oleh Faridzwan Abdul Ghafar (Berita harian 21.04.2011)
CADANGAN segelintir ahli akademik dan aktivis politik rantau Asia Tenggara yang menginginkan negara ASEAN peranannya menjurus kepada kesatuan politik dilihat sukar untuk dilaksanakan. Impian mereka yang mahu melihat ASEAN bergerak sebagai entiti politik negara serantau boleh menjejaskan kestabilan dan hubungan diplomatik rantau Asia Tenggara dengan negara di rantau Asia yang lain.
Aktivis politik dan ahli akademik terbabit kerap mencanangkan kepada 600 juta penduduk Asia Tenggara menerusi pelbagai saluran, termasuk media baru bahawa ia boleh dilaksanakan dengan berpandukan model pembentukan Kesatuan Eropah (EU) yang dianggap berjaya itu.
Hakikatnya, tujuan penubuhan ASEAN dan EU adalah berbeza, di samping faktor demografi negara anggota sama ada ASEAN atau EU yang diketahui menerusi rentetan sejarah yang langsung tidak sama.
Masyarakat antarabangsa mengetahui bahawa ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok pada asalnya dianggotai Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina adalah untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis Kesatuan Soviet dan China.
Masyarakat antarabangsa mengetahui bahawa ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok pada asalnya dianggotai Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina adalah untuk menyekat perkembangan pengaruh komunis Kesatuan Soviet dan China.
Selain itu, ASEAN juga dijadikan platform bagi memacu kerjasama hubungan serantau kerana negara anggota pada masa itu kebanyakannya baru mengecapi nikmat kemerdekaan dan sedang dalam proses pembelajaran mengenai hubungan antarabangsa.
Sejak itu, peranannya berkembang sejajar dengan peredaran zaman dan berjaya untuk menarik minat negara Asia Tenggara lain seperti Brunei, Kemboja, Laos, Vietnam dan Myanmar untuk menganggotainya. Malah, selepas tamatnya Perang Dingin, ASEAN sekali lagi berubah dengan menumpukan kepada kerjasama ekonomi, sosial, pendidikan, budaya dan mewujudkan pentas perbincangan bagi membawa pelbagai isu negara serantau secara rundingan.
Walaupun persatuan negara Asia Tenggara itu bersatu dalam pelbagai kerjasama, tetapi ia masih mengekalkan identiti dan kepentingan masing-masing lantaran perbezaan sistem politik, budaya, bahasa dan agama.
Ia sangat jelas bahawa terlalu banyak perbezaan latar belakang yang harus diatasi jika ASEAN ingin berubah kepada kesatuan politik serantau seperti yang berlaku kepada negara anggota EU. EU tidak mengalami masalah perbezaan ketara seperti dialami negara anggota ASEAN, terutama apabila ia membabitkan pertumbuhan ekonomi dan kadar kuasa beli penduduk setempat.
Berbanding dengan ASEAN, EU ditubuhkan bagi mengatasi masalah nasionalisme melampau di kalangan penduduk Eropah, selain menyatukan kuasa ekonomi bagi mengurangkan persaingan dan mendapatkan pasaran yang lebih luas.
Nasionalisme melampau dan persaingan ekonomi antara negara berkuasa besar di Eropah menyebabkan dua perang dunia tercetus dan mengakibatkan masyarakat antarabangsa trauma dengan agenda Eropah. Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Chilman Arisman, berkata ASEAN sebenarnya berdepan dengan krisis penentuan identiti dan semangat serta jati diri membabitkan penduduk negara anggota.
“Dulu kita ingat bahasa Melayu adalah identiti dan jati diri untuk penduduk ASEAN, tetapi dengan kemasukan negara seperti Laos, Myanmar dan Kemboja, nampaknya bahasa Melayu sukar untuk dilihat sebagai identiti ASEAN.
“Kita perlu mengkaji semula titik persamaan antara negara anggota ASEAN jika mahu menjadi kesatuan politik serantau seperti EU, tetapi saya fikir ia agak mustahil untuk ke arah itu dan memerlukan masa yang lama,” katanya.
Setakat ini, titik persamaan yang boleh diketengahkan ialah kerjasama ekonomi kerana setiap negara anggota ASEAN saling bergantung antara satu sama lain bagi menjana pertumbuhan ekonominya, manakala kerjasama kesatuan politik adalah titik persamaan yang amat sukar dicapai.
Justeru, tindakan yang boleh diambil negara anggota ASEAN ialah mengukuhkan lagi kerjasama ekonomi serantau kerana kemakmuran ekonomi negara Asia Tenggara akan membawa kepada kestabilan politik, kemajuan pendidikan dan mengurangkan kadar kemiskinan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan