Khamis, 21 April 2011

HARAP Hari Bumi cetuskan keinsafan manusia

BENCANA alam silih berganti, perubahan cuaca dan pencemaran alam yang semakin serius adalah faktor yang membuat setiap manusia perlu duduk memikirkan semula sumbangan setiap seorang bagi memastikan bumi ini tidak terus dimusnahkan oleh pembangunan dan sikap acuh tidak acuh kita sendiri.

Dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini, manusia dikejutkan dengan pelbagai bencana alam. Bermula dengan tsunami yang meranapkan Aceh, pesisir pantai Thailand dan Sri Lanka pada 2004 kepada kejadian terbaru yang memusnahkan beberapa bandar Jepun, perlu dijadikan iktibar.


Justeru, sambutan Hari Bumi 2011 yang dirai setiap 22 April, tidak wajar dibiarkan berlalu tanpa sebarang usaha untuk mencetus kesedaran untuk kita memulihara bumi ini dengan lebih serius. 

Tidak ramai menyedari wujudnya Hari Bumi, namun bagi kebanyakan kumpulan dan persatuan pencinta alam, Hari Bumi diraikan dengan pelbagai usaha mencetus keinsafan supaya manusia tidak terus bersikap tamak untuk memusnahkan bumi yang semakin rapuh ini. 

Selepas tsunami terbaru yang berlaku di Jepun, yang bukan saja memusnahkan beberapa bandar besar, bencana terburuk dunia itu ditambah dengan gempa bumi, turut mencetus ancaman nuklear apabila beberapa loji tenaga itu turut bocor dan mengalami kerosakan serius. 

Semakin ramai manusia mula berasa dan insaf terhadap bahang kerosakan yang dilakukan sendiri di muka bumi ini. Daripada proses pembangunan yang memperlihatkan sikap tamak dan gelojoh kita, memusnahkan alam semula jadi untuk diganti dengan hutan batu, membuatkan bumi ini mengalami hakisan yang semakin buruk setiap hari.  Hutan belantara semakin pupus, bukit ditarah dan ditebuk, sungai dan kawasan perairan bersih semakin diabaikan, lautan diancam pencemaran yang semakin buruk, ruang udara semakin tipis dan cuaca dunia diancam fenomena pemanasan global. 

Ramai semakin insaf dan sedar. Semakin banyak kempen dilaksanakan bagi mencetus kesedaran. Keinsafan wujud di hati setiap manusia, namun ramai yang masih tidak tahu bagaimana untuk membantu dan menyumbang bagi meringankan beban yang ditanggung bumi ini. 

Kempen kesedaran mengenai pemanasan global sudah pun sampai ke peringkat tertinggi. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar dan Pembangunan (UNCED) yang kini dikenali sebagai Sidang Puncak Rio sudah mula mengenal pasti isu dan cara menangani sejak 1992 lagi. 

Antara perkara dipersetujui ialah proses pembangunan mapan, yang mana negara kaya diperlukan untuk mengurangkan pencemaran di negara masing-masing, pada masa sama membantu negara sedang membangun menguruskan penjanaan tenaga dengan lebih berkesan. 

Di samping itu, antara agenda yang dipersetujui membabitkan usaha membasmi kemiskinan, peningkatan kualiti air, penggunaan tenaga lebih bersih, pentadbiran yang baik, penggunaan teknologi, pengeluaran dan penggunaan produk yang mesra alam, pemuliharaan lautan dan isi kandungannya serta industri pelancongan. 

Namun, keputusan Sidang Puncak Rio tidak begitu mudah untuk dilaksanakan. Beberapa negara maju bertindak untuk mewujudkan kumpulan sendiri dalam mengambil tindakan untuk menangani pelbagai isu alam sekitar. 

Protokol Kyoto yang bermatlamat untuk mengurangkan pemanasan global ditandatangani pada 11 Disember 1997. Sejumlah 191 negara dunia komited untuk mengurangkan penggunaan gas rumah hijau (greenhouse) – karbon dioksida, metana, nitrus oksida, sulfur hexaflorida – di samping bersetuju berusaha mengurangkan pengeluaran gas dengan kadar 5.2 peratus menjelang 2010 berbanding tahap pada 1992. 

Bagaimanapun, sidang puncak di Copenhagen tahun lalu, melaporkan hampir seluruh muka bumi kita hari ini mengalami ancaman bencana akibat fenomena perubahan cuaca yang semakin serius.

Indeks Risiko Cuaca Global melaporkan, ketika ini Bangladesh adalah negara dikenal pasti paling serius mengalami perubahan cuaca berdasarkan statistik antara 1990 hingga 2008 yang mana purata 8,240 rakyat maut akibat bencana alam setiap tahun. Kenaikan paras air laut setiap tahun turut mengancam nyawa lebih ramai rakyatnya yang tinggal di pesisir pantai. 

Selain Bangladesh, negara lain yang menduduki senarai 10 teratas mengalami ancaman perubahan cuaca yang serius ialah Myanmar, Honduras, Vietnam, Nicaragua, Haiti, India, Republik Dominica, Filipina dan China.  Walaupun tidak ada negara maju dan perindustrian yang menduduki senarai 10 teratas sebagai negara paling terancam, namun Itali, Portugal, Sepanyol dan Amerika Syarikat, berada dalam senarai 20 teratas. 

Selepas tsunami, gempa bumi dan kebocoran nuklear yang melanda Jepun bulan lalu, setiap negara dunia perlu insaf, walaupun tidak berada dalam senarai paling berisiko, bencana alam boleh melanda mana-mana negara pada bila-bila masa. 

Apabila bumi menerima tekanan demi tekanan akibat proses pembangunan melampau manusia, ia akhirnya akan meledakkan ‘kemarahan’ dalam pelbagai bentuk. Sayangi bumi kita dan selamatkan ia daripada musnah akibat sikap tamak kita sendiri! 


(Berita harian 21.04.2011)

1 ulasan:

  1. Sepatutnya perkara yang mengakibatkan kerosakkan pada muka bumi ini dapat menyedar dan mengubah mentaliti mereka.Tanpa disedari kemusnahan bumi semakin pantas meninggalkan perubahan mentaliti kuno mereka,Mereka Lebih mementingkan kesenangan hari ini besok lain cerita

    BalasPadam