Rabu, 15 Jun 2011

DAPATKAN empat markah satu perenggan karangan


KARANGAN: empat perenggan meliputi 16 markah!  Bagaimanakah untuk mendapatkan satu peranggan empat (4) markah?  Setiap peranggan mesti mengandungi satu idea utama dan tiga huraian.  Secara mudah, satu idea utama mendapat satu markah dan tiga huraian mendapat tiga markah.

Andaikan soalannya begini:  Tumpuan menghasilkan makanan yang banyak dan cepat mendorong ahli-ahli sains memperkenalkan kaedah ternakan ayam secara besar-besaran.  Kaedah sains organik pula diperkenalkan untuk mengatasi kesan sampingan daripada revolusi ternakan ayam makanan tersebut.  Bincangkan.

Skema jawaban ini ialah dua keburukan daripada haiwan ternakan moden dan dua kaedah penghasilan secara organik.

Dua keburukan
Idea utama (I 1): banyak penggunaan bahan kimia.
Huraian:
1.       Makanan ayam mengandungi antibiotik dan vaksin.
2.       Antibiotik untuk menghindari serangan bakteria tetapi antibiotik itu boleh dipindahkan kepada manusia.
3.       Kesan antibiotik ayam terhadap manusia ialah ‘kekebalan’ tubuh manusia daripada rawatan antibiotik dan mengurangkan kesuburan.

Idea utama (I 2): Kaedah penternakan yang mampat.
Huraian:
1.       Semua ayam merupakan ayam hasil pengubahsuaian genetik yang berpotensi membesar dengan cepat.
2.       Sebuah reban digunakan untuk membela beribu-ribu ekor ayam sehingga tiada ruang untuk ayam bergerak secara  semulajadi.
3.       Ayam tidak ada tempat untuk mencakar atau mengais.

Dua kaedah organik.
Idea Utama (I 3) Makanan ayam organik.
Huraian
1.       Makanan ayam berasakan bahan organik.
2.       Makanan ayam ialah bijirin yang bebas daripada semburan racun perosak.
3.       Makanan ayam mesti tidak mengandungi protein sayuran, vitamin, herba atau mineral antioksida dan antikanser.

Idea utama (I 4) Kaedah penternakan
1.       Kawasan penternakan haiwan mestilah memberi ruang untuk haiwan beraktiviti secara semulajadi.
2.       Misalnya reban ayam organik mesti memberi ruang untuk bergerak, mencakar dan mengais.
3.       Baka ayam juga mesti daripada jenis asli, bukan hasil pengubahsuaian genetik.

Cadangan jawaban

     Tumpuan menghasilkan makanan yang banyak dan cepat mendorong ahli-ahli sains memperkenalkan kaedah dan pemakanan ayam secara besar-besaran.  Kaedah sains organik pula diperkenalkan untuk mengatasi kesan sampingan daripada revolusi ternakan ayam makanan tersebut.

     Keburukan utama memakan ayam biasa ialah daging ayam mengandungi bahan antibiotik dan vaksin.  Penggunaan antibiotik baik untuk mencegah penyakit pada ayam, tetapi bahan itu dipindahkan pula kepada manusia yang memakan ayam.  Antara kesan antibiotik ayam terhadap manusia ialah tubuh manusia yang mengalami kekebalan daripada ubat-ubatan lain dan merendahkan tahap kesuburan.

     Daging ayam yang popular hari ini dihasilkan daripada sistem pemeliharaan yang mampat.  Reban ayam menjadi sempit kerana terdapat beribu-ribu ekor ayam yang hanya diperlukan pembesarannya, bukan kebajikan sosialnya.  Ayam ini juga hasil pengubahsuaian genetik yang hanya hidup untuk daging tanpa melalui proses kehidupan ayam yang tulen.  Ayam jenis ini bukanlah memenuhi keperluan tubuh badan manusia.

     Sebagai pilihan daripada permasalahan ayam yang konvensional itu, terdapat ayam organik yang menepati kesihatan manusia.  Ayam organik merupakan ayam yang diternak berasaskan ciri dan makanannya yang semulajadi.  Bahan makanan ayam ini berasaskan makanan organik, iaitu bijirin yang bebas daripada semburan racun makhluk perosak.  Makanan ayam ini juga tidak mengandungi protein sayuran, vitamin, herba atau mineral antioksida.

     Kaedah penternakan ayam organic juga menjadikan ayam ini memberi kesihatan kepada manusia.  Reban ayam tersebut lebih luas untuk memberi ruang ayam melakukan aktiviti semula jadi sebagai haiwan ternakan normal.  Baka ayam juga bukanlah hasil pengubahsuaian genetik, sebaliknya ayam tulen yang sama seperti ayam di desa-desa.  Ayam organic tetap diternak secara komersil seperti ayam daging biasa. 

     Kesimpulannya, ayam organik bakal menjadi pilihan utama pengguna daging kerana ayam ini dapat memenuhi keperluan biologi manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan