Sabtu, 26 Mac 2011

PENGURUSAN air patut diubah untuk kelestarian

oleh: Dr Zaini Ujang, UTM.



SUMBER dan bekalan air bersih semakin membimbangkan. Demikian antara kandungan utama sorotan majalah National Geographic keluaran April 2010. Kini, isi padu sumber air dalam bentuk air tawar ialah 9.25 juta trilion gelen. Perlu juga disebutkan 97 peratus air di muka bumi adalah air masin. Hampir dua peratus lagi dalam bentuk ais dan salji. Bermakna air tawar hanya satu peratus daripada keseluruhan sumber air global untuk pelbagai kegunaan termasuk sektor pertanian, perbandaran dan perindustrian. 

Paling membimbangkan, fenomena pemanasan global yang bukan saja meningkatkan paras air laut malah mencairkan salji dan ais. Laporan Panel Antarabangsa Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC) hampir tiga tahun lalu menjangkakan kesan pemanasan suhu bumi lebih ketara kepada ekosistem. Sumber air kini mengalami perubahan lebih mendadak dengan kekerapan banjir besar atau kemarau panjang.


Kos empangan adalah 50 peratus kos pembinaan infrastruktur sumber air kini diramal semakin tidak mampu menakung air untuk tujuan bekalan air, pengairan dan penebatan banjir. Malah, infrastruktur sedia ada di serata dunia ketika ini juga dijangka tidak mampu menghadapi kitaran hidrologi baru terhasil menerusi pemanasan suhu bumi. Hal ini semakin sukar dengan pencemaran sumber air semakin berleluasa menerusi perbandaran dan perindustrian, khususnya di bandar raya negara membangun. 

Bagi menghadapi situasi itu, paradigma baru pengurusan air perlu dirangka dan dilaksanakan segera dengan pendekatan dan strategi lebih lasak perubahan cuaca dan mesra alam. Teknologi air lestari juga perlu dimaju dan diguna pakai. Persoalannya apakah bentuk paradigma itu? 

Pada hemat saya, paradigma semasa yang sudah dianggap standard oleh kebanyakan pakar pengurusan air ialah sistem pengurusan air secara berpusat: Bermula dengan empangan di hulu, air mentah disedut dari sungai di hilir, dirawat di loji rawatan air, disalurkan ke pengguna menggunakan paip, air sisa dikumpul dan disalur menggunakan paip pembetung dan dirawat secukupnya di loji rawatan air sisa sebelum dilepaskan ke sungai atau laut. 

Sepanjang sejarahnya, paradigma ini memang berjaya mencapai sebahagian matlamat terutama kesihatan awam. Kelebihannya ialah perkhidmatan standard dikendalikan agensi utiliti awam. Namun, paradigma ini banyak kelemahan khususnya tidak sesuai dalam konteks pembangunan pesat menerusi perbandaran dan perindustrian, sumber air mentah semakin tercemar dan model kewangan berorientasi subsidi. 
Realitinya, tidak banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat dan Jerman mampu membiayai sistem itu sepenuhnya. Malangnya setelah infrastruktur dan kemudahan awam itu diperkenalkan sejak 50 tahun lalu, lebih 90 peratus penduduk dunia masih tidak mendapatkan perkhidmatan air secukupnya. 

Atas kesedaran itu, paradigma ini dikaji semula sejak kira-kira lima tahun lalu. Rasionalnya, ketika diperkenalkan selepas Perang Dunia Kedua, penyediaan infrastruktur pengurusan air berpusat dapat disediakan dengan cepat, disubsidi hampir sepenuhnya dan memudahkan pengguna mendapat kemudahan awam. Ketika itu tumpuan penyediaan infrastruktur adalah keutamaan, khususnya di negara maju selepas rosak teruk bahana peperangan. Hal sama dituruti negara membangun. 

Pada hemat saya, antara komponen penting paradigma baru pengurusan air ialah tidak bergantung kepada sistem berpusat dari segi sistem dan kejuruteraan, modal kewangan rendah subsidi dan mempunyai ciri keselamatan serta kelestarian. Sistem berpusat berskala besar dalam sesebuah lembangan sungai atau bandaraya. Kesannya secara purata hampir 70 peratus kos pembinaan infrastruktur digunakan untuk penyediaan paip dan pembetung. 

Dengan kata lain, jika empangan tidak lagi dibina jauh di hulu, panjang paip dan pembetung dihadkan maka kos pembinaan akan berkurangan dengan ketara iaitu lebih 50 peratus. Selain itu, kos pembinaan infrastruktur lain boleh dikurangkan jika pengguna terbabit dalam merancang dan mengendalikan sendiri sebahagian sistem bekalan air dan pengurusan air sisa. 

Aspek keselamatan dan kelestarian air juga satu komponen paradigma baru untuk memastikan sumber dan bekalan air bersih dapat terus dibekalkan walaupun dalam keadaan cuaca melampau, darurat atau kegawatan politik. Inilah antara keperluan strategik memastikan sesebuah negara mempunyai daya tahan seperti kepentingan simpanan wang dan stok peluru dalam konteks percaturan antarabangsa. 

Sebagai nota kaki, sehingga ke hari ini, ketiga-tiga aspek itu tidak berpusat, rendah subsidi dan ciri keselamatan  masih belum dilaksanakan di Malaysia walaupun kesedaran mula meluas. 

Penulis ialah Naib Canselor di UTM dan ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan