Khamis, 7 April 2011

KEMATANGAN industri sawit

TAHUN 2011 merupakan titik bersejarah bagi negara kerana bermulanya Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dijangka mentransformasikan Malaysia dari sebuah negara berpendapatan sederhana ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. 

Bagi mencapai sasaran ini, 12 Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA) telah dikenal pasti dan sektor minyak sawit adalah satu daripadanya. Pembentangan mengenai peranan sektor sawit telah saya sampaikan semasa Dialog Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok dengan wakil media pada 23 Disember 2010 di Kota Kinabalu, Sabah.

Di bawah ETP, sumbangan pendapatan negara kasar (GNI) industri sawit dijangka melonjak dari RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020. Untuk mencapai sasaran ini, 8 projek permulaan (Entry Point Projects – EPP) seperti berikut telah dikenal pasti yang masing-masing akan menyumbang kepada GNI:

EPP1: Dasar penanaman semula mandatori untuk menyelesaikan tunggakan pokok kelapa sawit tua yang memberi hasil rendah (RM4.6 bilion); 

EPP2: Meningkatkan hasil buah tandan segar (FFB) (RM10.2 bilion); 

EPP3: Meningkatkan produktiviti pekerja di ladang melalui pengenalan atau peningkatan teknik baru (RM1.7 bilion); 

EPP4: Meningkatkan kadar perahan minyak (OER) (RM13.7 bilion) ; 

EPP5: Membina kemudahan biogas di kilang sawit di seluruh Malaysia (RM2.9 bilion); 

EPP6: Mencadangkan perubahan fokus kepada derivatif oleo bernilai tinggi (RM5.8 bilion) 

EPP7: Memfokus kepada komersialisasi awal biobahan api generasi kedua (RM3.3 bilion); 

EPP8: Mempercepatkan pertumbuhan dalam segmen hiliran berasaskan makanan dan kesihatan (RM4.9 bilion) 

Bagi mencapai pertumbuhan ini, peranan teknologi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) adalah amat penting. Misalnya bagi meningkatkan hasil buah tandan segar, bahan tanaman daripada R&D yang berhasil tinggi perlu digunakan semasa penanaman semula (EPP 1 dan 2). 

Bagi peningkatan produktiviti pekerja di ladang (EPP 3) mesin-mesin canggih seperti pemotong buah tandan segar mekanikal, CantasTM perlu diperluaskan penggunaannya. Peningkatan kadar perahan minyak pula (EPP 4) memerlukan teknologi baru pemprosesan yang dapat meningkatkan kecekapan pengekstrakan dan mengurangkan kehilangan minyak dalam buangan sawit. 

Begitu juga dengan EPP 5 (biogas), EPP 6 (derivatif oleo), EPP 7 (biobahan api generasi kedua) dan EPP 8 (produk berasaskan makanan dan kesihatan) yang bergantung kepada teknologi-teknologi baru. Dalam hal ini, MPOB akan memainkan peranan yang penting dalam memperkenalkan teknologi baru hasil R&D. 

Satu lagi aspek yang perlu ditekankan dalam ETP ialah pertumbuhan ekonomi akan dicapai tanpa mengabaikan kemampanan. Ini memang tersirat dan tersurat dalam EPP NKEA sawit.

Misalnya melalui peningkatan hasil dan kadar perahan minyak, hasil minyak sawit akan meningkat dari 3.93 tan/ha/tahun pada 2009 kepada 6 tan/ha/tahun menjelang 2020. Ini bermakna lebih banyak minyak sawit akan diperoleh dari kawasan ladang sedia ada tanpa membuka kawasan baru. Ini akan mengurangkan pelepasan karbon daripada penebangan hutan. Bagi pemerangkapan biogas pula, sekiranya dilakukan untuk kesemua 417 buah kilang sawit akan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 15 hingga 20 juta tan karbon dioksida setara (CO2eq) setahun. 

Pengurangan pelepasan GHG juga dapat dicapai melalui projek oleo dan juga projek biobahan api generasi kedua di mana produk sawit akan menggantikan produk bahan fosil. Semua ini akan menyumbang kepada komitmen YAB Perdana Menteri semasa COP 15 di Copenhagen pada 2009 untuk mencapai pengurangan intensiti karbon sebanyak 40 peratus daripada paras 2005 menjelang 2020. Kementerian, industri sawit dan MPOB akan memainkan peranan masing-masing untuk menuju ke arah mencapai wawasan negara. 

01.01.2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan