Rabu, 30 Mac 2011

SOALAN penentu utama jawaban media

JADUAL di bawah boleh didapati daripada satu bahan linear.  Jadual ini sengaja tidak diberikan tajuk untuk memahamkan kepada calon bahawa tajuk merupakan penentu media yang akan dihasilkan nanti.  Hal ini bermakna,  bahan linear yang dipindahkan dalam bentuk jadual, boleh saja akan dijadikan dalam bentuk graf garis ataun graf bar.  Malah, jika graf bar pun, boleh saja dibinakan graf bar kompaun atau bar komponen!

Tajuk pada jadual pula mesti bertepatan dengan soalan yang dipaparkan.

Jenis perkhidmatan\ tahun
2001 (RM juta)
2002 (RM juta)
2001 (RM juta)
Perdagangan dan perindustrian
4,830
5,546
5,517
Pertanian dan pembangunan luar bandar
1,394
3,039
2,886
Keselamatan
3,286
3,080
3,063
Pendidikan
10,363
9,275
9,795
Kesihatan
1,570
1,316
1,790
Jumlah
21,143
22,256
23,051

Contoh soalan 1
Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan perbelanjaan pembangunan Kerajaan  Persekutuan bagi perkhidmatan social dan ekonomi pada tahun-tahun yang dinyatakan.

Jika begitu soalannya, maka tajuk untuk jadual berkenaan ialah

         Malaysia: Perbelanjaan Pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi Perkhidmatan
                        Sosial dan Ekonomi dari Tahun 2001 hingga Tahun 2003.

Berdasarkan soalan, graf yang tepat untuk dijadikan media jawaban ialah graf garis kompaun.

Contoh soalan 2
Berdasarkan maklumat yang diberikan dalam petikan di bawah, sediakan graf yang sesuai untuk menunjukkan jumlah perbelanjaan pembangunan Kerajaan  Persekutuan bagi perkhidmatan sosial dan ekonomi pada tahun-tahun yang dinyatakan.

Perhatikan bahawa soalan hampir sama, cuma ditambah perkataan JUMLAH.  Oleh itu tajuk untuk jadual berkenaan ialah

           Malaysia: Jumlah Perbelanjaan Pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi Perkhidmatan
                          Sosial dan Ekonomi dari Tahun 2001 hingga Tahun 2003.

Oleh itu, berdasarkan soalan kedua, graf yang tepat untuk dijadikan media jawaban ialah graf garis komponen.

Ingat, kesilapan memilih media menyebabkan markahnya hanya 1/15.

Isnin, 28 Mac 2011

FORMAT peperiksaan Pengajian Am

KERTAS 1 (900/1)
Jumlah soalan
Masa
Fokus soalan
Jumlah markah
Wajaran (%)
60 soalan aneka pilihan (soalan 1-45 berkaitan aspek kenegaraan, soalan 46-60 merupakan soalan penyelesaian masalah kuantitatif dan kualitatif)
2 jam
Meliputi sistem pentadbiran, perundangan,  kehakiman dasar dalam dan luar negara serta isu semasa
60
37.50%
KERTAS 2(900/2)
Bahagian A: Karangan Laras Sastera
3 jam
2 soalan (pilih satu) yang meliputi semua aspek sosial, ekonomi, sains dan teknologi, politik.alam sekitar dan agama
25
62.50%
Bahagian B: Karangan Laras Sains
2 soalan (pilih satu) yang meliputi semua aspek sains, biologi, teknologi dan produktiviti, kesihatan, perubatan, penyakit dan alam sekitar
25
Bahagian C: Ulasan Petikan dan Kefahaman (meliputi laras sastera dan sains)
2 soalan  (pilih satu soalan setiap laras)
20
Bahagian D: Mengalih Bentuk Teks Linear kepada Bentuk Bukan Linear
2 soalan (pilih satu) yang meliputi bentuk grafik seperti pelbagai jenis carta pai, graf bar dan graf garis
15
Bahagian E: Mengalih Bentuk Teks Bukan Linear kepada Bentuk Linear
2 soalan (pilih satu) yang meliputi jadual, carta aliran dan carta, graf bar dan graf garis
15

CONTOH karangan laras sains yang terseleweng

 Soalan
“Kepentingan hidupan liar kepada alam dan manusia memang tidak dapat dinafikan lagi, namun begitu bilangannya semakin berkurangan.”  Huraikan bagaimanakah masalah kepupusan hidupan liar ini ditangani.

Hutan merupakan habitat flora dan fauna tetapi hutan sering dimusnahkan oleh manusia kerana untuk pembangunan dan mengejar kekayaan.  Secara langsung hidupan liar semakin berkurangan sehingga menghampiri kepupusan.

Untuk menangani masalah kepupusan hidupan liar, pihak berkuasa harus mengetatkan undang-undang dan memberatkan hukuman terhadap orang yang memusnahkan hidupan liar.  Dengan hukuman yang berat, pesalah tidak akan bertindak sesuka hati dan berfikir dahulu sebelum menjalankan sebarang langkah.   Hukuman berat telah menjadi amaran kepada mereka.

Selain itu, kita juga perlu menyelesaikan masalah tersebut melalui pendidikan.  Kita boleh menanam semangat cintakan alam sekitar dan hidupan liar sejak kecil lagi.  Tindakan ini dapat memupuk semangat mereka.  Dengan konsep ini, mereka tidak akan memburu dan membunuh hidupan liar apabila mereka dewasa.

Di samping itu, kita boleh mengadakan kempen cinta kepada hidupan liar.  Kempen tersebut harus bekerjasama dengan media massa.  Dalam kempen, kita boleh berceramah kepentingan hidupan liar kepada alam dan manusia.  Kempen dapat menyedarkan  rakyat betapakah penting hidupan liar.  Biasanya, kempen akan mendapat sambutan orang ramai, sebagai contoh kempen mencegah dadah sangat berjaya dalam negara kita.

Rakyat juga harus bekerjasama dengan kerajaan. Rakyat tidak harus membeli binatang larangan sebagai hiasan seperti kulit harimau. Pemburuan  berterusan kerana terdapat permintaan dalam pasaran.  Kalau rakyat memboikotnya, maka tiada permintaan dalam pasaran dan ini menyebabkan pemburuan berkurang kerana tiada rezeki kepada pemburu.

Kesimpulannya, semua rakyat dan penduduk harus bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menangani masalah kepupusan hidupan liar.  Kita perlu ingat, kita hanya meminjam dunia ini daripada generasi akan datang.






TR- salah laras.
(mengetatkan undang-undang adalah laras sastera)
0 markah


TR – salah laras
(sastera)
0 markah



TR -  salah laras
(sastera)
0 markah





TR -  salah laras
(sastera)
0 markah









Karangan terseleweng
markah 1/25


BAGAIMANA membina karangan yang baik?

APA yang ada pada sebuah karangan?  Sejak sekolah rendah, murid-murid diajar mengarang, sehinggalah di Prauniversiti atau Tingkatan Enam.  Mengapa tidak mahir lagi mengarang?

Sistem kepengarangan ini sama saja untuk Bahagian A (Laras Sastera) dan Bahagian B (Laras Sains).

Arahan  dalam  kertas soalan ialah calon diminta mengarang dengan kepanjangan antaraa 250 hingga 300 patah perkataan.  Sebenarnya calon masih diberi kelonggaran sehingga 350 patah perkataan!  Setelah 350 patah perkataan, apa-apa yang tercatat tidak ada dalam pemarkahan.

Karangan calon mestilah dalam enam perenggan sahaja.  Enam perenggan ini dalam memenuhi kehendak skema pemarkahan dan memudahkan penyemakan oleh pemeriksa kertas jawaban.  Untuk mudah difahami, perhatikan analisa ini.

Perenggan 1: Pengenalan
Perenggan 2: Idea satu dan tiga huraiannya.
Perenggan 3: Idea dua dan tiga huraiannya.
Perenggan 4: Idea tiga dan tiga huraiannya.
Perenggan 5: idea empat dan tiga huraiannya.
Perenggan 6: Kesimpulan atau penutup.

Kaedah pemarkahan karangan ini seperti berikut:
Idea:         4 markah
Huraian:  12 markah
Bahasa :    5 markah
Impak/keberkesanan: 4 markah
(Jumlah keseluruhan ialah 25 markah)

Apa yang selalu dilupakan oleh calon?

Calon tidak memahami sepenuhnya maksud dan kehendak soalan.
Fahamilah kehendak soalan itu untuk menentukan struktur idea utama bagi jawaban itu: 4 + 0 atau
2 + 2 atau 1 + 3. 
Ø        Maksudnya jika 4 + 0  kesemua idea utama itu dari satu pandangan.
Ø        Manakala  jika 2 + 2 ialah  dua dari satu sudut pandangan dan dua idea lagi sudut pandangan lain.    
Ø        Bagi struktur 1 + 3, bermaksud satu idea dari satu pandangan  dan tiga idea lagi pandangan lain. 
Pandangan-pandangan itu ditemui dalam maksud soalan yang diberikan.

Calon tidak membuat rangka jawaban. 
Hal ini kerap berlaku, walhal inilah asas kepada sesiapa saja untuk menghasilkan karangan bermutu.  Tulislah rangka karangan berdasarkan perenggan, insya Allah kerja mengarang akan terus lancar dan tidak tersesat ke mana-mana.

Tidak membaca karangan sendiri.
Kononnya kerana mengejar masa, calon hanya menulis karangan. Kerja membaca karangan diserahkan kepada pemeriksa. Inilah antara kesilapan calon yang melepaskan peluang untuk menilai semula hasil tulisanya sama ada diyakini betul atau masih ada kesalahan kecil, misalnya ejaan!

Baikilah mana-mana kesilapan yang lalu.

CARA menjawab soalan bahagian C


BAHAGIAN C
Kefahaman dan ulasan teks laras sains

6a)  “Penyakit kanser atau barah merupakan penyakit kronik yang sukar diubati.  Berdasarkan kajian, penyakit ini boleh diwarisi secara genetik.  Faktor amalan hidup memainkan peranan penting seseorang mendapat penyakit kanser walaupun kajian perubatan membuktikan punca pemakanan lebih tinggi berbanding keturunan.”
 (dipetik daripada Buletin Pengguna, Mei  2006)

i.                     Berdasarkan petikan di atas, apakah penyakit kanser?
ii.                   Dengan menggunakan tidak lebih daripada 50 patah perkataan, jelaskan amalan hidup sihat untuk mengurangkan risiko penyakit kanser.

Bahagian C untuk laras sains ialan nombor 6a atau 6b, pilihlah salah satunaya!

Cara menjawab soalan i (6ai).
i    Jawaban hanya menggunakan satu ayat.  Ada calon loyar buruk dengan menulis satu ayat yang panjang barulah dinoktahkan.  Maaf, calon ini pasti tidak mendapat markah penuhnya iaitu DUA.

ii   Walaupun hanya satu ayat, jawabannya sudah tersedia dalam petikan.  Sebaik-baik jawaban ialah, calon memilih perkataan sendiri dalam menerangkan maksud daripada petikan.

iii  Sebagai contoh, jika calon menyalin sepenuhnya: Penyakit kanser atau barah merupakan penyakit kronik yang sukar diubati, maka calon tidak mendapat markah!

Untuk mendapat markah penuh, calon boleh menulis jawaban itu begini:
Penyakit kanser merupakan penyakit kronik yang sangat sukar diubati.

iv  Jika calon menulis lebih daripada satu ayat, maka ayat kedua tidak dinilai apa-apa dalam pemarkahan.  Hanya ayat pertama yang dinilai.

Cara menjawab soalan ii (6aii)
i   Pastikan semua jawaban calon tidak melebihi 50 patah perkataan.  Sebarang perkataan selepas kiraan 50 tidak akan dinilai dalam pemarkahan.

ii  Tulislah jawaban ini dalam dua perenggan.  Peranggan satu mengandungi SATU idea dan DUA huraian dan perenggan dua juga mengandungi SATU idea dan DUA huraian.  Oleh itu setiap satu perenggan mengandungi tidak lebih 25 patah perkataan.

iii  Contohnya
     Idea 1: Mengawal pemakanan
     Huraian 1: Seseorang perlu mengurangkan makanan berkolesterol tinggi.
     Huraian 2: Contoh daging berkolesterol tinggi ialah daging babi dan lembu.

     Idea 2: Berhenti merokok
     Huraian 1: Rokok mengandungi nikotin yang menyebabkan ketagihan.
     Huraian 2: Bahan kimia dalam rokok menyebabkan barah.

Tulislah begini:

     Untuk mengelakkan barah, seseorang perlu mengawal pemakanannya.  Makanan yang berkolesterol tinggi perlu dijauhi. Antara makanan tersebut ialah daging babi dan lembu.
     Selain itu, mereka yang merokok mesti berhenti merokok.  Terdapat nikotin dalam rokok yang menyebabkan ketagihan dan bahan-bahan kimia yang menyebabkan penyakit barah.

iv   markah keseluruhan untuk nombor ii ialah lapan! Pembahagian markah ini ialah DUA markah untuk idea, EMPAT markah untuk huraian dan DUA markah bahasa.

Markah keseluruhan untuk soalan (i) dan (ii) ialah 10.

CARA menulis pengenalan dalam karangan

BAGAIMANA hendak menulis pengenalan dalam karangan.  Sama ada karangan laras sastera atau sains, kaedahnya sama sahaja.  Untuk karangan Pengajian Am peringkat STPM, tidak boleh disamakan dengan kaedah menulis pengenalan karangan bagi subjek lain sekalipun pada peringkat STPM juga.

Pengenalan dalam karangan tidak ada markah, tetapi tanpa pengenalan pada karangan samalah manusia tanpa kepala!  Oleh itu, tulislah pengenalan yang mudah, jelas dan tidak menyusahkan anda atau pemeriksa.

Contoh soalan
Malaysia mempunyai koloni spesis tumbuh-tumbuhan herba yang banyak dan memberi kebaikan kepada manusia.  Namun spesis ini perlu dikembangkan untuk kegunaan berterusan.  Bincangkan.

Ada calon menulis pengenalan yang agak panjang, contohnya:
Malaysia masih mempunyai hutan yang luas, dan dalam hutan berkenaan terdapat banyak tumbuh-tummbuhan termasuk herba.  Herba ini sudah lama menjadi kegunaan masyarakat sejak zaman dahulu sehingga ke zaman sains dan teknologi.  Antara herba yang popular ialah tongkat ali, hempedu bumi, pegaga, daun kaduk dan bermacam-macam lagi.Dengan kecanggihan teknologi, herba dapat dikomersilkan dan bermanfaat kepada manusia sejagat.

Pengenalan yang agak panjang itu tidak salah, tetapi calon telah mengambil masa untuk menulisnya.
Saya mencadangkan pengenalan untuk soalan itu sekadar ditulis begini:

Malaysia mempunyai koloni spesis tumbuh-tumbuhan herba yang banyak  dan memberi kebaikan kepada manusia.  Semua herba ini patut dikembangkan kegunaannya agar terus bermanfaat kepada manusia.

Teknik menulis pengenalan dalam karangan ini ialah ‘mengubahsuai daripada soalan’.  Cara ini dapat menyelamatkan karangan daripada terpesong jika calon tidak menulis jawaban yang dikaitkan dengan kehendak soalan.

Ahad, 27 Mac 2011

ENAM BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA)

1. Bilakan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?
• Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.
2. Siapakah Menteri-menteri  yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?
• Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:
I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)
II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)
III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

IV. Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
V. Bagi NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman ialah Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).
3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?
• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut
• KPI akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan
• Setiap minggu PM akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, PM akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan.
• Bukan itu sahaja, anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.
• Sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Bengkel-bengkel tersebut adalah bagi merangka, memperincikan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.
4. Latar belakang merevolusikan pengurusan

Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan
• Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, PM telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.
• Pada 28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.
• Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.
• Pada hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini, PM telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.

5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?
• Tujuan PM memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.
• Puncanya ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan.
• PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini di maklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
• PM turut  meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.

6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?
1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah
• Sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.
• Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

i) Jenayah jalanan
Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.
ii) Keselamatan awam
Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini  termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.
iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan
Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.
2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah
• Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.
•  Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking  Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.
• Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.

3) NKRA yang ketiga  – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan
• Seperti yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelancangannya.  Justeru, kerajaan  akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosioekonomi.
• Oleh itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.
• Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
•  Adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.  Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 80%.
• Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru  kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
• Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh,  akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi  pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.

4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah
• PM bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.
• Sehubungan ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010  semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.
•  Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malah, kaum hawa membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang  menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.
5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman
• Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir dari merasai mahsul kemakmuran.
• Lantaran itu, pentadbiran kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat tahun 2012.
• Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.
•  Manakala di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
• Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.
• Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.
• Kerajaan turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin dan sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.

6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana
• Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.
• Mengikut pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Jadi, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, PM mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya. 

Kesimpulan
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini membuktikan Kerajaan di bawah pimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak begitu telus dan komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan kerajaan yang bermutu tinggi kepada rakyat. Ini kerana dengan adanya NKRA ini rakyat boleh menilai keberkesanan kepimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak secara adil dan sistematik tanpa berdasarkan emosi ataupun persepsi semata-mata.
Selain daripada itu juga Kerajaan pimpinan YB PM telah memperkenalkan sistem pengukuran prestasi yang boleh membuktikan secara fakta keberkesanan setiap 6 bidang NKRA. NKRA ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam meletakkan amanah dan mandat rakyat di kedudukan tertinggi dan bermaruah di samping mencapai konsep 1Malaysia di mana, “ rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.”