Selasa, 9 Ogos 2011

BANGUNKAN kawasan pelancongan kuasa Kerajaan Tempatan


MEMBANGUNKAN kawasan rekreasi sebagai kawasan pelancongan dalam sesuatu daerah merupakan bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Perbandaran atau Dewan Bandar Raya.  PBT sebagai pentadbir kawasan berkenaan boleh mengenakan apa juga bayaran terhadap pengunjung.  Berita di bawah sebagaian bidang kuasa Majlis Perbandaran Selayang di Selangor.
KAWASAN bernilai RM450,000 terbiar
SELAYANG: Pelaburan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebanyak RM450,000 untuk membangunkan kawasan rekreasi Hutan Lipur Bukit Lagong, dekat sini, ibarat melepas batuk di tangga apabila kawasan itu terbiar tanpa penyelenggaraan berterusan.
Tinjauan Metroplus di kawasan itu baru-baru ini, mendapati sampah-sarap memenuhi tong sampah tanpa kerja pembersihan dilakukan pihak berkenaan selain kemudahan seperti tandas dan bilik persalinan yang kotor dan rosak.
Pengunjung, Serimah Mahdi, 37, berkata keadaan itu amat mengecewakan kerana ramai orang berkunjung ke kawasan berkenaan untuk berkelah sambil menikmati pemandangan hijau di situ.
“Kawasan rekreasi ini tidak terurus selain kotor dengan sampah-sarap. Ia berbeza ketika saya kecil kerana di sini kami sekeluarga menghabiskan masa hujung minggu kerana ia berhampiran rumah.
“Lebih menyedihkan apabila kawasan yang dulunya terkenal sebagai tempat berkelah yang popular di Selayang dan Kuala Lumpur kini kotor dan tidak lagi indah,” katanya.
Berdasarkan maklumat laman web rasmi MPS, Hutan Lipur Bukit Lagong berpotensi menjadi kawasan pelancongan berasaskan eko-pelancongan yang menarik. Pelaburan RM450,000 dilakukan bagi membolehkan MPS menyediakan beberapa kemudahan termasuk wakaf, gerai buah, tandas, dua jambatan dan bilik persalinan.
Ternyata keselesaan yang ingin diberikan tidak seperti digambarkan apabila kawasan rekreasi terbabit sudah lama tidak diselenggara terutama tandas dan bilik persalinan. Tinjauan mendapati tandas dan bilik persalinan kotor selain peralatan rosak dan tidak boleh digunakan, sekali gus mencacatkan imej kawasan rekreasi hutan lipur itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan