Rabu, 25 Mei 2011

FAHAMI istilah dalam setiap soalan

FAHAMILAH istilah yang sering digunakan dalam media untuk menggambarkan sesuatu.  Soalan-soalan dalam Pengajian Am juga tidak lari daripada menggunakan istilah-istilah popular berkenaan.  Oleh itu, sesiapa yang tidak dapat memberi maksud istilah-istilah berkenaan, jelas dia sering menjauhkan diri daripada meneliti isu utama dalam media.


Antara istilah yang sering digunakan dengan meluas ialah ‘media alternatif’, ‘kesan rumah hijau’, ‘tenaga’, ‘biodiversiti’, ‘teknologi hijau’, ‘pembangunan holistik’ (sekadar menyatakan beberapa istilah).

Kesan utama pada jawaban pelajar ialah sama ada jawaban itu tepat atau terseleweng.  Ambil contoh mengenai ‘media alternatif’ sebagai salah satu frasa ayat dalam soalan ini:   Media alternatif merupakan keperluan pada zaman kini, namun penggunaannya juga dikhuatiri  membawa kesan yang lain.  Bincangkan.

Perkataan media mungkin mudah difahami oleh pelajar, iaitu bermaksud alat sebaran am atau alat untuk menyampaikan maklumat.  Apabila disebut media, gambaran mudah ialah akhbar, majalah, televisyen dan radio.  Benar, semua itu adalah media.  Namun media itu kini disifatkan sebagai media tradisional kerana terdapat satu media baru yang ciri dan penggunaannya berbeda dengan media tradisional itu.

Media baru itu merupakan satu alternatif atau pilihan baru selain media tradisional.  Oleh itu jelaslah bahawa media alternatif yang dimaksudkan ialah internet.  Antara jenis media yang terdapat internet ialah blog, web, laman sosial facebook dan emel.  Pengguna internet masih perlu membaca tulisan, sama seperti membaca akhbar untuk mendapatkan maklumat. Namun pengguna internet boleh berinteraksi secara langsung dengan maklumat yang baru diterima.

Begitu juga dengan laman youtube yang memberi ruang pengguna melihat video yang pelbagai versinya.  Bukan sahaja pengguna internet boleh memberi respon terhadap video yang ditontonnya, malah pengguna biasa juga boleh menghantar video miliknya ke laman berkenaan demi dikongsi khalayak lain dari seluruh dunia! Kita tidak boleh menghantar video atau gambar dengan menggunakan televisyen!

Baik, bayangkan jika pelajar memberi maksud media alternatif sebagai kain-kain rentang yang banyak digantung di tepi-tepi jalan.  Oleh itu jawaban pelajar berkenaan ialah dua kebaikan  dan dua lagi keburukan kain rentang!  Memang kain rentang bukannya akhbar atau televisyen, tetapi kerana pelajar ini tidak mengikuti perkembangan isu dan maklumat akhirnya dia memberi jawaban yang  tidak relevan.

Jika pelajar mentakrif media alternatif sebagai  radio, TV, akhbar dan majalah (media tradisional), walaupun tidak semua jawabannya hanyut sebagai ‘tidak relevan’ namun dia pasti kehilangan banyak markah.  Bergantung kepada huraian setiap empat idea utamanya, mungkin masih ada huraian yang daripada kebaikan dan keburukan media tradisional itu yang bersesuaian dengan media alternatif.

Kesimpulannya, pelajar wajib mengetahui secara tepat sesuatu istilah supaya dapat menghasilkan jawaban yang mantap.  Biasalah pelajar tidak menyangka maksud sesuatu istilah, kemudian apabila diberikan maksudnya mudah pula dia membuat huraian yang mantap.

Rabu, 18 Mei 2011

MERAYU jangan dihukum mati

SESEORANG yang didakwa di bawah seksyen 322 Kanun Kesiksaan bermakna dia didakwa membunuh dan jika sabit kesalahan, hukumannya ialah gantung sampai mati.  Selalunya tertuduh akan didakwa di Mahkamah Sesyen.  Oleh kerana Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan kes bunuh, hakim akan memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi. 

Jika Mahkamah Tinggi mensabitkan kesalahan dan menjatuhi hukuman mati, pesalah boleh membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan.  Jika rayuan itu gagal, dia boleh membuat rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan.  Jika Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan hukuman mati itu, peluang terakhirnya hanya satu, iaitu merayu kepada Raja.  Dalam kes di bawah, pesalah boleh merayu kepada Baginda Sultan Selangor, Ketua Negeri di mana kes berkenaan berlaku.  Jika masih gagal dalam rayuan itu, dia akan dimaklumkan bila akan menjalani hukuman mati. (NMS)

Hukuman Mati Ke Atas Lelaki Bakar Isteri Kekal
PUTRAJAYA, 18 Mei 2011: Mahkamah Persekutuan di sini pada Rabu, mengekalkan sabitan dan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang membakar isteri, ibu mentua, abang dan adik iparnya pada malam Deepavali lapan tahun lalu.

Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Datuk Seri Md Raus Sharif dan Datuk Abdull Hamid Embong sebulat suara menolak rayuan akhir M. Balamurali selepas memutuskan bahawa tiada sebab untuk campur tangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Beliau berkata isu yang dibangkitkan peguam Balamurali, T.Vijayandran, telah dinilai oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Balamurali, 35, seorang penganggur didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Nov 2007 kerana membunuh isterinya M.Komathi, 25, dan adik iparnya K.Sareswathy, 24, yang hamil 14 minggu, di rumahnya di Lot 10352 Jalan Bunga Melor, Kampung Baru Hicom di sini, pukul 10 malam pada 6 November 2002.

Mahkamah Rayuan mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 November 2010.Komathi dan Sareswathy meninggal akibat kebakaran teruk manakala Balamurali, ibu mentuanya S. Mariamah dan abang iparnya, M.Sivarajah dirawat di hospital.  Sareswathy meninggal dunia pada 10 November 2002, empat hari selepas insiden itu manakala Komathi meninggal dunia pada 12 November 2002.

Balamurali didakwa menyimbah petrol ke atas isteri dan tiga yang lain sebelum membakar mereka selepas menuduh isterinya mempunyai hubungan sulit.

Pada hari kejadian itu, Mariamah memberi keterangan bahawa beliau nampak Komathi disimbah dengan petrol dan Balamurali cuba menyalakan api.  Dalam keterangannya, beliau, Komathi dan Sareswathy cuba menghalangnya (Balamurali) dari menyalakan api dengan memeluk Balamurali tetapi gagal.

Semasa membela diri, Balamurali mendakwa bahawa beliau mahu menamatkan nyawanya sendiri di hadapan isterinya.  Katanya beliau telah menyimbah dirinya dengan petrol dan memegang pemetik api di tangannya.  Balamurali mendakwa bahawa ketika hendak membakar dirinya, isteri, ibu mentua, abang dan adik iparnya cuba menghalangnya tetapi mereka disambar api.

Dia menafikan menyimbah petrol ke atas Komathi dan Sareswathy.

Dalam prosiding rayuan hari ini, Vijayandran (peguam bela tertuduh) memohon mahkamah agar mengurangkan dakwaan kepada membunuh tanpa niat.  Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berhujah bahawa Balamurali tahu dengan menghidupkan pemetik api, ia boleh membahayakan si mati yang telah disimbah dengan petrol. -BERNAMA

MENJAWAB Carta Alir Sistem


CARTA aliran di atas ialah Carta Aliran Bersistem (CAB). CAB memerlukan pelajar menjawab dari permulaan sehingga proses terakhir.  Mulakanlah jawaban dengan satu pengenalan yang ringkas, yang diubah suai daripada tajuk carta.  Saya mencadangkan pengenalan sebagai berikut:

( Carta aliran berkenaan ialah mengenai proses pembangunan dan perancangan alam sekitar. )

Pelajar wajib atau mesti memulakan penjelasannya dari kotak pertama di atas sekali, seterusnya ke kotak nombor dua dan kotak-kotak lain berdasarkan susunan.  Sila perhatikan anak-anak panah sebagai tanda urusan pada sistem berkenaan.  Akhir sekali hurai pelajar mesti berada di kotak paling bawah (pembangunan dilaksanakan).

Saya mencadangkan penjelasan pada kotak pertama sebagai berikut:

    ( Pada peringkat awal, langkah penting ialah membuat susunan organisasi dan sumber manusia.  Pada peringkat ini perkara yang terlibat ialah Keputusan dan nilai, Pakar, Kumpulan-kumpulan minat tertentu dan awam serta pentadbiran politik dan undang-undang awam. )

Untuk perenggan isi steterusnya, cadangan saya sebagai berikut, satu proses penggabungan maklumat peringkat kedua dan ketiga. Begitu juga untuk peringkat seterusnya.

     (Pada peringkat kedua ialah membentuk sistem susunan data dan sumber maklumat.  Antara perkara berkenaan ialah Keterangan Projek, sempadan-sempadan Kesan, Inventori Data dan Maklumat yang dibentuk semasa proses penilaian.)

     (Kesemua bahagian di atas akan melalui proses penilai.  Peringkat Penilaian ini terdiri daripada Skop Penilaian,  Kesan-kesan Penentuan,  Ramalan Kesan-kesan,  Interprestasi dan evaluasi kesan dan Kelonggaran serta Prosedur Komunikasi dan Persembahan Hasil-hasil.)

Pelajar tidak boleh memulakan penjelasan dari mana-mana bahagian.  Jika ada pelajar yang berbuat demikian, misalnya memulakan penjelasan dari kotak Penilaian Data, akibatnya seluruh jawaban dikategori sebagai Tidak Relevan (TR).  Jika keadaan ini berlaku markahnya hanya 1/15.

Tulislah satu kesimpulan yang ringkas.

(Kesimpulannya, proses pembangunan dan perancangan alam sekitar memerlukan perancangan yang teliti supaya tercapai matlamatnya.)

Selasa, 10 Mei 2011

INJUNKSI 41 keluarga terhadap DBKL ditolak mahkamah

INJUNKSI ialah perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah, yang dipohon oleh seseorang atau satu pihak untuk menghalang sesuatu yang tidak menyenangkannya daripada diteruskan.

INJUNKSI 41 keluarga terhadap DBKL ditolak
Oleh Salwa Sha’ari

KUALA LUMPUR, 10 Mei 2011: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, menolak permohonan injunksi yang dimohon oleh 41 keluarga di Ladang Bukit Jalil, dekat sini terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menghalang kerja-kerja meroboh rumah mereka sehingga penyelesaian penuh saman.

Hakim Datin Zabariah MOhd Yusof seterusnya menetapkan 17 dan 18 Oktober depan sebagai tarikh pendengaran saman itu dan mengarahkan supaya dokumen yang berkaitan dimasukkan sebelum 20 September depan.  Pada prosiding itu, semua 41 keluarga tersebut diwakili oleh peguam Datuk S. Ambiga.

Galeri awam mahkamah juga dipenuhi oleh penduduk ladang tersebut dan ada dikalangan mereka yang memakai t-shirt kuning tertera perkataan sokongan kepada ladang berkenaan.
Pada 14 Mac lalu, S. Veerasingam dan 40 lagi plaintif yang merupakan bekas pekerja estet memfailkan saman untuk menuntut bahawa mereka mempunyai hak eksklusif dan ekuiti terhadap tanah seluas kira-kira 4 ekar itu bagi menghalang Datuk Bandar Kuala Lumpur daripada menceroboh rumah mereka.

Plaintif mendakwa mereka menerima notis pengusiran bertarikh 1 Mac lalu daripada Datuk Bandar yang mengarahkan supaya mereka mengosongkan rumah masing-masing sebelum atau pada 14 Mac lalu.

Sementara itu, Ambiga yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihaknya akan memfailkan notis rayuan selewat-lewatnya pada Rabu, bersama dengan permohonan injunksi sementara untuk menghalang kerja-kerja pencerobohan sehingga kes diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

"Kita tidak mahu plaintif tidak berumah dan berharap supaya kerja-kerja merobohkan rumah-rumah plaintif tidak dijalankan sehingga pendengaran penuh saman, " katanya.

Isnin, 9 Mei 2011

PENDAFTARAN pelajar Prauniversiti T6 Rendah

HARI ini pelajar-pelajar baru Tingkatan Enam Rendah mendaftar untuk memulakan sesi persekolahan peringkat Prauniversiti di SMK Bagan Terap, Sabak Bernam Selangor.  Tingkatan Enam bukanlah dalam pemelajaran Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM), tetapi satu entiti pendidikan yang terasing daripada KBSM.  Segala pengurusan dan sistem pemelajaran mereka berubah, dan tidak boleh dinilai berdasarkan KBSM! 

Mereka diwajibkan mengambil Kertas Pengajian Am sama ada mereka daripada aliran sains atau sastera ikhtisas.  Syarat kemasukan calon ke IPTA dengan menggunakan STPM pula memerlukan calon itu memiliki sekurang-kurangnya Prinsipal C dalam Pengajian Am.  Hal ini bermakna, jika tiga atau empat subjek lain mendapat prinsipal yang baik atau terbaik pun jika Pengajian Am mereka hanya mendapat C- atau ke bawah, mereka tidak layak memasuki IPTA.

Skop Pengajian Am pula luas termasuklah hal ehwal dalam dan luar negara.  Oleh itu para pelajar dinasihatkan supaya bersedia untuk menempuh kaedah pemelajaran baru untuk memperoleh maklumat yang matang sesuai dengan taraf kedudukan mereka yang berstatus Prauniversiti.  Pelajar tidak dikongkong dengan aliran pemahaman politik, agama atau apa juga.  Dalam dunia akademik, perbincangan dilakukan dengan jujur dan berdasarkan dalil atau hujahan.  Pengajian Am akan menjadikan pelajar-pelajar meneroka pengajian ilmu yang terbuka, luas termasuk hal yang sensitif kepada norma masyarakat dan undang-undang.

Selamat berjuang!

Ahad, 8 Mei 2011

MALAYSIA tawar jadi tuan rumah ASEMME 2013

2011/05/08
COPENHAGEN: Malaysia menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Persidangan Menteri-Menteri Pelajaran Asia-Eropah (ASEMME) pada 2013, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata, Malaysia sudah menyampaikan hasrat untuk mengadakan persidangan itu di Kuala Lumpur ketika mesyuarat persiapan ASEMME pada Januari.  "Status tawaran Malaysia itu akan diketahui pada persidangan ASEMME kali ini yang berlangsung di ibu negara Denmark, katanya kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan penuntut di Denmark.


Khaled berada di sini bagi menghadiri ASEMME kali ketiga itu. ASEMME yang menghimpunkan pembuat dasar dan keputusan dalam bidang pendidikan dari Asia dan Eropah, diadakan dua tahun sekali. 

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dijadualkan tiba di Copenhagen hari ini, akan berucap pada sesi plenari ASEMME ketiga itu eok. 

Mohamed Khaled berkata, antara perkara yang akan dibincangkan pada ASEMME yang berlangsung di Axelborg Hall itu adalah mengenai jaminan kualiti dan pengiktiran pengajian tinggi di Asia dan Eropah, soal penglibatan industri dan akademia, soal mengimbangi mobiliti pelajar dan pembelajaran sepanjang hayat. 

Katanya, perkara yang bakal dibincangkan pada persidangan itu adalah isu yang sentiasa diberi perhatian oleh Malaysia. 
"Ia adalah perkara yang tidak boleh dielak dalam pengajian tinggi terutama dalam dunia berasaskan pengetahuan dan terutamanya apabila negara yang beralih kepada ekonomi berasaskan inovasi," katanya. 

Mohamed Khaled juga berkata, penyertaan Malaysia ke ASEMME itu memberi peluang kepada negara untuk melihat kepakaran Eropah dan berkongsi pengalaman dan pendekatan mereka untuk dimanfaatkan serta menjalin kerjasama. 

"Dalam zaman pengetahuan, kita bukan sahaja bersaing tapi kita juga bekerjasama. Kita kenal pasti kepakaran, kekuatan sesuatu negara. Asas daripada itu kita bekerjasama. Pokoknya dalam zaman ilmu, macam mana kita boleh dapat ilmu dari sesebuah negara dan universiti, bagaimana kita dapat kongsi pengalaman itu untuk dimanfaatkan," katanya. - BERNAMA 

PERTUKARAN suaka politik Malaysia-Australia

SUAKA politik ialah perlindungan politik.  Sebagai contoh, seseorang rakyat negara China yang berfikiran demokrasi merasa tidak selamat untuk terus tinggal di China yang mengamalkan sistem komunis. Oleh itu beliau telah melarikan diri ke sebuah negara yang difikirkan selamat.  Orang seperti ini mencari perlindungan politik atau suaka politik.  Pendirian sesebuah negara seperti Malaysia mengenai suaka politik juga merupakan salah satu elemen dalam Dasar Luar Negara.



MELBOURNE 8 Mei c— Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Canberra memberi jaminan kepada Australia bahawa pemohon suaka yang dipindahkan ke Malaysia akan dilayan dengan penuh perikemanusiaan dan bermaruah.  Datuk Salman Ahmad memberitahu Sky TV pada Ahad bahawa, pemohon suaka yang dihantar ke Malaysia akan diberi kebebasan bergaul dengan masyarakat sementara menuggu permohonan mereka diproses.

"Mereka tidak akan ditempatkan di mana-mana pusat tahanan,” katanya.  Salman membayangkan bahawa cadangan pertukaran pemohon suaka antara Malaysia dan Australia itu mungkin dilaksanakan sekali sahaja dan butiran terperinci mengenainya akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Katanya, Kuala Lumpur mengalu-alukan komitmen Australia untuk mengambil lebih banyak pelarian di Malaysia yang keseluruhannya berjumlah lebih kurang 94,000 orang.

Di bawah persetujuan sedia ada, Malaysia akan mengambil 800 orang yang cuba pergi ke Australia manakala Australia pula bersetuju mengambil 4,000 pelarian yang berada di Malaysia. — Bernama