Khamis, 14 April 2011

Poco-poco haram di Perak, halal di negeri-negeri lain

ADA pelajar agak keliru mengenai isu pengharaman tarian poco-poco oleh kerajaan negeri Perak tetapi tidak haram pula di negeri-negeri lain.  Pelajar ini berasa agak pelik kerana hukum agama tentang halal dan haram boleh berubah antara satu negeri dengan negeri lain sedangkan dikatakan Islam itu sebenarnya satu.


Islam memang satu, hanya bersumberkan al-Quran dan Sunah Nabi. Namun dari sudut pentadbiran melaksanakan undang-undang Islam, sudah pasti berkait pula dengan pantadbiran.  Pentadbiran itu pula adalah hak sesebuah kerajaan.  Apa bidang kuasa kerajaan negeri atau negara, setakat itulah pelaksanaannya.

Oleh kerana dalam dunia ini umat Islam tinggal dalam pelbagai negara dan negeri yang masing-masing ada kuasa pentadbirannya, maka pasti berlaku perbedaan pelaksanaan undang-undang Islam.  Contoh paling mudah untuk memahami ini ialah apabila berlaku perbedaan dalam memulakan tarikh berpuasa dan hari raya.  Antara Malaysia dan Brunei sahaja pernah berbeda tarikh memulakan puasa dan hari raya, sedangkan antara Bunei dan Sabah/Sarawak tidak ada bedanya bagi siang dan malam.  Pada tahun 1981 juga pernah umat Islam Perak sudah menyambut hari raya sementara umat Islam di Selangor masih berpuasa.

Banyak perbedaan peraturan dan undang-undang yang jelas berbeda antara negeri-negeri di Malaysia dalam hal ehwal agama Islam.  Perlembagaan Persekutuan Malaysia secara jelas telah menyerahkan hal-ehwal agama Islam di bawah kuasa negeri, maka menjadi hak negeri-negeri untuk menentukan bagaimana pelaksanaannya.  Ingat harga mas kahwin bagi setiap negeri juga berbeda-beda, kan?

Perlembagaan Persekutuan Bahagian 5 khas merujuk hal negeri-negeri, manakala Bahagian 6 khas mengenai Perhubungan Antara Persekutuan dengan Negeri-negeri.  Pelajar juga boleh merujuk Jadual Kelapan dalam Perlembagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan