Oleh Liow Tiong Lai
Masyarakat moden banyak akibatkan kerosakan bumi (06.04.2011)
PENDUDUK dunia tergamam melihat bahana yang menimpa Jepun akibat malapetaka gerak gempa dan pukulan tsunami. Bencana menyayat hati itu meninggalkan kesan mendalam bukan saja kepada penduduk Jepun, tetapi juga kita semua. Seperti anda, saya juga tidak dapat berhenti daripada mengikuti liputan berita bencana yang sungguh dahsyat itu.
Melihat gambar pukulan ombak besar setinggi 10 meter yang ‘menyapu’ apa saja yang berada dalam laluannya – manusia, kenderaan, bangunan, tanaman, seolah-olah semuanya barang mainan – saya dipukul kenyataan betapa kerdil dan tidak terdayanya manusia di sisi alam.
Biar serapi mana sekali pun persiapan penduduk Jepun bagi menghadapi kejadian gempa bumi, mereka tidak mampu melindungi diri daripada gempa sekuat itu yang mengakibatkan ombak besar yang dipanggil tsunami.
Tiada siapa dapat menahan plat tektonik daripada bergerak, menyebabkan gempa bumi. Tiada siapa dapat menahan tenaga seismik yang mencetuskan ombak besar. Begitulah adanya planet yang menjadi tempat tinggal kita semua. Akan tetapi, terdapat juga bencana alam yang terjadi akibat daripada tingkah laku manusia – bagaimana kita memperlakukan bumi ini serta sumbernya.
Kegiatan manusia dalam tempoh kira-kira satu abad lalu telah perlahan-lahan menyebabkan perubahan iklim yang serius. Perubahan ini telah membawa awan ribut serta taufan ke beberapa bahagian dunia, manakala di sesetengah tempat pula, tanah menjadi kering kontang.
Bagi tempoh yang sudah agak lama, kita menjadi cuai dengan cara kita guna bahan bakar fosil – bagaimana kita menarah bukit dan menebang hutan belantara serta bagaimana kita guna sumber semula jadi yang tidak boleh diganti.
Semua ini menyebabkan suhu Bumi meningkat kira-kira 0.6 darjah Celsius pada kurun ke-20. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih separuh daripada pemanasan itu berlaku selepas 1975. Ini menunjukkan bahawa generasi masyarakat moden hari inilah yang mengakibatkan kerosakan paling banyak kepada planet kita. Peningkatan tidak sampai satu darjah nampak kecil, tetapi akibat sebenar peningkatan itu adalah lebih seribu kali ganda.
Udara lebih panas menyimpan lebih banyak lembapan daripada udara lebih sejuk. Ini bermakna sebahagian tempat di dunia akan mendapat lebih banyak hujan dan sebahagian lain mengalami kemarau. Kejadian cuaca buruk seperti ribut, taufan, angin puting beliung, banjir serta gelombang panas terik akan semakin menjadi perkara biasa.
Kita di Malaysia turut mengalami perubahan seperti itu yang mana musim tengkujuh dan banjir kilat semakin kerap berlaku dan bertambah buruk setiap tahun. Menurut laporan WHO, kejadian banjir yang berlaku di seluruh dunia meningkat dengan cepat – lebih cepat daripada bencana yang tiada kena-mengena dengan keadaan cuaca.
Apabila kita terdengar tentang penduduk dunia kehilangan tempat tinggal atau kehilangan sumber kehidupan mereka atau kehilangan nyawa, kita hendaklah merenung sejenak dan memikirkan bagaimana sebahagian daripada perlakuan manusialah yang mengakibatkan banjir itu terjadi.
Hujan yang lebih lebat serta cuaca yang lebih hangat mencetuskan keadaan yang cukup sesuai bagi jangkitan penyakit bawaan serangga seperti malaria dan demam denggi. Kita wajar beringat kerana denggi menjadi wabak di negara kita dengan bilangan kejadian serta angka kematian yang meningkat pada kadar membimbangkan.
Cuaca tropika kita yang bertambah panas dan lengas akan mendorong nyamuk Aedes menjadi lebih aktif dan membiak lebih cepat. Kita akan berdepan dengan cabaran lebih sukar. Sekarang ini pun kita sudah begitu tertekan dalam usaha mengawal nyamuk berkenaan.
Suhu tinggi juga meningkatkan aras ozon serta bahan lain mencemarkan udara yang boleh meningkatkan pula penyakit yang ada kaitan dengan jantung dan pernafasan. Begitu juga dengan penyakit yang ada kaitan dengan udara tercemar, sebagai contoh yang boleh menyebabkan lelah.
Memandangkan Malaysia begitu terdedah kepada banjir, kita hendaklah sentiasa berjaga-jaga terhadap penyakit berjangkit melalui makanan dan air memandangkan bekalan air kita boleh tercemar dalam persekitaran tidak bersih.
Di Jepun, mereka yang terselamat dalam kejadian gempa dan tsunami kini sedang menghadapi risiko kesihatan yang serius. Bekalan elektrik dan air terputus, manakala air daripada ombak besar masih bertakung. Tanpa air yang selamat untuk diminum dan tanpa sistem pembuangan kumbahan sempurna, jangkitan bakteria dan parasit boleh merebak dengan mudah, menyebabkan pelbagai penyakit seperti cirit birit.
Bagaimanapun, penduduk Jepun boleh berbangga dengan tahap kemajuan mereka yang tinggi, yang bermakna mereka akan kurang terdedah kepada jangkitan kepialu dan taun.
Berlainan pula dengan ratusan ribu penduduk Haiti yang kehilangan tempat tinggal dalam gempa bumi tahun lalu. Di negara miskin itu, mereka tidak berada dalam kedudukan mempertahankan diri daripada penyakit itu yang sudah menjadi wabak, lebih-lebih lagi apabila begitu ramai bersesak-sesak dalam khemah dan tempat perlindungan lain.
Sama ada sesuatu malapetaka itu semula jadi atau berpunca daripada perbuatan manusia, kesannya sama saja – ia mengancam kesihatan kita. Janganlah hendaknya kematian dan kesengsaraan mangsa bencana alam yang berlaku sebelum ini dibiarkan berlalu tanpa kita yang masih hidup ini mengambil pengajaran daripadanya.
Berlainan pula dengan ratusan ribu penduduk Haiti yang kehilangan tempat tinggal dalam gempa bumi tahun lalu. Di negara miskin itu, mereka tidak berada dalam kedudukan mempertahankan diri daripada penyakit itu yang sudah menjadi wabak, lebih-lebih lagi apabila begitu ramai bersesak-sesak dalam khemah dan tempat perlindungan lain.
Sama ada sesuatu malapetaka itu semula jadi atau berpunca daripada perbuatan manusia, kesannya sama saja – ia mengancam kesihatan kita. Janganlah hendaknya kematian dan kesengsaraan mangsa bencana alam yang berlaku sebelum ini dibiarkan berlalu tanpa kita yang masih hidup ini mengambil pengajaran daripadanya.
Kita perlu memastikan sistem dan infrastruktur kesihatan kita cukup kuat bagi menangani krisis dan melindungi orang ramai daripada kesan terburuk sebarang bencana alam. Langkah kebersihan, pelalian serta kawalan penyakit akan dapat melindungi rakyat negara kita jika bencana alam berlaku.
Pembangunan sosioekonomi bagi kawasan pedalaman dan rakyat berpendapatan rendah perlu dirancang dengan baik. Ini sangat mustahak memandangkan mereka yang tinggal di sini biasanya adalah kumpulan paling terdedah kepada risiko kehilangan tempat tinggal. Kemudahan perkhidmatan kesihatan untuk mereka juga agak kurang.
Akhir sekali, walaupun kita rasa hampa kerana tidak terdaya berbuat apa-apa tentang gempa bumi dan tsunami yang berlaku di Jepun, kita perlu ingat bahawa kita boleh berbuat sesuatu dengan bencana yang dicetuskan oleh perubahan iklim.
Jika memperkukuhkan sistem kesihatan awam adalah suatu yang perlu dilakukan sebelum ini, ia kini menjadi semakin bertambah perlu, lebih-lebih lagi dengan perubahan iklim yang kian mengancam. Kita juga boleh berbuat sesuatu bagi mengurangkan jejak karbon kita melalui pelan pembangunan nasional. Juga, dengan mengikut amalan industri yang baik, termasuk amalan seharian seperti mengguna sumber tenaga yang lebih bersih.
Kita semua perlu sama-sama mengambil berat tentang perubahan iklim. Ini bukan semata-mata tanggungjawab pencinta alam. Kita perlu meletakkan faktor kesihatan di tempat utama dalam agenda perubahan iklim.
Penulis ialah Menteri Kesihatan Malaysia. www.liowtionglai.com/blog atau twitter@liowtionglai
Tiada ulasan:
Catat Ulasan