengakibatkan banjir itu terjadi. 

Hujan yang lebih lebat serta cuaca yang lebih hangat mencetuskan keadaan yang cukup sesuai bagi jangkitan penyakit bawaan serangga seperti malaria dan demam denggi. Kita wajar beringat kerana denggi menjadi wabak di negara kita dengan bilangan kejadian serta angka kematian yang meningkat pada kadar membimbangkan. 

Cuaca tropika kita yang bertambah panas dan lengas akan mendorong nyamuk Aedes menjadi lebih aktif dan membiak lebih cepat. Kita akan berdepan dengan cabaran lebih sukar. Sekarang ini pun kita sudah begitu tertekan dalam usaha mengawal nyamuk berkenaan. 

Suhu tinggi juga meningkatkan aras ozon serta bahan lain mencemarkan udara yang boleh meningkatkan pula penyakit yang ada kaitan dengan jantung dan pernafasan. Begitu juga dengan penyakit yang ada kaitan dengan udara tercemar, sebagai contoh yang boleh menyebabkan lelah. 

Memandangkan Malaysia begitu terdedah kepada banjir, kita hendaklah sentiasa berjaga-jaga terhadap penyakit berjangkit melalui makanan dan air memandangkan bekalan air kita boleh tercemar dalam persekitaran tidak bersih. 

Di Jepun, mereka yang terselamat dalam kejadian gempa dan tsunami kini sedang menghadapi risiko kesihatan yang serius. Bekalan elektrik dan air terputus, manakala air daripada ombak besar masih bertakung. Tanpa air yang selamat untuk diminum dan tanpa sistem pembuangan kumbahan sempurna, jangkitan bakteria dan parasit boleh merebak dengan mudah, menyebabkan pelbagai penyakit seperti cirit birit. 

Bagaimanapun, penduduk Jepun boleh berbangga dengan tahap kemajuan mereka yang tinggi, yang bermakna mereka akan kurang terdedah kepada jangkitan kepialu dan taun.

Berlainan pula dengan ratusan ribu penduduk Haiti yang kehilangan tempat tinggal dalam gempa bumi tahun lalu. Di negara miskin itu, mereka tidak berada dalam kedudukan mempertahankan diri daripada penyakit itu yang sudah menjadi wabak, lebih-lebih lagi apabila begitu ramai bersesak-sesak dalam khemah dan tempat perlindungan lain.

Sama ada sesuatu malapetaka itu semula jadi atau berpunca daripada perbuatan manusia, kesannya sama saja – ia mengancam kesihatan kita.  
Janganlah hendaknya kematian dan kesengsaraan mangsa bencana alam yang berlaku sebelum ini dibiarkan berlalu tanpa kita yang masih hidup ini mengambil pengajaran daripadanya. 

Kita perlu memastikan sistem dan infrastruktur kesihatan kita cukup kuat bagi menangani krisis dan melindungi orang ramai daripada kesan terburuk sebarang bencana alam. Langkah kebersihan, pelalian serta kawalan penyakit akan dapat melindungi rakyat negara kita jika bencana alam berlaku. 

Pembangunan sosioekonomi bagi kawasan pedalaman dan rakyat berpendapatan rendah perlu dirancang dengan baik. Ini sangat mustahak memandangkan mereka yang tinggal di sini biasanya adalah kumpulan paling terdedah kepada risiko kehilangan tempat tinggal. Kemudahan perkhidmatan kesihatan untuk mereka juga agak kurang. 

Akhir sekali, walaupun kita rasa hampa kerana tidak terdaya berbuat apa-apa tentang gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Jepun, kita perlu ingat bahawa kita boleh berbuat sesuatu dengan bencana yang dicetuskan oleh perubahan iklim. 

Jika memperkukuhkan sistem kesihatan awam adalah suatu yang perlu dilakukan sebelum ini, ia kini menjadi semakin bertambah perlu, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang kian mengancam. Kita juga boleh berbuat sesuatu bagi mengurangkan jejak karbon kita melalui pelan pembangunan nasional. Juga, dengan mengikut amalan industri yang baik, termasuk amalan seharian seperti mengguna sumber tenaga yang lebih bersih. 

Kita semua perlu sama-sama mengambil berat tentang perubahan iklim. Ini bukan semata-mata tanggungjawab pencinta alam. Kita perlu meletakkan faktor kesihatan di tempat utama dalam agenda perubahan iklim. 

Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia. www.liowtionglai.com/blog  atau twitter@liowtionglai 

Selasa, 5 April 2011

CARTA ALIRAN bukan sistem

Contoh soalan Bahagian E

9.  Pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat.  Berdasarkan carta di bawah ini, huraikan sumber secara langsung dan secara tidak langsung bagi seseorang pengguna untuk mendapatkan maklumat.



(dipetik dan diubahsuai daripada Panduan Pengguna,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, 1992)


Pemarkahan jawaban seperti berikut
1.      Idea 4 markah
2.      Huraian 8 markah
3.      Bahasa 4 markah
4.      Keberkesanan 1 markah
Nota:
1.    Carta alir di atas ialah carta alir bukan sistem.  Berdasarkan soalan, calon boleh merangka jawaban dengan mudah.  Calon diminta menghuraikan sumber secara langsung dan secara tidak langsung.  Calon boleh memulakan jawaban dengan memulakan isi daripada sumber langsung atau tidak langsung.

2.    Fokusnya ialah PENGGUNA.  Perhatikan anak-anak panah yang ada.  Mana-mana anak panah yang terus menuju pengguna, bermakna sumber langsung.  Sebagai contoh, sumber langsung dalam carta itu ialah Media Massa, Organisasi, Pusat Sumber dan Pelabelan Barangan.   Sumber tidak langsung ialah Kerajaan dan Iklan.  Perhatikan anak panah daripada Kerajaan dan Iklan yang menuju sumber lain.  Jika calon tersalah faham konsep ini bermakna mungkin jawaban calon tersasar!

3.    Perhatikan anak panah dari Pengguna kea rah Keluarga dan Rakan sebaya.  Soalan meminta sumber pengguna mendapat maklumat, bermakna anak panah keluar daripada pengguna menyalahi soalan.  Rakan sebaya dan Keluarga sebenarnya bertindak sebagai pengacau atau pengeliru calon untuk menjawab.

4    Jawablah dengan memilih DUA sumber langsung dan DUA sumber tidak langsung.

5    Ada calon keliru bagaimana menghuraikan sumber Kerajaan dan Iklan.  Perhatikan kesilapan calon dalam menghuraikan hal ini.

    Kerajaan merupakan sumber tidak langsung maklumat kepada pengguna.  Kerajaan bekerjasama melalui organisasi seperti persatuan pengguna  telah menyampaikan maklumat barangan kepada semua pengguna.  Kerajaan juga meminta bantuan media massa iaitu media cetak dan media elektronik untuk menyalurkan maklumat kepada pengguna.

Komentar:  Ayat pertama sahaja yang betul dan mendapat satu markah.  Ayat kedua dan ketiga salah, tiada markah. 

Sepatutnya calon boleh menulis begini:
     Kerajaan merupakan sumber tidak langsung maklumat kepada pengguna. Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri dan Kepenggunaan bertanggung jawab menyebarkan maklumat yang sah kepada pengguna.  Jabatan Penerangan juga menjadi alat menyampaikan maklumat kepenggunaan.

Calon yang menyatakan peranan rakan sebaya dan keluarga bagi mendapatkan maklumat, ternyata tidak relevan (TR).

Dengan itu, struktur penulisan calon sepatutnya meliputi:
Perenggan 1:  Pengenalan
Perenggan 2:  Sumber langsung – Media Massa atau Organisasi
Perenggan 3: Sumber langsung – Pusat Sumber atau Pelabelan barangan
Perenggan 4: Sumber tidak langsung – Kerajaan
Perenggan 5: Sumber tidak langsung – Iklan
Perenggan 6: Kesimpulan

PENEROKAAN angkasa lepas

Contoh soalan
Penerokaan angkasa lepas telah membuka banyak ruang kepada manusia memperkembang sains dan teknologi sejagat. Huraikan.

Contoh jawaban  (4 + 0)

Penerokaan angkasa lepas memang banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains dan teknologi. Kejayaan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Russia banyak bergantung kepada kemampuan mereka untuk menghasilkan teknologi moden terutama yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas.

Impak positif yang ketara ialah penerokaan angkasa lepas telah memajukan bidang teknologi maklumat terutama yang berkaitan dengan teknologi internet. Penghasilan lebih banyak satelit di ruang angkasa bumi telah memudahkan perhubungan atau komunikasi tanpa batasan sempadan diwujudkan. Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini menjadikan bidang komunikasi, keselamatan dan pertahanan semakin berkembang maju selaras dengan kemajuan penerokaan angkasa lepas itu. Jelaslah, teknologi angkasa lepas menyebabkan bidang teknologi maklumat manusia menjadi lebih baik dan moden.

Malah, aktiviti penerokaan yang berani ini berupaya meninggikan kemampuan teknologi pemantauan manusia sejagat pula. Penggunaan satelit dan kapal angkasa menjadikan gambar-gambar lebih mudah untuk diambil dan dirakam dari sudut yang lebih baik dan sesuai. Semua hasil gambar ini memudahkan saintis untuk membuat ramalan tentang keadaan geografi dan juga membantu merancang manusia untuk menjalankan projek pembangunan dengan lebih mesra alam lagi. Pada masa yang sama, teknologi moden ini boleh digunakan juga untuk memantau perubahan cuaca dan kadar pencemaran alam dengan lebih menyeluruh. Sesungguhnya, teknologi pemantauan manusia menjadi lebih maju dan berkembang dengan adanya usaha-usaha menjalankan penerokaan angkasa lepas itu.

Malahan, industri teknologi robotik turut berkembang selari dengan usaha meneroka angkasa lepas ini. Kebanyakan peralatan teknologi yang dihantar ke angkasa lepas atau kawasan ruang udara bumi dikawal oleh robot atau peranti kawalan. Keadaan ruang angkasa yang begitu bahaya dan sukar diramal menyebabkan robot lebih sesuai digunakan berbanding dengan manusia. Semua tindakan menggunakan robotik ini boleh memberikan satu tafsiran awal akan keperluan untuk mewujudkan koloni manusia di angkasa lepas pula. Maka, teknologi robotik manusia juga akan mengalami perubahan drastik kerana usaha penerokaan angkasa lepas memerlukan penggunaan robotik yang begitu banyak.

Selain itu, pelbagai ujikaji atau kajian sains boleh dijalankan menerusi usaha penerokaan angkasa lepas itu. Para saintis sudah mula membuat kajian tentang kesan graviti terhadap manusia di luar ruang angkasa bumi terutama aspek ketumpatan tulang dan kadar kehilangan jisim tulang manusia. Penerokaan angkasa lepas memberikan satu platform untuk melakukan pelbagai kajian yang boleh memberikan pengetahuan baru kepada manusia tentang sains pula.

Kesimpulannya, semua usaha meneroka angkasa lepas itu bukanlah sesuatu yang membazir. Pelbagai hasil yang positif terutama kajian sains akan memberikan manusia satu informasi yang berguna pula terutama jika semua usaha ini berkonsepkan kerjasama sejagat. 

BIODIVERSITI di Malaysia

disusun oleh Balkis Ahmad
6A1 SMK Agama Sibu, Sarawak.

DEFINISI
Kepelbagaian biologi atau “biodiversity” didefinisikan sebagai keanekaan antara organisma hidup dari pelbagai sumber dari daratan mahupun samudera dan lain-lain yang melangkau ekosistem akuatik dan sebahagian daripada ekosistem yang kompleks termasuk didalam kelompok spesis dan antara sepsis dan ekosistemnya. (sumber:estidotmy, February 2007)

A. KEPENTINGAN KEPADA ALAM

1.PENGEKALAN KITAR HIDROLOGI
Hidupan semulajadi berfungsi sebagai penyerapan. Air dari tanah dan membebaskannya melalui proses transpirasi.Hutan,padang rumput dan tanah lembab akan menyerap air apabila jumlahnya banyak dan membebaskannya sedikit demi sedikitbila air bertakung. Ini sekaligus mengawal banjir.

2.MODIFIKASI IKLIM
Biodiversiti juga memberi khidmat ekosistem seperti mengatur perjalanan cuaca dan iklim. Biodiversiti juga menyerap radiasi daripada cahaya matahari dan membebaskan wap. Ia akan mempengaruhi keadaan iklim dan menyederhanakan suhu.Kestabilan iklim akan berlaku dengan adanya fungsi oleh kepelbagaian biologi biodiversiti ini.

3.KAWAL HAKISAN TANAH
Daun dan sampah hutan boleh menyerap dan mengurangkan impak air hujan.Ini sekaligus menghalang tanah menjadi pecah.Selain itu,akar berfungsi “mengikat tanah”dan membantu menghalang berlakunya hakisan terutamanya di kawasan tanah tinggi.Manakala tumbuhan, haiwan kecil dan mikroorganisma menyumbang kepada pembentukan tanah.Di kawasan yang berombak,paya bakau berfungsi mengurangkan kesan puklan ketika rebut.Ini bukan sahaja menjaga kontur pantai malah dapat menyelamatkan harta benda dan nyawa.

4.SELENGGARA KITAR OKSIGEN DAN NITROGEN
Tumbuhan menghasilkan oksigen untuk pernafasan.Manakala mikrob pula membantu menambah kesuburan tanah serta penetapan kandungan nitrogen dalam tanah. Kepelbagaian biodiversiti juga boleh menghalang tompokan sebatian nitrogen seperti unsur-unsur Ammonium dan Nitrat yang boleh mengganggu kesuburan tanah.

B. KEPENTINGAN KEPADA MANUSIA

1.NILAI INSTRUMEN

Berguna kepada manusia-kini sebanyak 3000 spesis tumbuhan di dunia ini dikenalpasti berfungsi sebagai antikanser.Dijangkakan sumbangan kekayaan kepelbagaian biodiversiti ini menyumbangkan US$8 bilion setahun untuk menghasilkan ubat bagi syarikat yang mengendalikan bidang ini.Ini jelas bahawa kekayaan kepelbagaian sepsis biodiversiti ini mampu memperbaiki tahap kesihatan masyarakat dan meningkatkan jangka hayat manusia. Sebagai contoh, Anthroposentrik digunakan dalam memajukan bank genetik khasnya untuk memajukan sektor pertanian, perhutanan, akuakultur dan penternakan. Ia juga boleh digunakan sebagai sumber perubatan yang menyumbang jutaan ringgit setahun kepada ekonomi Negara.

2.NILAI INTRINSIK
Kepelbagaian biodiversiti ini juga mempunyai nilai tersendiri dan hak untuk hidup. Setiap benda hidup tidak kira haiwan, tumbuhan dan manusia mempunyai “hak asasi” masing-masing. Benda hidup mempunyai ingatan, emosi dan kesakitan.

MASALAH

1.KEGIATAN MANUSIA YANG MENGUBAH DAN MENGHAPUSKAN TEMPAT KEDIAMAN MEREKA.
Banyak aktiviti yang boleh merosakkan yang berlaku menyebabkan terjejasnya biodiversiti. Akibatnya,banyak spesis yang belum lagi dikenalpasti telah pupus. Ada antara sepsis ini telah disenaraikan dalam ketegori spesis terancam.  Jika tidak ditangani awal dari sekarang, biodiversiti yang ada sekarang akan terjejas teruk dan mungkin hilang buat selamanya.


2.PENGEKSPLOITASIKAN HUTAN TROPIKA OLEH NEGARA MEMBANGUN YANG KAYA DENGAN BIODIVERSITI BAGI TUJUAN UNTUK MENGAUT KEUNTUNGAN.
Contohnya kemunculan pelancong berasaskan alam semulajadi atau pelancongan eko adalah satu aktiviti penting yang boleh mendatangkan hasil kepada negara membangun.  Namun andainya pelancongan eko tidak dilaksanakan dengan teratur boleh menyebabkan kerosakan biodiversity.  Kemusnahanhabitat akibat penukaran tanah untuk pertanian,perlombongan,penempatan,pembinaan dan sebagainya untuk tujuan pembangunan juga bakal memusnahkan kekayaan biodiversiti dunia.


3.PERUBAHAN IKLIM DAN BENCANA ALAM
Kejadian dahsyat muka bumi seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, tsunami (2004) dan sebagainya menyebabkan kemusnahan kepada kepelbagaian biologi daratan dan akuatik dunia.


4.PENGGUNAAN SUMBER BIOLOGI SECARA TIDAK LESTARI DAN BERLEBIHAN
Aktiviti pembalakan dan pemburuan yang tidak terkawal menjadi satu agenda kepada kepupusan kepelbagaian biologi.

LANGKAH atau USAHA UNTUK MENGATASI MASALAH

1. MENGADAKAN BENGKEL MENGENAI PENGURUSAN BIODIVERSITI. ISU DASAR DAN CABARAN KEPADA MALAYSIA.
Berlangsung pada 17 Ogos 1999 dianjurkan bersama oleh Institut Kajian Pembangunan (SABAH),  Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia(MIER) dan Queen’s University, Kingston,Canada.Bengkel tersebut dibiayai oleh Agensi Pembangunan Antarabangsa Kanada (CIDA), NGO’s dan badan-badan swasta.  Antara isu yang disentuh adalah mengenai biodiversity, bioprospek, pengurusan dan pengawasan pelancongan eko dan perlindungan sepsis terancam.

2. KONVENSYEN KEPELBAGAIAN BIOLOGIKAL
Malaysia adalah salah satu antara 120 negara yang menandatangani konvensyen Kepelbagaian    Biologikal atau CBD. Konvension tersebut yang berkuatkuasa pada 29 Disember 1993 memberikan mekanisma global untuk memastikan pemuliharaan dan penggunaan mapan biodiversiti bagi generasi sekarang dan akan datang. Dalam perjanjian tersebut, Malaysia menjanjikan 50 peratus litupan muka bumi dengan hutan dan pokok selama-lamanya.

3.MENGGALAKKAN DAN MEMPERBANYAKKAN PENUBUHAN PUSAT PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN (R&D).
Contohnya Taman Teknologi Malaysia(TPM) sedang giat menjalankan kajian terhadap potensi-potensi yang boleh digunakan daripada hasil khazanah alam negara. Pusat-Pusat penyelidikan seperti Pusat Biodiversiti Raub menjalankan kerja-kerja mengutip, memelihara dan menjalankan kerja-kerja kajian farmakologi sampel, pemprosesan dan penghasilan benih.

4.MENGETATKAN KAWALAN DAN MENJALANKAN PEMANTAUAN YANG LEBIH TELUS.
Antara teknologi konservasi biodiversiti yang paling praktikal dan digunakan secara meluas pada masa kini adalah secara penentuan dan pemantauan menerusi satelit. Aktiviti pembalakan dan pemburuan haram misalnya perlu dikawal lebih ketat. Begitu juga dengan biodiversiti akuatik Malaysia yang mempunyai nilai yang tinggi,pengawalan terhadap hidupannya termasuk terumbu karang perlulah dilakukan dengan lebih mantap supaya tidak merugikan negara.

DAYA fikir saintis

Daya inovasi saintis di Barat yang cuba mengatasi masalah kekurangan zat susu lembu berbanding susu ibu (manusia).   Mereka menggunakan gen manusia terhadap lembu dan hasilnya susu lembu itu dikatakan mempunyai kebaikan-kebaikan seperti susu ibu.