MASALAH sebagian besar pelajar dalam membina karangan ialah mengembangkan isi daripada idea utama. Hal ini menyebabkan banyak karangan pelajar yang ditanda sebagai TJ (tidak jelas) dan TR (tidak relevan). Perhatikan petikan jawaban pelajar dan sedikit ulasan berkenaannya.
Soalan: Malaysia telah menggerakkan sektor pertanian ke arah yang lebih moden. Bincangkan potensi dan cabaran masa depan dalam sektor ini.
Soalan ini memerlukan jawaban 2 + 2, iaitu dua idea utama mengenai potensi pertanian dan dua lagi idea utama untuk cabaran sektor pertanian moden.
Pelajar mudah memberi jawaban pertanian berpotensi menjadi sumber makanan penduduk setiap masa. Baik, itu adalah idea utama untuk potensi pertanian moden. Bagaimana huraiannya?
Contoh huraian pelajar 1
Hal yang demikian dapat membantu meningkatkan hasil pertanian. Pada masa akan datang, penduduk tidak perlu risau kerana sektor pertanian tersebut telah dinaik taraf kepada yang lebih baik dan moden. Oleh itu sumber pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan tidak akan berkurang pada masa akan datang.
Contoh huraian pelajar 2
Sumber makanan adalah sangat diperlukan oleh penduduk apabila penduduk masa akan datang akan bertambah. Maka sumber makanan tersebut menjadi keperluan dan sumber makanan menjadi salah satu sumber utama yang penting kepada penduduk untuk meneruskan kehidupan. Di samping itu, sumber makanan juga menjadi satu aset penting dalam meneruskan kehidupan seharian untuk memberi kelangsungan hidup penduduk.
Huraian sepatutnya menjelaskan kepada keperluan makanan yang mencukupi terhadap sebanyak mana jumlah penduduk negara. Saya cadangkan huraian seperti di bawah.
Dasar kependudukan yang mensasarkan pertambahan 2.5 peratus setiap tahun tidak akan menghadapi masalah kerana sektor pertanian yang dimodenkan terus memberi bekalan makanan yang mencukupi. Walaupun keluasan tanah tidak bertambah, tetapi teknologi moden berjaya menambah pengeluaran hasil di samping kualiti yang bertambah baik.
Aspek bahasa jawaban pelajar ada masalah. Umumnya, kesalahan bahasa menyebabkan kegagalan menyampaikan idea dan huraian. Oleh itu dengan bahasa yang baik, pengaliran idea dan bahasa menjadi tepat dan betul.
Perhatikan ayat kedua bagi jawaban pelajar 2, ayat yang digelapkan warnanya. Kesalahan tatabahasanya amat jelas, dan akibatnya dia gagal menyampaikan maklumat yang sebenar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan