Selasa, 5 April 2011

CARTA ALIRAN bukan sistem

Contoh soalan Bahagian E

9.  Pengguna mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat.  Berdasarkan carta di bawah ini, huraikan sumber secara langsung dan secara tidak langsung bagi seseorang pengguna untuk mendapatkan maklumat.



(dipetik dan diubahsuai daripada Panduan Pengguna,
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, 1992)


Pemarkahan jawaban seperti berikut
1.      Idea 4 markah
2.      Huraian 8 markah
3.      Bahasa 4 markah
4.      Keberkesanan 1 markah
Nota:
1.    Carta alir di atas ialah carta alir bukan sistem.  Berdasarkan soalan, calon boleh merangka jawaban dengan mudah.  Calon diminta menghuraikan sumber secara langsung dan secara tidak langsung.  Calon boleh memulakan jawaban dengan memulakan isi daripada sumber langsung atau tidak langsung.

2.    Fokusnya ialah PENGGUNA.  Perhatikan anak-anak panah yang ada.  Mana-mana anak panah yang terus menuju pengguna, bermakna sumber langsung.  Sebagai contoh, sumber langsung dalam carta itu ialah Media Massa, Organisasi, Pusat Sumber dan Pelabelan Barangan.   Sumber tidak langsung ialah Kerajaan dan Iklan.  Perhatikan anak panah daripada Kerajaan dan Iklan yang menuju sumber lain.  Jika calon tersalah faham konsep ini bermakna mungkin jawaban calon tersasar!

3.    Perhatikan anak panah dari Pengguna kea rah Keluarga dan Rakan sebaya.  Soalan meminta sumber pengguna mendapat maklumat, bermakna anak panah keluar daripada pengguna menyalahi soalan.  Rakan sebaya dan Keluarga sebenarnya bertindak sebagai pengacau atau pengeliru calon untuk menjawab.

4    Jawablah dengan memilih DUA sumber langsung dan DUA sumber tidak langsung.

5    Ada calon keliru bagaimana menghuraikan sumber Kerajaan dan Iklan.  Perhatikan kesilapan calon dalam menghuraikan hal ini.

    Kerajaan merupakan sumber tidak langsung maklumat kepada pengguna.  Kerajaan bekerjasama melalui organisasi seperti persatuan pengguna  telah menyampaikan maklumat barangan kepada semua pengguna.  Kerajaan juga meminta bantuan media massa iaitu media cetak dan media elektronik untuk menyalurkan maklumat kepada pengguna.

Komentar:  Ayat pertama sahaja yang betul dan mendapat satu markah.  Ayat kedua dan ketiga salah, tiada markah. 

Sepatutnya calon boleh menulis begini:
     Kerajaan merupakan sumber tidak langsung maklumat kepada pengguna. Kementerian Hal-Ehwal Dalam Negeri dan Kepenggunaan bertanggung jawab menyebarkan maklumat yang sah kepada pengguna.  Jabatan Penerangan juga menjadi alat menyampaikan maklumat kepenggunaan.

Calon yang menyatakan peranan rakan sebaya dan keluarga bagi mendapatkan maklumat, ternyata tidak relevan (TR).

Dengan itu, struktur penulisan calon sepatutnya meliputi:
Perenggan 1:  Pengenalan
Perenggan 2:  Sumber langsung – Media Massa atau Organisasi
Perenggan 3: Sumber langsung – Pusat Sumber atau Pelabelan barangan
Perenggan 4: Sumber tidak langsung – Kerajaan
Perenggan 5: Sumber tidak langsung – Iklan
Perenggan 6: Kesimpulan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan