Ahad, 18 Disember 2011

TRIBUNAL TUNTUTAN PENGGUNA

Latar Belakang Tribunal
1.    Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) adalah satu badan yang telah  ditubuhkan di bawah Seksyen 85, Bahagian XII Akta Pelindungan Pengguna 1999 yang mula berkuatkuasa pada 15 November 1999
2.    Bahagian XII Akta mengandungi 38 Seksyen yang menyentuh tentang berbagai aspek Tribunal seperti keanggotaan Tribunal, bidangkuasa Tribunal, prosiding Tribunal, award-award Tribunal dan sebagainya.
Objektif Tribunal
1.    Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia adalah merupakan sebuah badan bebas untuk mendengar dan mengadili tuntutan-tuntutan pengguna yang dibuat di bawah Akta dan tertakluk kepada peruntukan Akta Pelindungan Pengguna 1999
2.    Sebelum penubuhan Tribunal ini, segala tuntutan gantirugi oleh seorang pengguna terhadap seorang pembekal atau pengilang terpaksa dibawa ke Mahkamah Sivil di mana ia melibatkan prosedur yang rumit, kos yang tinggi dan mengambil masa yang panjang untuk diselesaikan. Ini adalah antara sebab-sebab mengapa pengguna tidak berminat untuk membuat tuntutan di Mahkamah terhadap pembekal atau pengilang yang tidak bertanggungjawab terutamanya jika sekiranya amaun yang dituntut adalah kecil, walaupun pada masa ini sudah adanya Mahkamah Tuntutan Kecil di setiap negeri untuk mendengar tuntutan-tuntutan yang tidak melebihi RM5,000.00.
3.    Memahami hakikat ini, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia telah ditubuhkan bagi menyediakan satu saluran atau kemudahan alternatif kepada seorang pengguna untuk menuntut gantirugi dan pampasan daripada seorang pembekal atau pengilang dengan cara mudah, murah dan cepat.
KEANGGOTAAN TRIBUNAL
Seksyen 86 Akta memperuntukkan bahawa Tribunal hendaklah dianggotai oleh seorang pengerusi dan seorang Timbalan Pengerusi (terdiri daripada pegawai-pegawai daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan) dan tidak kurang daripada 5 orang anggota Tribunal yang lain dilantik oleh Menteri
BIDANG KUASA TRIBUNAL

Tribunal mempunyai bidang kuasa mendengar :
a) apa-apa tuntutan mengenai apa-apa perkara yang ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar seperti diperuntukkan di bawah Akta;
b) di mana jumlah amaun yang dituntut tidak melebihi RM25,000.00;
c) apa-apa perkara lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui perintah yang disiarkan dalam Warta.

Bidang kuasa Tribunal hendaklah dilaksanakan oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan mana-mana anggota yang dipilih oleh Pengerusi yang akan bersidang sendirian.

BATASAN BIDANG KUASA

Tribunal tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar apa-apa tuntutan :-
a) yang berbangkit daripada kecederaan diri atau kematian;
b) bagi mendapatkan kembali tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah;
c) yang mempersoalkan hakmilik-hakmilik tanah atau apa-apa estet atau kepentingan mengenai tanah, atau apa-apa francais; dan
d) yang mengandungi pertikaian mengenai -

i. hak di bawah satu wasiat atau peruntukan, atau disebabkan kematian tak berwasiat;
ii. nama baik (good will)
iii. apa-apa hak dalam tindakan;
iv. rahsia perdagangan atau harta intelek lain.
e) apabila mana-mana tribunal telah ditubuhkan melalui mana-mana undang-undang bertulis lain untuk mendengar dan memutuskan tuntutan-tuntutan tentang perkara yang menjadi hal perkara tuntutan itu.

Bidang kuasa Tribunal hendaklah terhad kepada suatu tuntutan yang berasaskan pada suatu kuasa tindakan yang terakru dalam masa tiga tahun dari tuntutan itu. 
JENIS TUNTUTAN YANG BOLEH DIKEMUKAKAN KE TRIBUNAL

Mana-mana pengguna boleh memfailkan tuntutan di Tribunal menuntut gantirugi bagi kerugian yang ditanggung berhubung apa-apa perkara yang melibatkan kepentingan beliau sebagai pengguna di bawah akta yang berbangkit daripada :-
a. Perlakuan mengelirukan dan memperdaya, representasi palsu dan amalan tak saksama, iaitu :-
i. perlakuan mengelirukan dan memperdaya berkaitan dengan jenis, proses pengilangan, kesesuaian, kualiti dan kuantiti; 

ii. gambaran yang mengelirukan mengenai harga; 

iii. tawaran pemberian, hadiah atau benda percuma lain dengan niat untuk tidak mengadakannya; 

iv. tuntutan-tuntutan lain yang mengelirukan seperti - 
    1) selagi stok masih ada; 
    2) barang-barang adalah terhad; dan sebagainya.
v. menerima bayaran tanpa niat untuk membekalkan barang atau perkhidmatan; 

vi. kontrak perkhidmatan hadapan bagi perkhidmatan yang akan diadakan atas dasar berterusan.
 
b. Keselamatan barang dan perkhidmatan
i. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa barang atau kelas barang; 

ii. standard keselamatan berkaitan dengan apa-apa perkhidmatan atau kelas perkhidmatan.
 
c. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai hakmilik; 

ii. mengenai kualiti boleh terima; 

iii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu; 

iv. bahawa barang mematuhi perihal; 

v. bahawa barang mematuhi sampel; 

vi. mengenai harga munasabah; 

vii. mengenai pembaikan dan barang ganti.
 
d. Hak terhadap pembekal berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekal perkhidmatan :-
i. mengenai ketelitian dan kemahiran munasabah; 

ii. mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu; 

iii. mengenai masa siap munasabah; 

iv. mengenai harga munasabah.
 
e. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti nyata berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai kualiti prestasi atau ciri-ciri barang; 

ii. mengenai pemberian perkhidmatan yang diperlukan;

iii. mengenai kebolehdapatan barang yang serupa pada masa hadapan;

iv. mengenai pemulangan wang atau balasan sekiranya barang tidak memenuhi apa-apa akujanji oleh penggerenti.

f. Hak terhadap pengilang berkenaan dengan gerenti tersirat berkaitan dengan pembekalan barang-barang :-
i. mengenai kualiti yang boleh diterima; 

ii. bahawa barang mematuhi; 

iii. mengenai pembaikan dan barang ganti.

Untuk tujuan perenggan-perenggan di atas, perkataan 'barang' ertinya barang yang terutamanya dibeli atau digunakan bagi maksud diri, rumah tangga atau isi rumah, dan termasuklah :-
a. barang yang dipasang pada, atau digabungkan dalam, apa-apa harta tak alih atau harta alih;
b. haiwan, termasuk ikan;
c. vesel atau kenderaan;
d. kemudahan; dan
e. pokok, tumbuh-tumbuhan dan tanaman sama ada atau tidak di atas, di bawah atau terlekat pada tanah, tetapi tidaklah termasuk hak dalam tindakan, termasuk surat cara niaga, syer, debentur dan wang.

Perkataan 'pengguna' ertinya seorang yang :-
a) memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan daripada jenis yang pada lazimnya diperoleh bagi maksud, kegunaan atau penggunaan diri, rumah tangga atau isi rumah; dan
b) tidak memperoleh atau menggunakan barang atau perkhidmatan itu, terutamanya bagi maksud :-
i. membekalkannya semula secara perdagangan; 
ii. menggunakannya dalam perjalanan suatu proses pengilangan; 
iii. dalam hal barang, membaiki atau mengolah, secara perdagangan, barang lain atau lekapan pada tanah.

Perkataan 'perkhidmatan' termasuklah apa-apa hak, faedah, keistimewaan atau kemudahan yang atau yang akan, diberikan atau dianugerahkan di bawah apa-apa kontrak tetapi tidaklah termasuk :-
a) hak, faedah atau keistimewaan dalam bentuk pembekalan barang atau pelaksanaan kerja di bawah suatu perkhidmatan; atau
b) apa-apa perkhidmatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh ahli professional yang dikawal selia oleh mana-mana undang-undang bertulis (seperti doktor, peguam atau arkitek);atau
c) perkhidmatan jagaan kesihatan yang dibekalkan atau akan dibekalkan oleh professional jagaan kesihatan atau oleh kemudahan jagaan kesihatan (seperti perkhidmatan perubatan, pergigian, kejururawatan, perbidanan, farmasi dan ambulans).

Sabtu, 10 Disember 2011

KRONOLOGI gagalnya Mat Sabu menyaman akhbar Utusan

KATA orang, jika tidak puas hati saman saja orang itu!  Ya, inilah yang cuba dilakukan oleh Timbalan Presiden Pas Encik Mohamad bin Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.  Pada akhir bulan ogos tahun 2011 ini, akhbar Utusan Malaysia menerbitkan dakwaan Mat Sabu mengenai peristiwa Bukit Kepong.  Beliau mendakwa Mat Indera yang menyertai serangan ke atas balai polis di Bukit kepong  itu adalah wira.  Sebagai ahli politik, Mat Sabu mendakwa laporan dalam akhbar itu tidak sebagaimana yang dirinya maksudkan.  Oleh itu beliau menyaman ketua Pengarang kumpulan akhbar Utusan Malaysia Datuk Abdul Aziz Ishak dan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.


Pada 14 September  Mat Sabu, selaku plaintif memfailkan saman tersebut  melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.  Seterusnya mahkamah menetapkan tarikh 3 November sebagai tarikh pengurusan kes berkenaan.

Abdul Aziz dan Utusan telah memfailkan permohonan melalui peguamnya  Datuk Mohd. Hafarizam Harun supaya saman yang dilakukan oleh Mat Sabu dibatalkan. Permohonan ini didengarkan di Mahkamah Tinggi pada 23 November 2011.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 6 Disember 2011 sebagai keputusan terhadap permohonan Abdul Aziz dan Utusan untuk membatalkan saman oleh Mat Sabu.  Dan pada tarikh tersebut Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pihak defenden iaitu Abdul Aziz dan Utusan membatalkan tuntutan saman oleh plantif Mat Sabu.

Hakim Datuk John Louis O’hara menyifatkan tuntutan Mohamad sebagai remeh, menyusahkan, melampau dan menyalah gunakan proses mahkamah, seterusnya menolak tuntutan saman Mat Sabu dengan kos RM5,000.  Menurutnya butiran yang dikeluarkan oleh plantif untuk membuat tuntutan saman tidak memenuhi Aturan 78 Kaedah 2 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 dalam writ saman fitnah.

Kesimpulannya, bukan semua perkara yang kita tidak puas hati boleh diselesaikan di Mahkamah.  Dalam kes ini, Mat Sabu yang cuba menyalahkan akhbar Utusan   di mahkamah terpaksa pula membayar RM5000.00 sebagai kos mahkamah kerana tuntutan samannya ditolak.

MALANGNYA nasib burung wak-wak

KASIHAN unggas hutan yang seolah-olah haiwan bersalah, sentiasa dalam kecemasan dan bila-bila sahaja akan  ‘dihukum mati’  oleh manusia yang mendakwa bertamadun.  Di desa atau kawasan pinggir hutan, ada manusia yang mengambil kesempatan terhadap haiwan yang memang sudah cemas kerana ‘kampung halamannya’ semakin kecil.  Sebenarnya manusia ini bukan kelaparan kerana kerajaan Malaysia telah mempelbagaikan program ekonomi, menyebabkan kadar kemiskinan yang membawa kebuluran langsung tidak ada.  Tetapi ada manusia yang sepatutnya bersyukur kerana tidak kebuluran, tidak perlu lagi memburu haiwan liar yang memang sudah cemas kerana masalah habitatnya.


Bayangkan, mereka bukan lagi sekadar menahan jerat yang mungkin mendapat satu atau dua ekor burung punai atau ayam hutan.  Mereka kreatif bersama teknologi, menggunakan rakaman suara burung untuk memanggil sebanyak mungkin unggas liar berkenaan.  Sesiapa yang sayangkan hidupan liar pasti sebab di dada apabila sekali mereka pergi ‘memerangkap’ burung wak-wak, jumlahnya sehingga 20 ekor.  Mereka akan pergi lagi ke beberapa kawasan lain untuk menangkap jumlah yang sama atau lebih besar.  Yang menambah sebak ialah daalm suatu kawasan, bukan hanya seorang yang ‘laparkan’ daging burung berkenaan, malah ada beberapa orang lain.


Ingatlah, negara kita ada undang-undang iaitu Akta Peliharaan  Hidupan Liar 1972. Sila klik http://www.pet-cockatiel.com/act.html untuk membaca akta berkenaan.  Namun akta sahaja tidak berguna apabila manusia tidak menghormati undang-undang dan makhluk Allah yang lain.  Allah sudah memberikan ‘al-An’am’ iaitu haiwan ternak sebagai keperluan makanan, namun ada manusia yang inteleknya tinggi masih memburu haiwan yang Allah jadikan dengan fungsi masing-masing dalam sistem ekologi.

Kasihan burung-burung hutan yang selama ini menjadikan alam tersusun dalam jadual dan indah pada pandangan mata.  Di hadapan mata kita satu persatu burung ini akan pupus…

Selasa, 6 Disember 2011

TIRU saja karangan orang lain

SEORANG mantan pelajar saya lepasan STPM tidak berjaya memasuki IPTA, dan rezekinya menjadi kakitangan kerajaan sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah menengah.  Beberapa hari yang lalu (dalam musim cuti sekolah ini) saya bertemu dengannya.  Saya cadangkan kepadanya supaya menulis buku kerana tugasnya bukanlah padat dan berpeluh-peluh, tambahan pula jika musim cuti sekolah.  Katanya, “hendak menulis satu perenggan pun mengah!”

Mengarang bukanlah bakat sejak dalam rahim ibu.  Mengarang adalah kemahiran dan ada seninya tersendiri.  Kemahiran mengarang  boleh dicari, dipupuk dan dijadikan satu pekerjaan.  Cuba lihat di sekeliling kita, hari-hari ada surat khabar, majalah, buku-buku dan pelbagai media yang memaparkan tulisan.  Ada peguam yang berhenti menjadi ‘loyar’ kerana menjadi penulis sepenuh masa.  Ada banyak lagi doctor, jurutera, guru dan pemabuk pun menjadi penulis tanpa meninggalkan kerjayanya.  Maaflah saya sebut pemabuk sekali.  Pamabuk, jika tidak dalam zon mabuk, dia pun boleh menulis atau mengarang!

Di Malaysia, kemahiran mengarang sudah diajar sejak di Tahap Satu sekolah rendah.  Setiap pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris mesti ada pelajaran mengarang.  Setiap tahap dan tingkatan sehingga Tingkatan Enam Atas mesti ada pelajaran mengarang.  Dengan panjangnya sejarah belajar mengarang, sepatutnya semua rakyat Malaysia boleh mengarang dalam mana-mana media. Hakikatnya, kebanyakan menjadi pembaca hasil karangan orang lain.

Mengarang ialah mencetak maklumat yang selama ini tersimpan dalam minda.  Maklumat yang terkumpul itu diperolehi daripada pelbagai sumber termasuk pembacaan.  Kalau tidak gila membaca pun masih boleh mengarang, mencetak hasil pemerhatian dan pengalaman hidup.

Hasil karangan dalam Pengajian Am Kertas 2 ada standardnya tersendiri.  Secara umum, kedua-dua laras karangan itu masih sama dengan apa jenis karangan yang dipelajari sejak tahap satu dahulu.  Soalnya mengapa sebagian besar karangan pelajar masih tidak berjaya berada dalam statusnya sendiri: Level STPM!

Yang saya ajarkan kepada pelajar-pelajar saya ialah, tiru sebuah karangan!  Namun janganlah mendakwa karangan itu hasil minda kita pula.  Kita wajib meniru untuk mendapat hasil yang baik.  Maka tirulah sebuah karangan yang baik, orang kata ‘bulat-bulat’.  Saya teringat dahulu, tanpa pendidikan menulis cerpen dan teringin sangat menghasilkan cerpen maka saya meniru tulis sebuah cerpen orang lain.  Hari ini (syukur), mudah saya menulis cerpen.

Setelah meniru, kita wajib mengkajinya.  Kajian ini termasuk jumlah perkataan isi-isi serta pemerangganan.  Jika pelajar-pelajar sudah membuat kerja meniru ini sehingga tiga kali (termasuk mengkaji semua aspek karangan itu), mustahil pelajar itu masih mendakwa ‘bengap betul’ dalam membuat karangan.

Sebagai pelajar prauniversiti, membaca sepatutnya bukan sebagai hobi tetapi sebagai kerja.  Kerja membaca bermakna membaca bahan yang tepat dan menekuni maklumat yang diterima.  Kalau membaca masih gaya calon SPM, habislah…..

OK, bacalah kemudian menulislah.  Tukar pemikiran daripada bersahaja dalam pembacaan kepada kerja membaca dan menulis.  Insya Allah, tangan akan lancar menulis selama tiga jam!

Khamis, 20 Oktober 2011

MENGAPA anda di Tingkatan Enam?

MASUK Tingkatan Enam dan ambil STPM atau belajar di kolej?  Persoalan ini bukan sahaja perlu dijawab oleh pelajar-pelajar Tingkatan Lima sekarang, malah oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam juga untuk mengukuhkan pendiriannya berada di Tingkatan Enam.  Inilah jawaban mengapa anda berada di Tingkatan Enam dan akan menduduki STPM!

Pertama: Masa pengajian yang singkat iaitu selama 18 bulan atau setahun setengah.  Anda masuk Tingkatan Enam pada bulan Mei tahun semasa dan akan berakhir pada bulan Disember tahun hadapannya.  Jika anda masuk kolej, anda memerlukan masa selama tiga tahun untuk mendapatkan diploma yang sama taraf dengan STPM.

Kedua: Kos yang sangat rendah berbanding belajar di kolej.  Tanpa yuran persekolahan dan peperiksaan, anda belajar secara percuma di Tingkatan Enam. Malah hak mendapat boucer RM200 pada tahun 2012 turut dinikmati oleh pelajar-pelajar Tingkatan Enam sama seperti rakan-rakan mereka yang menuntut di IPTA atau kolej swasta. Pelajar Tingkatan Enam juga berpeluang mendapat biasiswa prauniversiti RM90.00 atau RM110.00 sebulan daripada kerajaan.

Ketiga:  Dalam jagaan keluarga!  Semua pelajar Tingkatan Enam menikmati kasih sayang berterusan ahli keluarga kerana tidak perlu berpisah jauh daripada ibu bapa.  Sekalipun ada yang tinggal di asrama, sekolah mereka tidaklah jauh dari rumah.  Berbanding dengan pelajar di kolej yang terpaksa menyewa rumah dan menghadapi masalah pengangkutan ke kolej, pelajar Tingkatan Enam boleh melupakan masalah berkenaan.  Seperti masih di sekolah rendah, ibu tidak cerewet menyediakan masakan tengah hari kepada pelajar Tingkatan Enam.

Keempat: sijil yang laku!  Wow, cuba bandingkan sijil STPM dengan sijil matrikulasi?  Ya, sekarang ada isu lebih 12 ribu pemegang sijil matrikulasi yang tidak mendapat tempat ke IPTA, namun bolehkah sijil mereka digunakan untuk memohon pekerjaan? Jawabnya tidak, sebaliknya sijil STPM tetap laku dalam pasaran kerja dalam dan luar negara.  Malah pemegang STPM boleh melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana sijil ini diiktiraf oleh negara-negara asing.

Pengalaman maklumat saya, ada ibu bapa yang melarang anaknya memilih mana-mana kolej walaupun keputusan peperiksaanya sangat cemerlang.  Mereka sudah membaca adanya peluang dan kemudahan sepanjang anaknya berada di Tingkatan Enam berbanding menghantar anaknya belajar di kolej yang jauh itu. Peluang ke university tetap terbuka luas kepada pelajar-pelajar Tingkatan Enam.

Jangan timbulkan isu remeh-temeh seperti berpakaian seragam dan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit, sedangkan kebaikan-kebaikan lain sangat besar.

Rabu, 14 September 2011

AWASI setiap perkataan dalam soalan karangan


SEMUA guru berpesan supaya meneliti setiap perkataan dalam soalan peperiksaan.  Setiap perkataan pula membawa maksud tertentu, dan pastinya membawa jawaban yang berbeda.  Cuba perhatikan contoh dua soalan di bawah yang yang dibedakan dengan satu sahaja perkataan.

Soalan 1
Salah satu kesan aktiviti pemerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia.  Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut.  Bincangkan.

Soalan 2
Satu kesan aktiviti permerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut.  Bincangkan.

Jawaban soalan 1 merangkumi
Kesan-kesan
1.       Mencemarkan imej negara di mata dunia.
2.       Menjejaskan hubungan diplomatik antara bangsa.

Langkah-langkah
3.       Penguatkuasaan undang-undang.
4.       Memperkatat kemasukan pelancong asing.

Jawaban soalan 2 merangkumi
Kesan
1.       Mencemarkan imej negara di mata dunia.

Langkah-langkah
2.       Penguatkuasaan undang-undang.
3.       Memperketat kemasukan pelancong asing.
4.       Koordinasi antara beberapa kementerian.

Jumaat, 9 September 2011

MOTORSIKAL pembunuh yang berkesan

DALAM Ops Sikap ke-24 sempena Hari Raya ini, lebih 300 orang mati kemalangan di jalan raya.  Secara umum purata kematian sehari di Malaysia atas sebab kemalangan ialah 18 orang.  Kebanyakan yang terlibat dalam kemalangan dan maut ialah anak muda penunggang motorsikal dan pemboncengnya.  Hal ini bermakna, jika kemalangan melibatkan motorsikal dapat dikurangkan dengan banyak, maka purata kematian 18 orang pasti turun mendadak.


Dalam usaha mengatasi masalah kemalangan dan kematian di jalan raya, kita mesti memberi cadangan yang dapat mengurangkan kemalangan tetapi tidak mengurangkan fungsi kenderaan sebagai alat perhubungan yang penting pada zaman moden ini.  Misalnya, untuk mengurangkan jumlah kematian pengguna motorsikal, kita tidak boleh mencadangkan kepada kerajaan supaya mengharamkan penggunaan motorsikal.

Motorsikal tetap satu kenderaan yang penting kepada penduduk.  Jarak perjalanan antara satu hingga 10 kilometer yang melalui jalan-jalan kecil sangat sesuai menggunakan motorsikal.  Dengan harga dan kos penyelenggaraan yang murah, motorsikal kekal sebagai alat pengangkutan utama dan penting kepada golongan penduduk berpendapatan rendah dan orang muda.   Memandangkan pasaran motorsikal yang besar, syarikat-syarikat pengeluar motorsikal seakan berlumba-lumba memperkenalkan produk terbaru dengan versi terkini.  Nah, kesannya berlaku lambakan motorsikal di serata tempat. 

Mengapa motorsikal menjadi alat ‘pembunuh’ berkesan masa kini? Ada dua jawaban.  Pertama, kekuatan enjin motorsikal sekarang begitu kuat berbanding keluaran tahun 1960-an hingga 1980-an.  Jika motorsikal keluaran tahun 1970 berkuasa 70 cc, hari ini motorsikal berkenaan berkuasa 110 cc.  Semua promosi dan iklan motorsikal menggambarkan kenderaan itu sebagai berkuasa tinggi, laju dan garang di jalan raya.  Motorsikal yang mampu dipandu laju sehingga 150 km/jam sangat berpotensi mendapat kemalangan.

Kedua ialah sikap pengguna motorsikal yang kebanyakannya anak muda.  Jiwa anak muda yang seba mahukan kelainan teruja menunggang motorsikal secara luar biasa kelajuannya.  Mereka gemar menunggang motorsikal secara berkelompok dan saling menguji kemahiran menunggang motorsikal di jalan raya.  Gabungan faktor kuasa kuda enjin dan kelakuan penunggang menyebabkan kadar kemalangan melibatkan motorsikal sangat tinggi.

Bolehkah masalah ini dikurangkan?  Boleh!  Jika benar kerajaan mahu mengurangkan kemalangan dan kematian ini, undang-undang mesti segera dibuat agar remaja dihadkan menunggang motorsikal.  Dalam kes ini, sepatutnya kerajaan mengehadkan pengeluaran motorsikal berkuasa tinggi sebaliknya menggalakkan pengeluaran motorsikal yang kuasa kudanya rendah seperti pada zaman dahulu.  Misalnya orang yang berumur bawah 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motorsikal yang kuasa kudanya bawah 80 cc. Pengeluaran motorsikal berkuasa tinggi boleh dihadkan dengan pengenaan cukai yang tinggi.

Setelah kerajaan melaksanakan undang-undang ini barulah kempen-kempen keselamatan jalan raya diperhebat.  Penguatkuasaan undang-undang juga mesti berkesan, tidak sebagaimana sekarang yang banyak kepada ‘budi bicara’ atau toleransi atas nama kelangsungan amalan sosial penduduk.

Dari sudut Islam, mematuhi undang-undang jalan raya merupakan kewajiban kepada orang-orang Islam.  Kepatuhan kepada arahan pemerintah atau kerajaan sangat jelas dalam surah An-Nisa ayat 59 yang bermaksud “Taatilah Allah, rasul-Nya dan pemerintah (ulul amri) dalam kalangan kamu….”  Oleh itu sepatutnya tanda seseorang yang patuh perintah Tuhan, akan jelas kelihatan mereka juga mematuhi undang-undang jalan raya kerana kepatuhan ini merupakan satu perintah daripada Allah, Tuhan yang sebenarnya.