Selasa, 9 Ogos 2011

KERTAS 1: Undang-undang Islam di Selangor


HAL-ehwal Islam merupakan bidang kuasa kerajaan-kerajaan negeri dalam Persekutuan Malaysia.  Oleh itu Dewan Undang Negeri boleh menggubal undang-undang atau enakmen yang berkaitan dengan agama Islam asalkan tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.  Isu yang tercetus di negeri Selangor berkaitan dengan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap sebuah gereja.  Antara perkara yang dinyatakan sebagai jenayah dalam undang-undang Islam ialah berzina, bersekedudukan, tidak solat Jumaat dan murtad. Berita di bawah berkaitan dengan peristiwa berkenaan dan disorot berdasarkan enakmen yang ada di Selangor.

JAIS: Waran Kehadiran Kepada 12 Individu Islam
Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PETALING JAYA: 12 individu beragama Islam yang hadir pada majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama di sini Rabu lalu akan dikenakan waran kehadiran ekoran kegagalan mereka tampil membantu siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan kes berkenaan.  Menurut Penolong Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JAIS, Sharom Maarof, waran tersebut akan dikeluarkan dalam masa terdekat selepas pihaknya membuat permohonan daripada Mahkamah Syariah.

“Setakat ini, kita telah serahkan surat dan menelefon mereka supaya hadir dan beri keterangan kepada JAIS.

“Bagaimanapun sehingga kini tidak ada seorang pun daripada 12 individu tersebut hadir. Kami difahamkan mereka telah dinasihatkan oleh peguam masing-masing supaya tidak hadir memberi keterangan,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi pada Selasa.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini siasatan terhadap 12 individu Islam yang hadir pada majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama minggu lalu.

Mengulas lanjut, Sharom berkata, pihaknya akan tetap memberikan masa kepada individu terbabit untuk hadir dan beri keterangan sebelum waran kehadiran daripada mahkamah dikeluarkan.
"Sepatutnya mereka hadir untuk beri keterangan bermula hari ini. Namun tidak ada seorang pun hadir ke JAIS," katanya.

Rabu lalu, penguat kuasa JAIS menyerbu Gereja Methodist Damansara Utama selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.  Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam.

Berpandukan kepada siasatan awal mereka yang terbabit boleh didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995. Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.  Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan