Sabtu, 10 Disember 2011

KRONOLOGI gagalnya Mat Sabu menyaman akhbar Utusan

KATA orang, jika tidak puas hati saman saja orang itu!  Ya, inilah yang cuba dilakukan oleh Timbalan Presiden Pas Encik Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.  Pada akhir bulan ogos tahun 2011 ini, akhbar Utusan Malaysia menerbitkan dakwaan Mat Sabu mengenai peristiwa Bukit Kepong.  Beliau mendakwa Mat Indera yang menyertai serangan ke atas balai polis di Bukit kepong  itu adalah wira.  Sebagai ahli politik, Mat Sabu mendakwa laporan dalam akhbar itu tidak sebagaimana yang dirinya maksudkan.  Oleh itu beliau menyaman ketua Pengarang kumpulan akhbar Utusan Malaysia Datuk Abdul Aziz Ishak dan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.


Pada 14 September  Mat Sabu, selaku plaintif memfailkan saman tersebut  melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.  Seterusnya mahkamah menetapkan tarikh 3 November sebagai tarikh pengurusan kes berkenaan.

Abdul Aziz dan Utusan telah memfailkan permohonan melalui peguamnya  Datuk Mohd. Hafarizam Harun supaya saman yang dilakukan oleh Mat Sabu dibatalkan. Permohonan ini didengarkan di Mahkamah Tinggi pada 23 November 2011.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 6 Disember 2011 sebagai keputusan terhadap permohonan Abdul Aziz dan Utusan untuk membatalkan saman oleh Mat Sabu.  Dan pada tarikh tersebut Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pihak defenden iaitu Abdul Aziz dan Utusan membatalkan tuntutan saman oleh plantif Mat Sabu.

Hakim Datuk John Louis O’hara menyifatkan tuntutan Mohamad sebagai remeh, menyusahkan, melampau dan menyalah gunakan proses mahkamah, seterusnya menolak tuntutan saman Mat Sabu dengan kos RM5,000.  Menurutnya butiran yang dikeluarkan oleh plantif untuk membuat tuntutan saman tidak memenuhi Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dalam writ saman fitnah.

Kesimpulannya, bukan semua perkara yang kita tidak puas hati boleh diselesaikan di Mahkamah.  Dalam kes ini, Mat Sabu yang cuba menyalahkan akhbar Utusan   di mahkamah terpaksa pula membayar RM5000.00 sebagai kos mahkamah kerana tuntutan samannya ditolak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan