Khamis, 28 Julai 2011

KARANGAN laras sains: Susu ibu

Soalan: Susu ibu merupakan rumusan terbaik untuk bayi yang baru lahir.  Bincangkan kepentingan susu ibu terhadap ibu dan bayinya.

Jawaban contoh

     SUSU ibu merupakan rumusan terbaik untuk bayi yang baru lahir.  Penyusuan ibu terhadap bayi, ternyata membawa kebaikan kepada si ibu dan bayinya sekali.

     Ibu-ibu yang menyusukan bayinya  sendiri dapat menjarakkan kelahiran bayi seterusnya secara semula jadi.   Pihak ibu akan lewat didatangi haid apabila menyusukan bayinya.  Hal ini menandakan selepas kelahiran bayinya, tahap subur ibu untuk hamil lagi masih jauh.  Keadaan ini merupakan satu sistem perancang keluarga secara normal dan semula jadi yang sangat bermanfaat terhadap kesihatan pihak ibu.

     Ibu-ibu yang menyusukan bayinya ternyata lebih sihat berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan bayi dengan susu badan.  Bagi ibu yang menyusukan bayinya, risiko untuk mendapat kanser payu dara sangat rendah.  Hal ini kerana sistem penghasilan dan pengaliran susu dalam badan  berjalan lancar. Proses penyusuan bayi  juga akan melancarkan peredaran darah dan keadaan ini akan merangsang pengecutan rahim dengan lebih cepat.

     Bayi-bayi yang menyusu badan pula akan lebih tahan daripada dijangkiti penyakit.  Susu ibu mengandungi kolustrum yang dapat membentuk antibodi yang tinggi.  Dengan itu, bayi-bayi lebih terhindar daripada serangan  selesema, penyakit kuning dan sebagainya.  Selain itu, bayi-bayi yang kuat antibodinya tidak akan mengalami sebarang alahan makanan.

     Susu ibu juga ternyata satu makanan yang sangat berkhasiat kepada bayi-bayi.  Susu ibu mengandungi pelbagai mineral, kaya dengan protein serta sumber vitamin A dan C.  Bayi-bayi akan kurang risiko dijangkiti penyakit seperti masalah gigi, tulang,  penglihatan dan pertuturan.  Malah, dengan menyusu ibu, bayi akan mempunyai rahang gigi yang kuat.

     Kesimpulannya, susu ibu merupakan sumber makanan bayi yang sempurna.  Amatlah malang jika sumber makanan dan kesihatan kepada bayi-bayi diabaikan pula oleh sesetengah ibu atas alasan kehidupan sosial mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan