Selasa, 6 Disember 2011

TIRU saja karangan orang lain

SEORANG mantan pelajar saya lepasan STPM tidak berjaya memasuki IPTA, dan rezekinya menjadi kakitangan kerajaan sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah menengah.  Beberapa hari yang lalu (dalam musim cuti sekolah ini) saya bertemu dengannya.  Saya cadangkan kepadanya supaya menulis buku kerana tugasnya bukanlah padat dan berpeluh-peluh, tambahan pula jika musim cuti sekolah.  Katanya, “hendak menulis satu perenggan pun mengah!”

Mengarang bukanlah bakat sejak dalam rahim ibu.  Mengarang adalah kemahiran dan ada seninya tersendiri.  Kemahiran mengarang  boleh dicari, dipupuk dan dijadikan satu pekerjaan.  Cuba lihat di sekeliling kita, hari-hari ada surat khabar, majalah, buku-buku dan pelbagai media yang memaparkan tulisan.  Ada peguam yang berhenti menjadi ‘loyar’ kerana menjadi penulis sepenuh masa.  Ada banyak lagi doctor, jurutera, guru dan pemabuk pun menjadi penulis tanpa meninggalkan kerjayanya.  Maaflah saya sebut pemabuk sekali.  Pamabuk, jika tidak dalam zon mabuk, dia pun boleh menulis atau mengarang!

Di Malaysia, kemahiran mengarang sudah diajar sejak di Tahap Satu sekolah rendah.  Setiap pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mesti ada pelajaran mengarang.  Setiap tahap dan tingkatan sehingga Tingkatan Enam Atas mesti ada pelajaran mengarang.  Dengan panjangnya sejarah belajar mengarang, sepatutnya semua rakyat Malaysia boleh mengarang dalam mana-mana media. Hakikatnya, kebanyakan menjadi pembaca hasil karangan orang lain.

Mengarang ialah mencetak maklumat yang selama ini tersimpan dalam minda.  Maklumat yang terkumpul itu diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk pembacaan.  Kalau tidak gila membaca pun masih boleh mengarang, mencetak hasil pemerhatian dan pengalaman hidup.

Hasil karangan dalam Pengajian Am Kertas 2 ada standardnya tersendiri.  Secara umum, kedua-dua laras karangan itu masih sama dengan apa jenis karangan yang dipelajari sejak tahap satu dahulu.  Soalnya mengapa sebagian besar karangan pelajar masih tidak berjaya berada dalam statusnya sendiri: Level STPM!

Yang saya ajarkan kepada pelajar-pelajar saya ialah, tiru sebuah karangan!  Namun janganlah mendakwa karangan itu hasil minda kita pula.  Kita wajib meniru untuk mendapat hasil yang baik.  Maka tirulah sebuah karangan yang baik, orang kata ‘bulat-bulat’.  Saya teringat dahulu, tanpa pendidikan menulis cerpen dan teringin sangat menghasilkan cerpen maka saya meniru tulis sebuah cerpen orang lain.  Hari ini (syukur), mudah saya menulis cerpen.

Setelah meniru, kita wajib mengkajinya.  Kajian ini termasuk jumlah perkataan isi-isi serta pemerangganan.  Jika pelajar-pelajar sudah membuat kerja meniru ini sehingga tiga kali (termasuk mengkaji semua aspek karangan itu), mustahil pelajar itu masih mendakwa ‘bengap betul’ dalam membuat karangan.

Sebagai pelajar prauniversiti, membaca sepatutnya bukan sebagai hobi tetapi sebagai kerja.  Kerja membaca bermakna membaca bahan yang tepat dan menekuni maklumat yang diterima.  Kalau membaca masih gaya calon SPM, habislah…..

OK, bacalah kemudian menulislah.  Tukar pemikiran daripada bersahaja dalam pembacaan kepada kerja membaca dan menulis.  Insya Allah, tangan akan lancar menulis selama tiga jam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan