KUALA LUMPUR: Semua jawatankuasa kerja di bawah Majlis Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim (MTHPI) perlu mengambil tindakan segera bagi menetapkan sasaran pengurangan gas rumah hijau untuk mencapai pengurangan intensiti karbon sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020.
Arahan itu diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mempengerusikan mesyuarat MTHPI yang dianggotai oleh 13 menteri, termasuk Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Douglas Uggah Embas di sini, semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee dalam satu kenyataan berkata, MTHPI membincangkan kemungkinan mengkaji semula Akta Pembangunan Petroleum 1974 bagi memberi peluang kepada penjualan produk berasaskan tenaga boleh diperbaharui.
“Sebagai contoh, beberapa projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) sedang dijalankan bagi menghasilkan produk-produk bahan api sintetik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, namun produk itu tidak termasuk dalam akta terbabit,” katanya.
Mesyuarat yang sama katanya, bersepakat untuk merangka Dasar Pengangkutan Hijau berdasarkan inisiatif yang dikenal pasti merangkumi keperluan perundangan dan peraturan untuk tujuan penguatkuasaan program hijau dan kecekapan tenaga.
“Antara inisiatif dalam sektor pengangkutan ialah peralihan daripada kenderaan persendirian kepada pengangkutan awam, membangunkan Rangkaian Hijau Dalam Industri Logistik dan pembangunan kenderaan elektrik serta hibrid,” katanya.
Took Gee berkata, MTHPI ialah platform peringkat tertinggi untuk menentukan hala tuju dan mengenal pasti isu strategik dalam pembangunan teknologi hijau negara dan perubahan iklim, serta menyelaras, memantau dan menilai keberkesanan pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau Negara di peringkat nasional. “Kita akan melaksanakan pelbagai inisiatif, termasuk Skim Pelabelan Eko Kebangsaan yang akan diperkenalkan berlandaskan Skim Pelabelan Eko SIRIM. Setakat ini SIRIM mengeluarkan 21 dokumen kriteria untuk produk hijau seperti ejen pembersih ‘biodegredable’, bahan pembungkus plastik tanpa toksik dan ‘biodegradable’, produk penjagaan fabrik dan cat,” katanya.
15.12.2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan