Jumaat, 8 Julai 2011

APA salahnya huraian dalam karangan itu?

MENGAPA huraian-huraian dalam perenggan masih berkecamuk?  Ada beberapa sebab mengapa pelajar menulis pelbagai huraian yang tidak berkaitan dengan idea utama pada awal perenggan.  Pertama, pelajar tidak membuat draf atau rangka karangan.  Pelajar terus menulis dalam kertas jawaban.  Melulis dalam keadaan tertekan sangat terdedah kepada kesilapan.


Kedua, memang pola pemikiran pelajar yang berkecamuk.  Oleh itu jika dia membuat draf pun hasilnya tetap berkecamuk.  Punca pemikiran berkecamuk ialah dia suka ‘meredah’ apa juga bacaan tanpa membuat sebarang klasifikasi.  Kalau bercakap, pelajar seperti ini suka bercakap di luar topik dan meleret-leret ke simpang-simpang yang tidak berkenaan.

Mari kita perhatikan contoh tulisan dalam perenggan yang berkenaan.  Soalannya meminta pelajar menyatakan cara kerajaan boleh membantu petani menjayakan slogan ‘pertanian adalah perniagaan’.

Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.  Selain itu kerajaan boleh memberikan jaminan kredit kepada petani untuk lebih giat dalam sector pertanian.  Dengan adanya dana yang mencukupi, pelbagai teknologi dapat digunakan dan hasil pertanian semakin bertambah.  Angensi kerajaan seperti FAMA juga sudah pasti akan digerakkan lebih berkesan untuk menjayakan pertanian adalah perniagaan.

Idea utamanya ialah: Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.
Huraian-huraiannya ialah:
Jaminan kredit kepada petani (tidak relevan dengan idea utama)
Penggunaan pelbagai teknologi dalam pertanian (tidak relevan dengan idea utama)
FAMA perlu lebih berkesan (relevan dengan idea utama)

Jika pelajar berfikiran mantap, mungkin beliau berjaya menghasilkan draf seperti di bawah.

Idea utamanya ialah: Kerajaan boleh memperluaskan jaringan pemasaran hasil pertanian.
Huraian-huraiannya:
Peranan FAMA diperkukuhkan dalam pemasaran.
FAMA boleh bekerjasama dengan pejabat kedutaan di luar negara  - program  promosi.
Buah-buah seperti durian dan rambutan boleh dieksport ke luar negara.

Perenggan yang dicadangkan mungkin seperti berikut:

Kerajaan boleh memperluaskan lagi jaringan pemasaran hasil pertanian.  Agensi kerajaan seperti FAMA tentu akan digerakkan dengan lebih berkesan dalam membantu memasarkan hasil pertanian.  Jika selama ini FAMA sudah berjaya memasarkan banyak hasil pertanian ke seluruh negara, agensi itu boleh bekerjasama dengan pejabat-pejabat kedutaaan Malaysia di luar negara, khasnya Eropah, Amerika Syarikat, China dan India. Baru-baru ini pun FAMA sudah berjaya mengeksport buah durian ke negara-negara Arab.

Jika selama ini ada pelajar yang masih sukar untuk menentukan apakah huraian-huraian bagi setiap idea utama, saya menggalakkan agar mereka membaca sesuatu rencana atau isu itu berulang-kali supaya mantap memahami isu dan huraiannya.  Dalam majalah atau akhbar, semua isu hanya dipaparkan dalam satu wacana.  Bacalah berkali-kali.

1 ulasan:

  1. salam. pendekatan yang saya gunakan selalu untuk ajar karangan ialah saya tetapkan penggunaan ayat-ayat tertentu bagi karangan. oleh itu bg pelajar yang baru belajar utk menulis karangan pendekatan begitu amat sesuai. contohnya faktor utama berlakunya perkara ini ialah... Hal ini kerana,... dab seterusnya sehingga cukup 1 perenggan lengkap. ini khas bg pelajar yang agak lemah bahasanya. hanya berkongsi idea.

    BalasPadam