Sabtu, 30 April 2011

MENUNTUT hak di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia

BUKAN mahkamah sahaja sebagai institusi yang boleh membantu kita mendapatkan keadilan.  Sebagai pengguna, kita mesti mengetahui adanya Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) sebagai satu badan untuk menentukan sesuatu keputusan jika berlaku pertikian antara pembeli dengan penjual.  Pastikan sebagai pengguna prihatin terhadap hal-hal kepenggunaan.

Apabila pengguna membeli sesuatu barang pastikan mendapatkan resit belian, surat-surat jaminan daripada penjual atau syarikat pengeluar.  Jika berlaku kerosakan, semua dokumen itu akan menjadi satu sokongan terhadap tuntutan pengguna.


Petikan akhbar di atas sebagai bukti bahawa hak pengguna boleh dipenuhi melalui TTPM.  TTPM ditubuhkan di bawah Seksyen 85 Akta Perlindungan Pengguna 1999. Pengguna hanya boleh membuat tuntutan dalam tempoh tiga tahun dari tarikh kes itu berlaku dan nilai tuntutan tidak melebihi RM10,000.

keanggotaan TTPM merupakan lantikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, dan jumlahnya tidak kurang daripada lima orang.

Selasa, 26 April 2011

UNDANG-undang mesti diwartakan sebelum dilaksanakan

PROSES menggubal atau meminda mana-mana akta bermula di Parlimen dan mesti diwartakan apabila telah diperkenankan oleh DYMM Yang Dipertuan Agong.  Oleh kerana zaman kini, maklumat di hujung jari dan pantas, maka proses pewartaan juga berubah iaitu melalui laman web.  Tahniah Malaysia. Editor NMS.

Undang-Undang Persekutuan Yang Diwarta Boleh Diakses di Portal e-Warta
PUTRAJAYA, 26 April 2011: Orang ramai kini boleh mengakses dan memuat turun undang-undang persekutuan yang sudah diwartakan menerusi e-Warta Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.  Beliau berkata menerusi portal www.federalgazette.agc.gov.my  itu, semua undang-undang persekutuan boleh diakses secara mudah dan percuma sebaik sahaja diwartakan tanpa perlu menunggu akta terbabit dicetak.
"Saya difahamkan Jabatan Peguam Negara telah mengguna pakai segala sumber dalaman yang ada untuk membangunkan sistem itu sendiri," katanya semasa melancarkan portal itu, di sini, Selasa.  Beliau yakin langkah yang diambil jabatan itu akan meningkatkan prestasi sistem penyampaiannya selain memberi manfaat kepada masyarakat dan pengamala undang-undang.
Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam ucapannya berkata portal tersebut terhasil daripada cabaran yang dilontar Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada November lepas yang mahu jabatan berkenaan membangunkan sistem perwartaan atas talian tanpa membabitkan pihak ketiga. Selepas membuat kajian, beliau berkata jabatan itu mendapati ia berupaya daripada segi undang-undang serta teknikal untuk melaksanakannya dan seterusnya mengambil alih perwartaan atas talian daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad.
Katanya fasa pertama e-Warta meliputi pewartaan perundangan subsidiari yang akan dilaksanakan bermula hari ini, dan diikuti dengan fasa kedua yang merangkumi semua perundangan utama Persekutuan yang akan dilaksanakan bagi akta yang diluluskan di Parlimen tahun ini.  Abdul Gani berkata jabatan itu juga berhasrat menjadikan portal e-Warta Persekutuan sebagai pangkalan data tunggal bagi semua undang-undang Persekutuan.
Setakat ini sebanyak RM3,950 diperuntukkan untuk kos pembelian lesen perisian Nitro PDF bagi membangunkan portal itu dan selainnya hanya menggunakan perkakasan sedia ada, kata beliau.
"Bagi menampung kapasiti portal e-Warta yang akan bertambah dengan penggunaan giat e-Warta Persekutuan selepas ia dilancarkan, jabatan ini dalam proses untuk membuat perolehan bagi perkakasan yang diperlukan seperti server, penstoran data, scanner dan sebagainya," katanya.
Pada sidang akhbar kemudiannya Abdul Gani berkata para pegawainya akan sentiasa memantau portal itu bagi memastikan ciri-ciri keselamatannya terjamin.  "Ia dalam bentuk format PDF format. Jadi kalau nak ubah apa-apa pun susah. Orang kita ada memantau sistem itu sepanjang masa. Jadi kita tidak bimbang sangatlah. Kalau orang ubah pun kita (boleh) ubah balik," katanya. -BERNAMA

DASAR Luar tiga PM Malaysia

SALAH satu faktor penentu Dasar Luar Negara ialah kepemimpinan negara.  Seorang Ketua Eksekutif negara seperti Perdana Menteri sangat mempengaruhi bentuk Dasar Luar.  Jika pelajar ingat sejarah Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia pada tahun 1963-65 dahulu jelas faktor pemimpin negara itu menjadi punca berlakunya konfrontasi dan pengenduruannya pula.  Konfrontasi dilancarkan oleh Presiden Soekarno tahun 1963, tetapi apabila Soeharto menggantikan Soekarno konfrontasi terhadap Malaysia dihentikan.

 Tun Razak dan Mao Zedong

PM pertama Tunku Abdul Rahman Putra secara jelas membawa pendirian negara yang baru merdeka condong ke arah  Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat.  Sikap condong kepada Barat semakin jelas apabila PM Tunku menerima kunjungan Persiden Amerika Syarikat LB Johnson sewaktu Perang Amerika-Vietnam.  Benar juga sejarah hidup dan pendidikan Tunku banyak di Britain menyebabkan pemikiran beliau yang pro-Barat.

Kembali kepada matlamat Dasar Luar untuk menjaga kepentingan negara, tindakan PM waktu itu adalah untuk melindungi negara daripada ancaman komunisme yang menjadi musuh negara.  Perlu diingat bahawa sewktu negara merdeka tahun 1957, merupakan zaman kemuncak Perang Dingin antara Amerika Syarikat (demokrasi-liberal) terhadap Kesatuan Soviet-China (komunisme).

Namun yang menarik ialah tindakan PM Tun Razak pada tahun 1974 mengubah Dasar Luar daripada hanya memihak kepada Barat kepada menerima kedua-dua Blok politik dunia.  Kayu aras yang penting ialah termeterinya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tahun  1974 yang membawa lawatan PM Tun Razak ke Beijing pada tahun 1976!

Sebagai sebuah negara kecil memang Malaysia tidak ada keupayaan untuk bertindak sendirian mengarung kancah politik dunia yang rencam.  Sebelumnya kuasa besar Amerika Syarikat juga telah mengubah dasar daripada memusuhi China kepada menjadikan China sebagai sahabat.  Tindakan Amerika Syarikat ini disebabkan berlaku pertelingkahan antara dua kuasa komunis iaitu Kesatuan Soviet dan China.  Amerika Syarikat mahu membuat tekanan terhadap kuasa besar komunis itu (Kesatuan Soviet) dengan memihak kepada China.  Keberadaan Amerika Syarikat di China membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka hubungan yang lebih baik dengan China sekalipun Parti Komunis China masih memberi sokongan moral kepada Parti Komunis Malaya yang memberontak dalam zaman darurat (1948-60).

Apabila Tun Dr Mahathir menjawat PM pada tahun 1981, Dasar Luar Malaysia agak anti-Barat dan pro Timur, iaitu Jepun dan Korea.  Tun Dr Mahathir memang tidak mendapat pendidikan di mana-mana negara Barat, oleh itu sikapnya terhadap Barat sangat kritikal.  Slogan ‘Buy British Last’ pada zaman awal Tun Dr Mahathir menjadi PM jelas sikapnya yang jengkel terhadap dunia Barat.

Khamis, 21 April 2011

HARAP Hari Bumi cetuskan keinsafan manusia

BENCANA alam silih berganti, perubahan cuaca dan pencemaran alam yang semakin serius adalah faktor yang membuat setiap manusia perlu duduk memikirkan semula sumbangan setiap seorang bagi memastikan bumi ini tidak terus dimusnahkan oleh pembangunan dan sikap acuh tidak acuh kita sendiri.

Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, manusia dikejutkan dengan pelbagai bencana alam. Bermula dengan tsunami yang meranapkan Aceh, pesisir pantai Thailand dan Sri Lanka pada 2004 kepada kejadian terbaru yang memusnahkan beberapa bandar Jepun, perlu dijadikan iktibar.


Justeru, sambutan Hari Bumi 2011 yang dirai setiap 22 April, tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa sebarang usaha untuk mencetus kesedaran untuk kita memulihara bumi ini dengan lebih serius. 

Tidak ramai menyedari wujudnya Hari Bumi, namun bagi kebanyakan kumpulan dan persatuan pencinta alam, Hari Bumi diraikan dengan pelbagai usaha mencetus keinsafan supaya manusia tidak terus bersikap tamak untuk memusnahkan bumi yang semakin rapuh ini. 

Selepas tsunami terbaru yang berlaku di Jepun, yang bukan saja memusnahkan beberapa bandar besar, bencana terburuk dunia itu ditambah dengan gempa bumi, turut mencetus ancaman nuklear apabila beberapa loji tenaga itu turut bocor dan mengalami kerosakan serius. 

Semakin ramai manusia mula berasa dan insaf terhadap bahang kerosakan yang dilakukan sendiri di muka bumi ini. Daripada proses pembangunan yang memperlihatkan sikap tamak dan gelojoh kita, memusnahkan alam semula jadi untuk diganti dengan hutan batu, membuatkan bumi ini mengalami hakisan yang semakin buruk setiap hari.  Hutan belantara semakin pupus, bukit ditarah dan ditebuk, sungai dan kawasan perairan bersih semakin diabaikan, lautan diancam pencemaran yang semakin buruk, ruang udara semakin tipis dan cuaca dunia diancam fenomena pemanasan global. 

Ramai semakin insaf dan sedar. Semakin banyak kempen dilaksanakan bagi mencetus kesedaran. Keinsafan wujud di hati setiap manusia, namun ramai yang masih tidak tahu bagaimana untuk membantu dan menyumbang bagi meringankan beban yang ditanggung bumi ini. 

Kempen kesedaran mengenai pemanasan global sudah pun sampai ke peringkat tertinggi. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) yang kini dikenali sebagai Sidang Puncak Rio sudah mula mengenal pasti isu dan cara menangani sejak 1992 lagi. 

Antara perkara dipersetujui ialah proses pembangunan mapan, yang mana negara kaya diperlukan untuk mengurangkan pencemaran di negara masing-masing, pada masa sama membantu negara sedang membangun menguruskan penjanaan tenaga dengan lebih berkesan. 

Di samping itu, antara agenda yang dipersetujui membabitkan usaha membasmi kemiskinan, peningkatan kualiti air, penggunaan tenaga lebih bersih, pentadbiran yang baik, penggunaan teknologi, pengeluaran dan penggunaan produk yang mesra alam, pemuliharaan lautan dan isi kandungannya serta industri pelancongan. 

Namun, keputusan Sidang Puncak Rio tidak begitu mudah untuk dilaksanakan. Beberapa negara maju bertindak untuk mewujudkan kumpulan sendiri dalam mengambil tindakan untuk menangani pelbagai isu alam sekitar. 

Protokol Kyoto yang bermatlamat untuk mengurangkan pemanasan global ditandatangani pada 11 Disember 1997. Sejumlah 191 negara dunia komited untuk mengurangkan penggunaan gas rumah hijau (greenhouse) – karbon dioksida, metana, nitrus oksida, sulfur hexaflorida – di samping bersetuju berusaha mengurangkan pengeluaran gas dengan kadar 5.2 peratus menjelang 2010 berbanding tahap pada 1992. 

Bagaimanapun, sidang puncak di Copenhagen tahun lalu, melaporkan hampir seluruh muka bumi kita hari ini mengalami ancaman bencana akibat fenomena perubahan cuaca yang semakin serius.

Indeks Risiko Cuaca Global melaporkan, ketika ini Bangladesh adalah negara dikenal pasti paling serius mengalami perubahan cuaca berdasarkan statistik antara 1990 hingga 2008 yang mana purata 8,240 rakyat maut akibat bencana alam setiap tahun. Kenaikan paras air laut setiap tahun turut mengancam nyawa lebih ramai rakyatnya yang tinggal di pesisir pantai. 

Selain Bangladesh, negara lain yang menduduki senarai 10 teratas mengalami ancaman perubahan cuaca yang serius ialah Myanmar, Honduras, Vietnam, Nicaragua, Haiti, India, Republik Dominica, Filipina dan China.  Walaupun tidak ada negara maju dan perindustrian yang menduduki senarai 10 teratas sebagai negara paling terancam, namun Itali, Portugal, Sepanyol dan Amerika Syarikat, berada dalam senarai 20 teratas. 

Selepas tsunami, gempa bumi dan kebocoran nuklear yang melanda Jepun bulan lalu, setiap negara dunia perlu insaf, walaupun tidak berada dalam senarai paling berisiko, bencana alam boleh melanda mana-mana negara pada bila-bila masa. 

Apabila bumi menerima tekanan demi tekanan akibat proses pembangunan melampau manusia, ia akhirnya akan meledakkan ‘kemarahan’ dalam pelbagai bentuk. Sayangi bumi kita dan selamatkan ia daripada musnah akibat sikap tamak kita sendiri! 


(Berita harian 21.04.2011)

ASEAN: antara krisis dan semangat penduduknya


oleh Faridzwan Abdul Ghafar (Berita harian 21.04.2011)

CADANGAN segelintir ahli akademik dan aktivis politik rantau Asia Tenggara yang menginginkan negara ASEAN peranannya menjurus kepada kesatuan politik dilihat sukar untuk dilaksanakan. Impian mereka yang mahu melihat ASEAN bergerak sebagai entiti politik negara serantau boleh menjejaskan kestabilan dan hubungan diplomatik rantau Asia Tenggara dengan negara di rantau Asia yang lain.

Aktivis politik dan ahli akademik terbabit kerap mencanangkan kepada 600 juta penduduk Asia Tenggara menerusi pelbagai saluran, termasuk media baru bahawa ia boleh dilaksanakan dengan berpandukan model pembentukan Kesatuan Eropah (EU) yang dianggap berjaya itu.


Hakikatnya, tujuan penubuhan ASEAN dan EU adalah berbeza, di samping faktor demografi negara anggota sama ada ASEAN atau EU yang diketahui menerusi rentetan sejarah yang langsung tidak sama.

Masyarakat antarabangsa mengetahui bahawa ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok pada asalnya dianggotai Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina adalah untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis Kesatuan Soviet dan China. 

Selain itu, ASEAN juga dijadikan platform bagi memacu kerjasama hubungan serantau kerana negara anggota pada masa itu kebanyakannya baru mengecapi nikmat kemerdekaan dan sedang dalam proses pembelajaran mengenai hubungan antarabangsa. 

Sejak itu, peranannya berkembang sejajar dengan peredaran zaman dan berjaya untuk menarik minat negara Asia Tenggara lain seperti Brunei, Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar untuk menganggotainya.  Malah, selepas tamatnya Perang Dingin, ASEAN sekali lagi berubah dengan menumpukan kepada kerjasama ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan mewujudkan pentas perbincangan bagi membawa pelbagai isu negara serantau secara rundingan. 

Walaupun persatuan negara Asia Tenggara itu bersatu dalam pelbagai kerjasama, tetapi ia masih mengekalkan identiti dan kepentingan masing-masing lantaran perbezaan sistem politik, budaya, bahasa dan agama. 

Ia sangat jelas bahawa terlalu banyak perbezaan latar belakang yang harus diatasi jika ASEAN ingin berubah kepada kesatuan politik serantau seperti yang berlaku kepada negara anggota EU. EU tidak mengalami masalah perbezaan ketara seperti dialami negara anggota ASEAN, terutama apabila ia membabitkan pertumbuhan ekonomi dan kadar kuasa beli penduduk setempat. 

Berbanding dengan ASEAN, EU ditubuhkan bagi mengatasi masalah nasionalisme melampau di kalangan penduduk Eropah, selain menyatukan kuasa ekonomi bagi mengurangkan persaingan dan mendapatkan pasaran yang lebih luas. 

Nasionalisme melampau dan persaingan ekonomi antara negara berkuasa besar di Eropah menyebabkan dua perang dunia tercetus dan mengakibatkan masyarakat antarabangsa trauma dengan agenda Eropah. Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman, berkata ASEAN sebenarnya berdepan dengan krisis penentuan identiti dan semangat serta jati diri membabitkan penduduk negara anggota. 

“Dulu kita ingat bahasa Melayu adalah identiti dan jati diri untuk penduduk ASEAN, tetapi dengan kemasukan negara seperti Laos, Myanmar dan Kemboja, nampaknya bahasa Melayu sukar untuk dilihat sebagai identiti ASEAN. 

“Kita perlu mengkaji semula titik persamaan antara negara anggota ASEAN jika mahu menjadi kesatuan politik serantau seperti EU, tetapi saya fikir ia agak mustahil untuk ke arah itu dan memerlukan masa yang lama,” katanya. 

Setakat ini, titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah kerjasama ekonomi kerana setiap negara anggota ASEAN saling bergantung antara satu sama lain bagi menjana pertumbuhan ekonominya, manakala kerjasama kesatuan politik adalah titik persamaan yang amat sukar dicapai. 

Justeru, tindakan yang boleh diambil negara anggota ASEAN ialah mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi serantau kerana kemakmuran ekonomi negara Asia Tenggara akan membawa kepada kestabilan politik, kemajuan pendidikan dan mengurangkan kadar kemiskinan.

Rabu, 20 April 2011

KARANGAN: Menghuraikan idea utama

MASALAH sebagian besar pelajar dalam membina karangan ialah mengembangkan isi daripada idea utama.  Hal ini menyebabkan banyak karangan pelajar yang ditanda sebagai TJ (tidak jelas) dan TR (tidak relevan).  Perhatikan petikan jawaban pelajar dan sedikit ulasan berkenaannya.

Soalan: Malaysia telah menggerakkan sektor pertanian ke arah yang lebih moden.  Bincangkan potensi dan cabaran masa depan dalam sektor ini.

Soalan ini memerlukan jawaban 2 + 2, iaitu dua idea utama mengenai potensi pertanian dan dua lagi idea utama untuk cabaran sektor pertanian moden.

Pelajar mudah memberi jawaban pertanian berpotensi menjadi sumber makanan penduduk setiap masa.  Baik, itu adalah idea utama untuk potensi pertanian moden.  Bagaimana huraiannya?

Contoh huraian pelajar 1

Hal yang demikian dapat membantu meningkatkan hasil pertanian.  Pada masa akan datang, penduduk tidak perlu risau kerana sektor pertanian tersebut telah dinaik taraf kepada yang lebih baik dan moden.  Oleh itu sumber pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tidak akan berkurang pada masa akan datang.

Contoh huraian pelajar 2

Sumber makanan adalah sangat diperlukan oleh penduduk apabila penduduk masa akan datang akan bertambah.  Maka sumber makanan tersebut menjadi keperluan dan sumber makanan menjadi salah satu sumber utama yang penting kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan.  Di samping itu, sumber makanan juga menjadi satu aset penting dalam meneruskan kehidupan seharian untuk memberi kelangsungan hidup penduduk.

Huraian sepatutnya menjelaskan kepada keperluan makanan yang mencukupi terhadap sebanyak mana jumlah penduduk negara.  Saya cadangkan huraian seperti di bawah.

Dasar kependudukan yang mensasarkan pertambahan 2.5 peratus setiap tahun tidak akan menghadapi masalah kerana sektor pertanian yang dimodenkan terus memberi bekalan makanan yang mencukupi.  Walaupun keluasan tanah tidak bertambah, tetapi teknologi moden berjaya menambah pengeluaran hasil di samping kualiti yang bertambah baik.

Aspek bahasa jawaban pelajar ada masalah.  Umumnya, kesalahan bahasa menyebabkan kegagalan menyampaikan idea dan huraian.  Oleh itu dengan bahasa yang baik, pengaliran idea dan bahasa menjadi tepat dan betul.

Perhatikan ayat kedua bagi jawaban pelajar 2, ayat yang digelapkan warnanya. Kesalahan tatabahasanya amat jelas, dan akibatnya dia gagal menyampaikan maklumat yang sebenar.

Isnin, 18 April 2011

MAKSUD cabaran dalam Wawasan 2020

WAWASAN 2020 (1991-2020) merupakan satu gerak kerja untuk mencapai status negara maju mengikut acuan Malaysia.  Ada Sembilan cabaran selama 30 tahun untuk kesemuanya dicapai pada tahun 2020.  Hal ini bererti, sepanjang 30 tahun ini, semua yang dinamakan cabaran merupakan suatu yang masih dalam proses.  Berikut merupakan sebagian tulisan seseorang yang  dapat saya rakamkan semula  berkenaan Wawasan 2020. (NMS-editor)

Menjelang tahun 2020, Malaysia dapat menjadi negara bersatu, dengan masyarakat Malaysia yang yakin, mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh, hidup dalam masyarakat yang demokratik, liberal dan bertolak ansur, penyayang, adil dari segi pengagihan ekonomi, progresif dan makmur, dan mempunyai penguasaan sepenuhnya terhadap ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental.

Tidak akan wujud Malaysia yang maju sepenuhnya sehingga kita akhirnya dapat mengatasi sembilan cabaran strategik yang kita hadapi sejak kelahiran kita sebagai sebuah negara merdeka. 

Cabaran pertama ialah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, bekerjasama sepenuh- nya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. 

Yang kedua ialah cabaran untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju, dengan keyakinan akan keupayaan sendiri, berbangga dengan apa yang ada, dengan apa yang telah dicapai, cukup gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, amat sedar akan semua potensinya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain. 

Cabaran ketiga yang sering kita hadapi ialah usaha mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia yang mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada beberapa banyak negara membangun.

Cabaran Keempat ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, dengan warganegaranya teguh dalam nilai agama dan kerohanian dan didokong oleh nilai etika paling tinggi. 

Cabaran kelima yang selalu kita alami adalah untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara.

Cabaran Keenam ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat yang mempunyai daya perubahan tinggi dan berpandangan ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

Cabaran ketujuh untuk mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mementingkan masyarakat lebih daripada diri sendiri, dengan kebajikan insan tidak berkisar pada negara atau orang perseorangan tetapi di sekeliling sistem keluarga yang kukuh.

Cabaran Kelapan ialah cabaran untuk memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Ini merupakan masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama, dengan wujudnya perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan pengenalan kemunduran ekonomi berdasarkan kaum. 

Cabaran kesembilan ialah cabaran untuk mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental.