Jumaat, 19 Ogos 2011

AKIBAT mendagangkan manusia


16 warganegara China disyaki terlibat aktiviti seludup manusia ditahan 

KUALA LUMPUR - Seramai 16 warganegara China ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan manusia dalam satu operasi serentak di ibu negara dan Johor Baharu pada 6 Ogos lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata 11 daripada mereka telah diserahkan kepada pihak berkuasa China untuk tindakan selanjutnya semalam.

Sementara tiga lagi yang mendakwa memegang kad Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) tetapi memiliki pasport palsu dan kad pengenalan palsu Malaysia sedang disiasat di bawah Akta Imigresen dan Akta Pendaftaran, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

"Manakala dua lagi warga China yang memegang kad UNHCR juga sedang disiasat di bawah Akta Imigresen," katanya dan menambah, kesemua mereka dikesan menjadikan negara ini sebagai transit sebelum berlepas ke negara ketiga.

Katanya mereka ini dikesan bergerak aktif di negara China, Thailand dan Malaysia sejak 2009.

"Siasatan mengesahkan peranan anggota sindiket ini dalam membawa masuk warga China ke Thailand sebelum menyusup masuk ke negara ini untuk mendapatkan dokumen palsu dan berlepas ke negara ketiga," katanya.

Khalid berkata antara barangan yang dirampas adalah 10 pasport palsu, iaitu tujuh pasport Turki dan tiga pasport Malaysia, tiga kad pengenalan palsu Malaysia serta wang tunai pelbagai negara berjumlah RM268,523.

"Siasatan juga mendapati anggota-anggota sindiket ini yang berjaya menyusup masuk ke negara ini akan mendapatkan status pelarian politik dari UNHCR bagi menjustikfikasikan kehadiran mereka di negara ini.

"Peluang ini akan digunakan untuk menjadikan negara ini sebagai pangkalan operasi mereka," katanya.

Beliau berkata tindakan tegas perlu diambil bagi memberi mesej kepada sindiket penyeludupan manusia bahawa Malaysia bukanlah tempat untuk menjalankan aktiviti ini, serta memastikan negara ini tidak terus dijadikan pusat aktiviti tersebut pada masa hadapan. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan