Selasa, 26 April 2011

DASAR Luar tiga PM Malaysia

SALAH satu faktor penentu Dasar Luar Negara ialah kepemimpinan negara.  Seorang Ketua Eksekutif negara seperti Perdana Menteri sangat mempengaruhi bentuk Dasar Luar.  Jika pelajar ingat sejarah Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia pada tahun 1963-65 dahulu jelas faktor pemimpin negara itu menjadi punca berlakunya konfrontasi dan pengenduruannya pula.  Konfrontasi dilancarkan oleh Presiden Soekarno tahun 1963, tetapi apabila Soeharto menggantikan Soekarno konfrontasi terhadap Malaysia dihentikan.

 Tun Razak dan Mao Zedong

PM pertama Tunku Abdul Rahman Putra secara jelas membawa pendirian negara yang baru merdeka condong ke arah  Blok Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat.  Sikap condong kepada Barat semakin jelas apabila PM Tunku menerima kunjungan Persiden Amerika Syarikat LB Johnson sewaktu Perang Amerika-Vietnam.  Benar juga sejarah hidup dan pendidikan Tunku banyak di Britain menyebabkan pemikiran beliau yang pro-Barat.

Kembali kepada matlamat Dasar Luar untuk menjaga kepentingan negara, tindakan PM waktu itu adalah untuk melindungi negara daripada ancaman komunisme yang menjadi musuh negara.  Perlu diingat bahawa sewktu negara merdeka tahun 1957, merupakan zaman kemuncak Perang Dingin antara Amerika Syarikat (demokrasi-liberal) terhadap Kesatuan Soviet-China (komunisme).

Namun yang menarik ialah tindakan PM Tun Razak pada tahun 1974 mengubah Dasar Luar daripada hanya memihak kepada Barat kepada menerima kedua-dua Blok politik dunia.  Kayu aras yang penting ialah termeterinya hubungan diplomatik antara Malaysia dan China tahun  1974 yang membawa lawatan PM Tun Razak ke Beijing pada tahun 1976!

Sebagai sebuah negara kecil memang Malaysia tidak ada keupayaan untuk bertindak sendirian mengarung kancah politik dunia yang rencam.  Sebelumnya kuasa besar Amerika Syarikat juga telah mengubah dasar daripada memusuhi China kepada menjadikan China sebagai sahabat.  Tindakan Amerika Syarikat ini disebabkan berlaku pertelingkahan antara dua kuasa komunis iaitu Kesatuan Soviet dan China.  Amerika Syarikat mahu membuat tekanan terhadap kuasa besar komunis itu (Kesatuan Soviet) dengan memihak kepada China.  Keberadaan Amerika Syarikat di China membuka peluang kepada Malaysia untuk meneroka hubungan yang lebih baik dengan China sekalipun Parti Komunis China masih memberi sokongan moral kepada Parti Komunis Malaya yang memberontak dalam zaman darurat (1948-60).

Apabila Tun Dr Mahathir menjawat PM pada tahun 1981, Dasar Luar Malaysia agak anti-Barat dan pro Timur, iaitu Jepun dan Korea.  Tun Dr Mahathir memang tidak mendapat pendidikan di mana-mana negara Barat, oleh itu sikapnya terhadap Barat sangat kritikal.  Slogan ‘Buy British Last’ pada zaman awal Tun Dr Mahathir menjadi PM jelas sikapnya yang jengkel terhadap dunia Barat.

1 ulasan: