Nilai eksport meningkat kepada RM51.85 bilion
Ada pelajar yang kurang mahir memahami aliran perdagangan antara bangsa kerana katanya tidak mengambil subjek Ekonomi. Pengajian Am meliputi pelbagai perkara termasuk hal ekonomi. Rencana pendek di bawah mungkin dapat membantu pelajar memahami konsep eksport, import dan imbangan perdagangan. Rencana ini juga mirip bahan linear dalam Bahagian D.
NILAI eksport Malaysia pada Februari meningkat 10.7 peratus kepada RM51.85 bilion berbanding bulan sama tahun lalu, justeru memberi gambaran bahawa sektor eksport Malaysia kekal kukuh di sebalik keadaan ekonomi global yang masih tidak menentu.
Sementara itu, nilai import yang dicatatkan sepanjang bulan itu meningkat sebanyak 11.5 peratus kepada RM39.21 bilion. Hal ini menjadikan keseluruhan jumlah dagangan Malaysia pada Februari lalu bernilai RM91.6 bilion, iaitu 11 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu.
Sementara itu, nilai import yang dicatatkan sepanjang bulan itu meningkat sebanyak 11.5 peratus kepada RM39.21 bilion. Hal ini menjadikan keseluruhan jumlah dagangan Malaysia pada Februari lalu bernilai RM91.6 bilion, iaitu 11 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama tahun lalu.
Nota: Eksport bernilai RM51.85 bilion + import bernilai RM39.21 bilion = RM91.6 bilion (jumlah perdagangan). Editor.
Berdasarkan angka itu, Malaysia mencatatkan lebihan dagangan bernilai RM12.64 bilion bagi bulan berkenaan, iaitu bagi bulan ke-160 berturut-turut sejak November 1997.
Nota: Eksport bernilai RM51.85 – import bernilai RM39.21 bilion = RM12.64 bilion (Imbangan dagangan positif) Jika imbangan dagangan negatif bermakna nilai import lebih besar berbanding nilai eksport. Editor.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataannya semalam berkata, eksport Februari yang meningkat RM5.01 bilion berbanding bulan sama tahun lalu, sebahagian besarnya disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), produk petroleum ditapis, minyak sawit, gas asli cecair (LNG), kimia dan bahan kimia, getah mentah, pembuatan logam serta produk optik dan saintifik.
Katanya, eksport ke ASEAN bernilai RM12.36 bilion, menyumbang 23.8 peratus kepada eksport keseluruhan Malaysia pada Februari.
Sementara itu, eksport ke Jepun melonjak 28.5 peratus kepada RM6.11 bilion berbanding RM4.75 bilion pada bulan sama tahun lalu, yang disumbangkan sebahagian besarnya oleh peningkatan eksport LNG dan produk E&E. “Eksport ke China pula meningkat 12.1 peratus kepada RM6.38 bilion daripada RM5.69 bilion pada Februari tahun lalu, yang disumbang sebahagian besarnya peningkatan eksport produk E&E, minyak sawit, getah mentah serta kimia dan produk kimia,” katanya.
Mustapa berkata, import keseluruhan pada Februari meningkat 11.5 peratus kepada RM39.21 bilion daripada Februari tahun lalu yang disumbang oleh peningkatan import barangan perantara.
Katanya, tiga kategori import utama mengikut pengguna akhir ialah barangan perantara bernilai RM27.13 bilion, barangan modal bernilai RM5.17 bilion dan barang pengguna bernilai RM2.38 bilion.
Sumber: Berita Harian Online 06.04.2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan