Jumaat, 15 Julai 2011

ANIFAH Aman ke Mesyuarat Asean di Bali

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Asean (AMM) ke-44, Pasca Persidangan Menteri (PMC) dan Forum Serantau Asean ke-18 di Bali, Indonesia pada 16 hingga 23 Julai ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, AMM kali ke-44 akan dimulakan dengan beberapa mesyuarat penting yang lain iaitu mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Asean (SOM) dan mesyuarat Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
"AMM ke-44 ini akan memberi tumpuan kepada Pembinaan Komuniti Asean dan pelaksanaan Piagam Asean. Para menteri akan membincangkan langkah-langkah untuk mencapai tema dianjurkan Indonesia, yang menjadi Pengerusi Asean, iaitu "Komuniti Asean Dalam Komuniti Global".
"Selain itu, mesyuarat juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu antarabangsa dan serantau kepentingan bersama serta meningkatkan hubungan Asean dengan rakan-rakan dan komuniti global," menurut kenyataan itu.
Menteri-Menteri Luar Asean turut dijadual menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean+3 dan Perundingan Menteri-Menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
"Perundingan Menteri-Menteri Luar bagi Sidang Kemuncak Asia Timur akan melibatkan buat pertama kali Menteri Luar Rusia dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat," menurut kenyataan itu.
Para Menteri Luar Asean turut dijadualkan menghadiri PMC bersama dengan rakan sejawatan daripada rakan dialog termasuk Australia, Kanada, India, Jepun, New Zealand dan Amerika Syarikat.
"Menteri-Menteri Luar akan menyemak semula pencapaian sebelum ini dan membincangkan hala tuju masa hadapan," menurut kenyataan itu. -BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan