Isnin, 2 Mei 2011

MENULIS huraian mantap dalam karangan

DALAM karangan Pengajian Am Bahagian A dan B dipertuntukkan 50 markah.  Namun berdasarkan pengalaman saya, sukar menemui karangan pelajar yang dikira mantap.  Kebanyakan karangan sama ada lemah atau sederhana dengan purata markah antara 10 hingga 17 sahaja.  Sudah banyak kali latihan dilalui, namun perkembangannya agak lambat.  Apa pun, jangan sesekali calon STPM keciwa atau bosan untuk mengarang kerana jumlah markah yang besar. Sanggupkah kalian hilang 30 daripada 50 markah di Kertas 2?

Antara punca utama kelemahan karangan pelajar ialah kegagalan memberi huraian yang mantap.  Kegagalan memberi huraian kerana kurangnya pembacaan yang mencabar minda dan gagal membedakan antara idea utama dan huraian mengenainya. 

Cuba perhatikan contoh penulisan karangan pelajar di bawah.                                  

Punca rasuah di kalangan masyarakat kerana masalah birokrasi.  Orang ramai tidak mengetahui cara-cara berurusan dengan kerajaan dan membayar wang rasuah.  Selain itu sikap tamak kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya amalan rasuah.  Oleh itu, patut jika gaji mereka dinaikkan untuk mengelakkan amalan rasuah.

Komentar saya seperti di bawah.

Pertama: Idea utama ialah birokrasi punca rasuah.  Bagaimanapun lihat pula huraian kepada idea utama ini, berlaku kecelaruan yang menyebabkan keciciran markah.  Sepatutnya, semua huraian mestilah terus menerangkan masalah birokrasi yang menjadi punca kegiatan rasuah.

Kedua
Ayat huraian 1:  ‘orang ramai tidak mengetahui cara-cara berurusan dengan kerajaan dan membayar wang rasuah’ boleh diterima sebagai huraian.

Ayat huraian 2: ‘Selain itu sikap tamak kakitangan kerajaan menyebabkan berlakunya amalan rasuah’ jelas tidak ada kaitan dengan masalah birokrasi.  Huraian ini tidak relevan (TR).

Ayat huraian 3: ‘Oleh itu, patut jika gaji mereka dinaikkan untuk mengelakkan amalan rasuah’ juga tidak berkaitan dengan masalah birokrasi.  Huraian ini membawa maksud cara-cara mengatasi masalah rasuah.

Akhirnya pelajar dapat mengesan mengapa perenggan jawaban pelajar hanya mendapat  dua markah, bukan empat markah yang sepatutnya.  Kalaulah pelajar mengetahui maksud dan falsafah birokrasi, pasti pelajar  itu dapat berfikir huraian yang relevan dengan idea utamanya.  Birokrasi adalah satu proses berperingkat-peringkat yang dilalui untuk menyelesaikan sesuatu urusan.  Tujuan birokrasi ialah mengelakkan penyelewengan dengan adanya pemantauan beberapa peringkat.

Bagaimanakah contoh peranggan yang sepatutnya?  Saya mencadangkan seperti di bawah ini.

Punca rasuah dalam kalangan masyarakat ialah kerenah birokrasi.  Orang yang merasa terganggu dengan  birokrasi  akan merasuah pegawai untuk mempercepatkan urusannya.  Semakin rumit urusan birokrasi itu, semakin banyaklah wang rasuah dibayar untuk melepasinya.  Sebagai contoh, untuk mendapatkan  lesen memandu, seseorang yang merasakan sukar melepasi ujian literasi dan praktikal tetapi sangat memerlukan lesen berkenaan, akan merasuah pegawai berkenaan asalkan dirinya memperoleh lesen memandu yang sah.

Pelajar boleh mengkaji  tiga ayat huraian di atas, semuanya berkaitan dengan idea utama (kerenah birokrasi).  Untuk mendapatkan satu perenggan yang mantap memang memerlukan saya fikir yang agak luar daripada kebiasaan.  Namun itulah hasilnya!

6 ulasan: