(Sistem Undang-undang)
JITRA: Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah di Megat Dewa, Kodiang, ditahan bersama abangnya kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dadah dan air ketum di rumah mereka di Kampung Megat Dewa, di sini, Jumaat lalu. Dalam serbuan jam 4 petang itu, anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menyerbu rumah terbabit berdasarkan aduan orang awam berhubung kegiatan dua beradik itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohd Yusof, berkata dalam serbuan itu anggotanya menemui lelaki berusia 25 tahun itu dalam bilik tidurnya di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.
Katanya, ketika serbuan, ibu bapa dan keluarga suspek yang turut berada dalam rumah berkenaan terkejut apabila mendapati sepasukan anggota polis membuat pemeriksaan di rumah itu.
“Hasil pemeriksaan menemui sebuah beg sandang milik lelaki itu dan menemui 29 paket dadah jenis heroin seberat 60.72 gram serta syabu seberat 1.3 gram.
“Ketika ditahan, suspek bertindak agresif terhadap anggota polis dan cuba melawan tetapi berjaya ditenteramkan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Ibrahim berkata, dalam serbuan itu juga anggotanya turut menahan pelajar berusia 17 tahun itu kerana dia disyaki terbabit menjual air ketum di belakang rumah mereka.
Katanya, suspek yang masih bersekolah dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dikatakan memproses sendiri air ketum dan menjualnya kepada pelanggannya yang tinggal berhampiran.
“Ketika serbuan, terdapat empat remaja dipercayai pelajar sekolah yang berusia sekitar 14 hingga 17 tahun sedang membeli air ketum daripada pelajar terbabit dan mereka turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya. Ibrahim berkata, pihaknya turut merampas 28 bungkus air ketum daripada pelajar berkenaan.
Lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah, manakala adiknya disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana menjual air ketum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan