PASIR MAS: Kerajaan akan terus memberikan insentif khas kepada kenderaan berkuasa elektrik, hibrid dan kenderaan yang lebih mesra alam yang dipasang di negara ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau berkata antara insentif menarik itu antaranya adalah dalam bentuk pelepasan cukai agar kenderaan yang dipasang dalam negara itu nanti mampu dimiliki oleh segenap lapisan rakyat.
"Setakat ini, ada beberapa syarikat yang telah memohon untuk memasang kenderaan mesra alam ini tetapi kerajaan difahamkan mereka kini masih dalam proses untuk mendirikan keupayaan tersebut.
"Insentif ini sepatutnya tamat pada penghujung tahun ini tetapi mungkin kita akan meneruskan lagi pemberian intensif itu pada tahun hadapan dan ini kerana kita maksudkan agar syarikat tersebut dapat mengadakan kilang pembuatan kenderaan itu secepat mungkin," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-41 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ibrahim 1 di sini, Isnin.
Mukhriz berkata, pada masa yang sama, kerajaan juga akan menimbangkan dengan serius permohonan syarikat kenderaan konvensional yang ada sekarang iaitu mengeluarkan jenis kenderaan yang kurang mengeluarkan karbon monoksida serta lebih menjimatkan minyak.
"Saya ingat banyak kenderaan baru seperti ini yang masuk ke dalam pasaran negara kita dan mampu bersaing dengan kenderaan elektrik dan hybrid ini.
"Syarikat mereka mengeluarkan kenderaan yang jimat minyak serta tidak mengeluarkan asap iaitu kurang karbon monoksida dan untuk itu kita juga akan turut memberikan insentif tersebut," katanya.
Beliau berkata rungutan yang mengatakan kereta hibrid yang dijual kini masih lagi mahal, Mukhriz berharap harga yang lebih murah dan mampu dimiliki akan tercapai apabila syarikat berkenaan mampu membina kilang pengeluaran dengan diberikan pelepasan cukai.
Menurutnya kerajaan tetap berpegang kepada dasar yang tidak membenarkan lagi syarikat lain mahu memasarkan kenderaan berkapasiti kurang 1800 cc ke bawah bagi menjamin persaingan dalam industri itu terus sihat.
Sementara itu, beliau berkata jualan kenderaan bagi sepanjang 2010 terus melonjak dan yakin trend itu terus kerkekalan untuk sepanjang tahun ini.
"Ini satu petanda baik buat negara bahawa mod di kalangan pembeli sudah pulih berbanding pada 2009," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan